Kefahaman adalah kunci-kata dalam
proses mengajar dan belajar. Ia adalah natijah akhir dalam suatu proses
mengajar-belajar. Teori pembelajaran memberikan asas kefahaman sebagai puncak
proses ini. Tidak faham memberi makna proses pengajaran-pembelajaran tidak
berlaku.
Setiap ilmu diajar perlu
cara berkesan untuk disampaikan kepada
pelajar. Pelajar akan menjadi manusia yang sangat gembira apabila menerima
kefahaman daripada sesuatu pengajaran. Pengajaran bukan asal sampai. Pendidikan
sendiri natijah akhirnya membawa pelajar tahu dan berpengetahuan.
Lebih jauh daripada itu maklumat dan pengetahuan tidak cukup.
Bagaimana pendidikan dapat mengolah pengajaran sehingga kefahaman membawa
kepada perubahan diri iaitu sikap, watak, tindakan dan amalan?
Suatu kaedah yang baik dalam
memberikan kefahaman ialah menerusi hujah dan penjelasan baik. Sesuatu hujah
disampaikan memerlukan kupasan dan huraian mudah diterima oleh pelajar. Apalagi
sekiranya huraian itu disertai contoh-contoh.
Dalam hal berkaitan benda ghaib,
keupayaan pendidik mengaitkan bukti ciptaan
ALLAH dengan ayat-ayat al-Quran supaya wujud hubungan antara yang nyata dengan
ghaib, supaya difahami bahawa yang dicipta itu bukanlah sesuatu yang sifatnya
semula jadi tetapi terkandung banyak hikmah kepada manusia dan kehidupan.
Pendekatan mengajak para pelajar
berfikir dan berzikir mengenai kebesaran ALLAH ini berupaya menghubungkan
kefahaman seimbang. Berfikir bermakna bagaimana daya taakulan terjadi dan ia
terhubung dengan perkara-perkara yang nampak dan berzikir dalam erti kata luas
bagaimana faktor yang nampak (tangible) dikaitkan dengan perkara ghaib.
Melihat tumbuh-tumbuhan dan
pokok-pokok daripada segala jenis adalah fenomena alamiah. Mengkaji hikmah di
sebalik hadirnya tumbuh-tumbuhan dan pokok mengajak manusia berfikir tentang
Pencipta. Betapa tumbuh-tumbuhan dan pokok terkandung rahsia besar untuk alam
dan umat manusia. Memahami hakikat ini menyebabkan manusia menghubungkan fikir
dan zikir dalam satu tautan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri. Ia
terjadi dengan kehendak Pencipta dan terkandung rahsia serta hikmah bagi orang
yang berfikir dan berzikir.
Pemahaman secara integratif ini
membimbing pelajar mencari makna akan sesuatu. Makna akan sesuatu tidak saja
difahami secara zahiri tetapi dilihat secara batini. Tumbuh-tumbuhan adalah
penting untuk suasana kehijauan dan terkait dengan faktor persekitaran.
Memelihara persekitaran adalah
sesuatu yang amat dituntut. Memusnahkan tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan
persekitaran terancam. Kepanasan dunia (global warming) yang terjadi kini
adalah akibat kerakusan manusia merosakkan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan
ia memberi kesan terhadap iklim.
Kefahaman menerusi proses fikir
dan zikir, iaitu upaya taakulan manusia dengan proses merenung dengan jiwa
tadabbur sentiasa menghubungkan apa yang dicipta dengan maksud penciptaan itu
sendiri. Kalau apa yang dicipta tidak dihargai hikmah di sebalik penciptaannya,
kerosakan kepada kehidupan akan terjadi.
Proses menerima makna adalah
puncak daripada proses faham. Sekadar tahu dan manusia memiliki maklumat tidak
memadai. Menghubungkan apa manusia tahu dan maklumat dikutip sebagai sumber
ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing akal-budi pelajar menghargai
apa diciptakan.
Justeru kefahaman terhadap
sesuatu membawa makna sebenar kepada diri dan kehidupan apabila ia terkait
dengan Pencipta. Al-Quran umpamanya terkandung pertunjuk dan pedoman kepada
orang-orang yang bertaqwa.
Takwalah yang membezakan antara
manusia dengan lainnya di sisi ALLAH. Jiwa muttaqeen ini sangat penting bagi
manusia kerana ia adalah pedoman terbaik meletakkan diri manusia memiliki
karamah insaniah. Manusia terbilang dan cemerlang, memiliki kualiti ihsan yang
tinggi dan selalu mensejahterakan diri serta sekitarnya.
Selalunya kefahaman manusia hanya
bersifat zahiri semata. Pengetahuan diterima, maklumat didapati belum tentu
menjadi sumber ilmu. Apabila ia terhubung dengan ALLAH apalagi al-Quran, ilmu
menjadi cahaya yang menerangi akliah dan
hati budi.
Darinya akan terbentuk sikap yang
sentiasa memiliki jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang sentiasa akur pada
ketentuan ALLAH.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan