Sabtu, 7 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Kokurikulum yang berteraskan nilai


Oleh : Profesor Dr. SIDEK BABA

Kokurikulum dalam pendidikan adalah sambungan kurikulum yang diajar di bilik darjah. Kokurikulum yang difahamkan selama ini tidak lebih sebagai kegiatan organisasi yang dikaitkan dengan subjek seperti Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Sejarah, Persatuan Sains, Persatuan Agama Islam dan sebagainya. Kegiatannya agak terhad dan proses pembentukan bakat dan kefahaman terhadap ilmu dan kesukarelaan menjadi kurang berkembang.

Di samping penyuburan kognitif dalam bilik darjah para pelajar harus dipupuk dan disuburkan dengan maksud afektif di luar bilik darjah.

Kokurikulum harus mempunyai kurikulum yang baik. Ia terkandung aktiviti yang bermanfaat supaya gerak kerja kokurikum dapat diukur dan dinilai. Ia menyumbang ke arah melahirkan peribadi holistik seseorang pelajar. Peribadi holistik penting dalam transformasi pendidikan supaya produk akliah (kognitif) tidak dijadikan ukuran tunggal mengenai kemajuan diri seseorang pelajar tetapi kegiatan kokurikulum memberikan cerminan potensi insan diraikan.

Persatuan Bahasa Melayu umpamanya memberi ruang kepada pelajar mengkaji tentang pola  perbahasaan, dialek masyarakat setempat dan bandingkan dengan keperluan bahasa baku yang diajar di sekolah. Penelitian mengenai bahasa juga terhubung dengan pengaruh Islam di dalam Bahasa Melayu dan pengaruh aliran lain yang terdapat dalam bahasa itu.

Dalam Bahasa Melayu terdapat ribuan istilah al-Quran dan ia tidak saja memberi asas makna tetapi juga nilai pada istilah dan bahasa yang berkaitan. Perkataan amanah, adil, ikhlas, rahmah, nikmah, mesyuarah, hikmah, zalim, syukur, manfaat dan banyak lagi mempunyai kaitan langsung dengan nilai Islam dan nilai sejagat.

Ia memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam melakukan kajian supaya belajar bahasa bukan untuk lulus periksa tetapi menerima makna bahawa pada bahasa itu terdapat nilai, kefahaman, konsep dan falsafah.

Pendekatan ini amat sesuai untuk dikembangkan di tahap sekolah menengah rendah dan juga atas supaya asas kajian lapangan diberi, penelitian di buat, laporan terhadap kajian dilakukan dan latihan pembentangan kajian dan dapatan berlaku. Tajuk-tajuk dan kerja lapangan yang diberi haruslah sesuai dengan tahap umur, kemampuan berfikir dan menyerap kefahaman supaya pembelajaran berlaku.

Masalah yang dihadapi dalam sistem kita kini ialah fokus pengajaran dan pembelajaran tertumpu kepada orientasi hafazan dan pengingatan. Lalu pengajaran lebih banyak terarah kepada upaya mengingat menerusi latih-tubi dan akhirnya diukur dengan peperiksaan. Peperiksaan menjadi fokus utama menentukan pencapaian dan kecemerlangan para pelajar dalam subjek yang dipelajarinya. Ia memberi kesan sepihak terhadap pembangunan diri pelajar.

Kokurikulum Sejarah atau Kajian Tempatan umpamanya amat menarik dikembangkan menerusi gerak kerja lapangan, kajian dan telitian, dengan mengumpul maklumat dan data. Sejarah lazimnya mengaitkan apa yang berlaku pada masa lalu. Masa lalu dilalui meninggalkan kesan sejarah. Hari ini yang sedang dilalui bakal meninggalkan jejak-jejak sejarah. Hari depan yang bakal diteroka juga bakal mengubah sejarah. Sifat sejarah adalah sinambung dan coraknya mengulangi walaupun dalam bentuk yang mungkin berbeza.

Dalam tradisi Islam, sejarah itu dilihat sebagai kisah yang membawa kesan kepada ibrah. Ibrah atau sumber teladan ini amat  penting bagi memberi pengetahuan  dan maklumat  mengenai peristiwa dan tokoh supaya yang baik itu dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan.

Kisah Nabi Lut as dalam al-Quran umpamanya boleh dihubungkan dengan isu seks bebas yang terjadi pada hari ini. Pola perlakuan hidup manusia mengulangi jejaknya meninggalkan gaya hidup yang fitrah sebaliknya memilih jalan hidup yang songsang.

Ini boleh mencetuskan kesedaran pelajar tentang betapa penting hidup dalam keadaan fitrah berpedomankan nilai dan agama supaya hal-hal yang makruf subur dalam kehidupan, dan hal-hal mungkar dapat dihindari.

Sejarah Melaka umpamanya menyatakan tentang zaman turun-naik yang menyebabkan Melaka dan Malaya akhirnya terjebak dalam kekuasaan penjajah. Zaman naiknya Melaka ialah kerana kekuatan Islam dijadikan sandaran. Sultan Alauddin Riayat Shah amat menarik untuk dikaji. Kisah Sultan Mahmud dan peminangan Puteri Gunung Ledang adalah metafora yang memberikan makna besar terhadap kejatuhan Melaka. Peranan penasihat Raja seperti Si Kitol dan Raja Mendaliar amat mustahak untuk dikaji kerana watak itu wujud pada setiap zaman yang akhirnya membawa kejatuhan terhadap sesuatu bangsa atau tamadun kerana sifat sejarah itu mengulangi jejak.

Sumber :  http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan