Khamis, 15 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Kefahaman dalam mengajar, belajar


Oleh :  Profesor Dr Sidek Baba

Kefahaman adalah kunci-kata dalam proses mengajar dan belajar. Ia adalah natijah akhir dalam suatu proses mengajar-belajar. Teori pembelajaran memberikan asas kefahaman sebagai puncak proses ini. Tidak faham memberi makna proses pengajaran-pembelajaran tidak berlaku.

Setiap ilmu diajar perlu cara  berkesan untuk disampaikan kepada pelajar. Pelajar akan menjadi manusia yang sangat gembira apabila menerima kefahaman daripada sesuatu pengajaran. Pengajaran bukan asal sampai. Pendidikan sendiri natijah akhirnya membawa pelajar tahu dan berpengetahuan.

Lebih jauh daripada  itu maklumat dan pengetahuan tidak cukup. Bagaimana pendidikan dapat mengolah pengajaran sehingga kefahaman membawa kepada perubahan diri iaitu sikap, watak, tindakan dan amalan?

Suatu kaedah yang baik dalam memberikan kefahaman ialah menerusi hujah dan penjelasan baik. Sesuatu hujah disampaikan memerlukan kupasan dan huraian mudah diterima oleh pelajar. Apalagi sekiranya huraian itu disertai contoh-contoh.

Dalam hal berkaitan benda ghaib, keupayaan pendidik mengaitkan bukti  ciptaan ALLAH dengan ayat-ayat al-Quran supaya wujud hubungan antara yang nyata dengan ghaib, supaya difahami bahawa yang dicipta itu bukanlah sesuatu yang sifatnya semula jadi tetapi terkandung banyak hikmah kepada manusia dan kehidupan.

Pendekatan mengajak para pelajar berfikir dan berzikir mengenai kebesaran ALLAH ini berupaya menghubungkan kefahaman seimbang. Berfikir bermakna bagaimana daya taakulan terjadi dan ia terhubung dengan perkara-perkara yang nampak dan berzikir dalam erti kata luas bagaimana faktor yang nampak (tangible) dikaitkan dengan perkara ghaib.

Melihat tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok daripada segala jenis adalah fenomena alamiah. Mengkaji hikmah di sebalik hadirnya tumbuh-tumbuhan dan pokok mengajak manusia berfikir tentang Pencipta. Betapa tumbuh-tumbuhan dan pokok terkandung rahsia besar untuk alam dan umat manusia. Memahami hakikat ini menyebabkan manusia menghubungkan fikir dan zikir dalam satu tautan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri. Ia terjadi dengan kehendak Pencipta dan terkandung rahsia serta hikmah bagi orang yang berfikir dan berzikir.

Pemahaman secara integratif ini membimbing pelajar mencari makna akan sesuatu. Makna akan sesuatu tidak saja difahami secara zahiri tetapi dilihat secara batini. Tumbuh-tumbuhan adalah penting untuk suasana kehijauan dan terkait dengan faktor persekitaran.

Memelihara persekitaran adalah sesuatu yang amat dituntut. Memusnahkan tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan persekitaran terancam. Kepanasan dunia (global warming) yang terjadi kini adalah akibat kerakusan manusia merosakkan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan ia memberi kesan terhadap iklim.

Kefahaman menerusi proses fikir dan zikir, iaitu upaya taakulan manusia dengan proses merenung dengan jiwa tadabbur sentiasa menghubungkan apa yang dicipta dengan maksud penciptaan itu sendiri. Kalau apa yang dicipta tidak dihargai hikmah di sebalik penciptaannya, kerosakan kepada kehidupan akan terjadi.

Proses menerima makna adalah puncak daripada proses faham. Sekadar tahu dan manusia memiliki maklumat tidak memadai. Menghubungkan apa manusia tahu dan maklumat dikutip sebagai sumber ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing akal-budi pelajar menghargai apa diciptakan.

Justeru kefahaman terhadap sesuatu membawa makna sebenar kepada diri dan kehidupan apabila ia terkait dengan Pencipta. Al-Quran umpamanya terkandung pertunjuk dan pedoman kepada orang-orang yang bertaqwa.

Takwalah yang membezakan antara manusia dengan lainnya di sisi ALLAH. Jiwa muttaqeen ini sangat penting bagi manusia kerana ia adalah pedoman terbaik meletakkan diri manusia memiliki karamah insaniah. Manusia terbilang dan cemerlang, memiliki kualiti ihsan yang tinggi dan selalu mensejahterakan diri serta sekitarnya.

Selalunya kefahaman manusia hanya bersifat zahiri semata. Pengetahuan diterima, maklumat didapati belum tentu menjadi sumber ilmu. Apabila ia terhubung dengan ALLAH apalagi al-Quran, ilmu menjadi  cahaya yang menerangi akliah dan hati budi.

Darinya akan terbentuk sikap yang sentiasa memiliki jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang sentiasa akur pada ketentuan ALLAH.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan