BULAN Ogos dan September setiap
tahun merupakan bulan penting dalam kalendar negara kita, kerana dalam tempoh
ini, rakyat Malaysia pelbagai kaum menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan.
31 Ogos adalah merupakan tarikh
bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh
inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman
penjajah British.
Dengan tibanya tarikh bersejarah
ini membawa ingatan kepada kita untuk mengenang kembali perjuangan yang telah
dilakukan oleh tokoh-tokoh negara yang
berjuang membebaskan negara kita daripada belenggu penjajah.
Kemerdekaan sewajarnya
menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa
melibatkan pertumpahan darah. Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan
kemerdekaan yang dicapai, kerana melalui kemerdekaanlah rakyat dapat mencapai
kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.
Sambutan hari ulang tahun
kemerdekaan ke-56 mempunyai makna yang mendalam dan hanya mereka yang mengerti
dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun
kemerdekaan ini dengan tepat.
Generasi muda hari ini perlu
menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran
sejarah di sekolah adalah amat penting bagi meningkatkan pengetahuan remaja
hari ini tentang semangat dan erti sebenar kemerdekaan.
Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu
tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada bandingannya. Amatlah wajar bagi
semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, memahami dan menghayati kepentingan
kemerdekaan ini.
Tarikh 31 Ogos perlu disambut
dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik. Hal ini kerana kemerdekaan itu
adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati
bersama.
Sambutan Ulang Tahun Hari
Kebangsaan yang Ke-56 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan
lagi semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Hal Ini menjadi
lebih penting berikutan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru
ini.
Perpaduan negara sangat penting
dan menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah
negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang
penting, terutama sekali perpaduan rakyat. Perpaduan hendaklah menjadi asas
kepada semua aktiviti dan rancangan dalam semua sektor dan masyarakat di negara
ini.
Perkauman dan apa juga bentuk
polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara dan
haruslah menjadi keazaman semua pihak untuk memerangi polarisasi kaum secara
yang serupa seperti mana kita telah mengisytiharkan perang terhadap ancaman
dadah dan jenayah.
Bagi membolehkan proses tersebut
terhindar daripada rintangan, pembuat-pembuat dasar, perancang-perancang dan
mereka yang melaksanakannya hendaklah memastikan bahawa pemikiran dan amalan
mereka sentiasa tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan
Perlembagaan Persekutuan yang teragung.
Segala rancangan pembangunan,
perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan
keadilan sosial hanya akan mendatangkan makna jika rakyat berbilang kaum di
negara ini dapat memperkukuhkan kepentingan bersama ke arah perpaduan.
Usaha saling bekerjasama rakyat
Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat
cinta dan kesetiaan kepada negara dan kebanggaan menjadi warga Malaysia.
Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum
dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa hari
kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama dalam
kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.
Nilai murni menjadi asas penting
kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha mencapai taraf sebuah negara
maju. Nilai ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut
dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan
kebendaan dan kerohanian.
Hal yang perlu ditekan sekarang
ialah kita harus menyeimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan
kerohanian dan akhlak, di samping berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai
integrasi kaum dan perpaduan negara dalam gagasan 1Malaysia.
Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan