Sabtu, 7 September 2013

Teks Ucapan Menteri Pendidikan Sempena Pelancaran PPPM 2013-2025



Gelombang transformasi pendidikan

11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah gagah.

Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa, hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.

Kelainan dalam penghasilan PPPM

Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

Tumpuan kepada keberhasilan murid

PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.

Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.

Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh, Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai, ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.

Dasar bahasa

Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.

Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.

Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain di seluruh sekolah.

Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.

Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.

Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan Kadazan Dusun.

Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.

Pendidikan Islam

Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.

Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan

Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.

Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh. Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.

Mengupaya pemimpin sekolah dan guru

Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.

Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan dilaksanakan.

Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan.

Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM

Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.

Penubuhan PADU

Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.

Penglibatan pihak berkepentingan

Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga Kementerian sahaja.

Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.

Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu meningkatkan PPPM ini.

Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil yang luar biasa.

Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.

Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau yang malas langsung kita akan sediakan video.

Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa tujuan kita.

Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan