Kaherah sudah diisytiharkan
darurat sedangkan masih ramai penuntut Malaysia yang tidak pulang berhari raya
atas sebab-sebab tertentu kini diselubungi rasa cemas. Sampai bilakah pelajar
kita mampu bertahan dengan bekalan makanan yang ada dan perlu berwaspada kerana
penunjuk perasaan yang marahkan tentera merampas kuasa, tetap tidak mahu
berganjak.
Setelah gagal mengehadkan
penyokong-penyokong bekas presiden yang digulingkan menerusi campur tangan tentera,
Mesir terus menerus menerima tekanan daripada kumpulan penyokong Dr. Mohammed
Mursi yang hanya sempat memerintah selama setahun lima hari sejak memenangi
pilihan raya demokratik pertama selepas berundurnya bekas presiden selama tiga
dekad, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011.
Menurut laporan media, lebih dua
ribu orang terbunuh dalam usaha pihak polis dan tentera menghapuskan penyokong-penyokong Mursi di beberapa buah bandar sekitar
Kaherah setelah mereka mula mendesak kerajaan sementara mengembalikan kuasa
selepas dirampas pada 3 Julai lalu.
Para penyokong Parti Kebebasan
dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhawanul Muslimin berikrar akan terus
mempertahankan kemenangan yang mereka peroleh dalam pilihan raya presiden yang
diadakan pertengahan Jun 2012 - hingga ke titisan darah terakhir dan sanggup
berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan termasuk penghapusan
beramai-ramai.
Dalam kejadian yang berlaku
selepas waktu subuh ketika suasana Aidilfitri 1434 masih hangat disambut oleh
umat Islam yang memasuki hari kelima (13 Ogos 2013), pihak tentera dan polis
telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk keganasan (melakukan tembakan
peluru) dan jengkaut untuk merobohkan khemah-khemah yang dihuni oleh penyokong
Mursi.
Penyokong presiden yang
digulingkan itu menuntut pengembalian kuasa awam sejak rampasan kuasa di
Dataran Rabiah al-Adawiyah dan an-Nahda di Kaherah kini menyebabkan krisis di
Mesir memasuki fasa baharu, iaitu menghampiri perang saudara dan hampir
menyamai dengan apa yang sedang berlaku di Syria.
Jika di Syria kumpulan penentang
Bashar al-Assad telah dibunuh menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk
kimia, kemungkinan yang sama akan berlaku di Mesir. Ini kerana penyokong
Ikhwanul Muslimin semakin kental semangat juangnya dan pengalaman sedemikian
sebenarnya sudah lama mereka alami, iaitu sejak pertubuhan yang diasaskan oleh
Hasan al-Banna dilihat sebagai ancaman besar terhadap kepimpinan sekular yang
dibayangi oleh kepentingan Barat.
Apabila pihak tentera merampas
kuasa setelah beberapa rusuhan yang berlaku sejak bulan Jun lalu oleh kumpulan
anak muda yang dikenali sebagai Tamarod gagal ditangani oleh Dr. Mursi, Mesir
terus menerima kecaman pemimpin antarabangsa kerana cuba
menamatkan semangat revolusi rakyat" yang lahir daripada kegelisahan awam
terhadap pemerintah yang mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam kebangkitan semula
penyokong Mursi yang berlaku selepas rampasan kuasa tentera, pihak tentera
tidak bertindak dengan cara yang sama, sebaliknya menggunakan kekerasan bagi
mengekang bantahan penyokong Ikhwanul Muslimin. Berdasarkan situasi itu, ramai pemerhati
memberikan reaksi - sepatutnya pihak tentera dan polis tidak melakukan
kekerasan, kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan bantahan.
Akibat penggunaan kekerasan itu,
Dr. Mohamad el-Baradei yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam kabinet sementara
yang dipengaruhi oleh tentera telah meletakkan jawatan dan mengecam keputusan
Jeneral al-Tutsi sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh
semangat revolusi" menerusi kekerasan.
Keadaan ini, walaupun membawa
kepada pengisytiharan darurat dijangka bakal menyukarkan lagi rundingan dengan
penyokong Ikhwanul Muslimin meskipun beberapa hari sebelumnya, seorang tokoh
al-Azhar bercadang untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik.
Pihak tentera juga dikatakan
turut terkorban setelah penyokong-penyokong bangkit membantah kekejaman
penggunaan jentera berat ketika meruntuhkan khemah-khemah manakala tiga orang
wartawan yang hadir membuat liputan menjadikan angka kematian bertambah ramai.
Jangkaan pihak Ikhwanul Muslimin, ia sudah mencapai lebih 2,500 orang sejak
Mursi digulingkan manakala puluhan ribu orang lagi cedera terkena tembakan, gas
pemedih mati dan dipukul oleh angkatan bersenjata.
Kemungkinan itu memperlihatkan
Mesir sedang menuju konflik yang lebih besar dan lama, kerana tekad penyokong
Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Mursi diberikan semula tampok pemerintahan,
kerana ia adalah pilihan rakyat dan mendapat sokongan 51.7 peratus pengundi.
Seharusnya pihak tentera tidak
begitu cepat melakukan rampasan kuasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada
Mursi untuk menentukan masa hadapan Mesir kerana di awal kemenangannya, sudah
ada percubaan untuk menafikan pilihan rakyat. Mursi berhadapan dengan
kelengahan kerajaan sementara" yang
dibentuk oleh tentera manakala ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan parah
akibat kelumpuhan setelah kemasukan pelancong belum pulih akibat revolusi, dan
sumber kewangan yang ditinggalkan oleh Hosni hampir negatif.
Percubaan kelompok sekular yang
masih membayangi Hosni Mubarak inilah sepatutnya ditentang oleh pihak tentera
memandangkan Jeneral al-Tutsi yang dilantik oleh Mursi menganggotai kabinet
perlu bertindak sebagai pengimbang
yang setia kepada prinsip demokrasi. Jeneral al-Tutsi tidak wajar memberikan
sokongan kepada kelompok yang ingin menjatuhkan Mursi, kerana kelompok tersebut
sebenarnya terlalu rapat hubungannya dengan kehendak Barat, termasuk mereka
yang pernah membolot kekayaan ketika Hosni berkuasa.
Puak yang menaja kebangkitan
revolusi kedua yang dilancarkan oleh golongan muda itu sebenarnya mempunyai
hubungan langsung dengan Israel, kerana mereka sedang dibayangi oleh
cerita-cerita buruk mengenai Mursi sejak beliau berusaha mengeluarkan Dikri
Presiden pada bulan November 2012, bagi menjamin keputusan Presiden tidak
dipertikaikan, dan menentukan Perlembagaan Mesir yang sedang dirangka tidak
dicabuli dengan mudah.
Nasib malang yang menimpa Mursi
telah melemahkan posisi politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi, dan ini
telah diakui oleh penganalisis politik Barat, dengan tersungkurnya Mursi, maka
politik Islam telah kehilangan ideologi. Kehendak politik sekular walaupun
penuh kekurangan, kecaman dan lumpuh tahap keinsanannya akan tetap mendominasi
sistem pemerintahan sepanjang sejarah moden, dan itulah sebenarnya yang
dikehendaki oleh protocol yang telah digubal oleh tokoh Yahudi, Theodor Herzyl
sejak berjaya mencipta ilusi kekejaman Hitler dalam tragedi Holocaust dan
pembersihan etnik pada era pemerintahan Nazi di Jerman.
Bagaimanapun, dalam kekalutan
rakyat Mesir meneruskan hidup, sebagai seorang bapa yang mempunyai dua orang
anak yang masih berada di Kaherah, Muhammad Qassim dan Abdullah kerana
menyambung pelajaran setelah tergendala akibat kemelut politik di Syria,
penulis amat mengharapkan ketegangan yang berlaku segera dapat dipulihkan.
Harapan itu bukan merupakan
harapan saya seorang, kerana lebih 500 orang pelajar Malaysia masih berada di
Kaherah manakala lebih 10,000 orang lagi bakal kembali ke Mesir pada bulan
September ini bagi meneruskan pengajian masing-masing setelah pulang di tanah
air selepas bercuti selama tiga bulan.
Tentunya, jika memikirkan
keselamatan, tidak ada ibu bapa yang tidak resah dan gelisah, kerana anak-anak
itulah harapan yang disandarkan untuk masa depan, dan menerusi pendidikanlah
bakal mengubah segala-galanya.
Semoga keadaan pelajar Malaysia
selamat, begitulah juga dua orang anak penulis. Semoga Allah SWT jauhkan Mesir
daripada kancah perang saudara dan segera reda.
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan