New Delhi : Lebih 200 bahasa lenyap di India sejak 50 tahun lalu, kata satu kajian baharu, yang turut menyalahkan perpindahan ke bandar dan ketakutan dalam kalangan puak nomad untuk bercakap bahasa ibunda mereka.
Kajian dijalankan di seluruh
negara sejak empat tahun lalu dan dikeluarkan minggu ini, mendapati 230 bahasa
‘lenyap’ sementara tambahan 870 terselamat dalam ujian masa di negara kaya
dengan kepelbagaian dan kepesatan moden, menempatkan sejumlah besar penduduk
asli dan puak.
Ganesh Devy, yang mengetuai
tinjauan itu, berkata 480 bahasa puak antara yang masih dipertuturkan di India,
manakala bahasa Hindi dan Inggeris mengukuhkan cengkaman dalam dunia mudah alih
dan saling berhubungan.
“Saya bimbang dan cemas bahawa
sejumlah besar bahasa berkurangan secara mendadak di India,” kata Devy, penulis
dan pengasas Bhasha Trust tanpa kepentingan, yang berjuang memulihara bahasa,
kepada AFP.
Pasukan Devy terdiri daripada
3,000 sukarelawan di seluruh India, melawat masyarakat di kebanyakan bahagian
terpencil negara dengan 1.2 bilion penduduk itu, untuk mengkaji dan mendokumen
bahasa yang masih dipertuturkan dan ditulis pada hari ini.
Pasukan itu meneliti bukti
kewujudan bahasa seperti penggunaan lagu rakyat dan kisah dalam bahasa asal
mereka selain istilah digunakan untuk persekitaran geografi.
Pasukan itu membandingkan
penemuan mereka dengan keputusan satu bancian kerajaan dijalankan pada 1961
yang menyatakan kira-kira 1,100 bahasa wujud di seluruh negara.
Lima kajian pertama daripada
kira-kira 50 kajian terperinci Tinjauan Bahasa Rakyat India akan didedahkan di
sini hari ini.
Sumber : AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan