ULAR
merupakan reptilia maging yang panjang dan tidak berkaki dalam suborder
Serpentes. Seperti semua spesies Squamata, ular merupakan vertebrat amniot
ektoterma yang berkulitkan sisik yang bertindan-tindih. Kebanyakan spesies ular
mempunyai tengkorak yang lebih banyak sendinya berbanding leluhur cicaknya
supaya mudah untuk menelan mangsa yang lebih besar daripada kepalanya dengan
rahang yang amat mudah gerak. Untuk menampung badan ular yang sempit, organ-organ
yang berpasangan (seperti ginjal) tersusun secara berikut-ikut, bukan
bersebelahan, apalagi kebanyakan ular hanya mempunyai sebatang paru-paru.
Sesetengah spesies mempunyai girdel pelvis dengan sepasang cakar vestij di
sebelah kloaka. Juga terdapat jenis reptilia yang tidak berkaki tetapi bukan
ular, iaitu cicak tanpa kaki; bezanya adalah, ular tiada kelopak mata dan
telinga luaran.
Ular ditemui hidup di setiap benua
(kecuali Antartika), Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, serta kebanyakan daratan
yang lebih kecil — antara yang terkecuali ialah beberapa pulau besar seperti
Ireland dan New Zealand, serta kebanyakan pulau kecil di Lautan Atlantik dan
tengah Lautan Pasifik. Lebih daripada 20
famili ular kini dikenal pasti, terdiri daripada sekitar 500 genus dan sekitar
3,400 spesies. Ular terdapat dalam pelbagai saiz, daripada ular benang yang
hanya berukuran 10 cm, hingga ular sawa rendam yang boleh mencapai 8.7 meter
(29 ka). Ular dipercayai berevolusi daripada cicak yang mengorek lubang atau
hidup dalam air sekitar pertengahan Usia Kapur; fosil ular terawal yang
diketahui bertarikh sekitar 112 juta tahun dahulu. Kepelbagaian ular moden
muncul sewaktu zaman Paleosen (sekitar 66–56 juta tahun dahulu).
Kebanyakan spesies ular tidak berbisa
manakala yang berbisa menggunakan bisanya terutamanya untuk membunuh dan
melumpuhkan mangsa berbanding mempertahankan diri. Terdapat ular yang memiliki
bisa yang cukup kuat untuk menyebabkan kesakitan yang teruk atau kematian
terhadap manusia. Ular yang tidak berbisa pula menelan mangsa hidup-hidup atau
menjerut mangsa hingga mati.
TAHUN ULAR :
2013 merupakan Tahun Ular mengikut
kepercayaan masyarakat Cina. Pakar Feng Shui meramalkan warna bertuah pada
tahun 2013 adalah warna biru, hijau dan ungu.
Menurut Prof Joe Choo dalam mStar Online,
industri berada dalam keadaan baik pada tahun 2013 iaitu Tahun Ular, terhadap
orang-orang yang berkaitan dengan unsur-unsur air, kayu dan logam, termasuk
bidang insurans dan kewangan, kewartawanan dan pendidikan, logam dan perniagaan
yang berkaitan dengan mineral. Tarikh bertuah untuk majlis perkahwinan,
memulakan perniagaan atau untuk melahirkan bayi, ialah pada 11 Februari, 12
April, 10 Ogos, 9 Oktober dan 8 Disember.
Bagi individu yang lahir Tahun Ular iaitu
tahun 1917, 1929, 1941, 1953, 1965, 1977, 1989, 2001 dan 2013 akan menjadi
lebih baik dalam percintaan dan pekerjaannya pada Tahun 2013 berbanding
tahun-tahun lain. Dalam bidang akademik, individu akan lebih menonjol daripada
yang lain asalkan individu tersebut fokus terhadap apa yang dipelajari.
Individu akan dapat banyak kenalan baru dan hubungan dengan rakan-rakan akan
bertambah rapat.
Individu yang lahir pada tahun ular
mempunyai personaliti yang menarik, licik, cerdas, berfikir secara mendalam,
bijaksana, lemah lembut, mudah menangis, berani, belas kasihan dan berwaspada.
Sifat negatif pula adalah cemas, malas, berahsia dan cerewet.
ULAR DALAM PERIBAHASA MELAYU :
Ular merupakan spesies haiwan yang tidak asing bagi masyarakat Melayu. Oleh sebab itu, banyak peribahasa Melayu menggunakan spesies ini sebagai unsur dalam peribahasa. Antaranya :
1. Ular bercampur dengan belut, tak akan
hilang bisanya. Orang yang jahat, jika
bergaul dengan orang yang baik-baik tiada akan berubah tabiatnya. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
2. Ular berkepala dua. Tidak tentu pihak mana yang diikuti; orang
yang munafik. (Peribahasa lain yang sama makna: Sekerat ular, sekerat
belut). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
3. Ular berlingkar di gulungan
tikar. Orang jahat yang menyamarkan
diri dalam kumpulan orang baik-baik.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
4. Ular biar mati, tanah jangan lekuk,
buluh jangan pukah. Menyelesaikan
sesuatu perkara (= menghukum, memperdamaikan) hendaklah dengan adil, sehingga
kedua-dua belah pihak merasa puas hati. (Peribahasa lain yang sama makna: a.
Menarik rambut di dalam tepung, b. Seperti memalu ular dalam benih: ular biar
mati, benih jangan rosak). (Bandingkan dengan: a. Bagai menghela rambut dalam
tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak, b. Bagai menghela tali
jala: rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
5. Ular bukan, ikan pun bukan. Tidak dapat ditentukan baik atau
buruknya. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
6. Ular menyusur akar. Orang besar yang merendahkan diri tidak
akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: Jikalau ular menyusur
akar, tiada hilang bisanya). Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
7. Ular telan babi, cacing yang bengkak
perut. Iri hati melihat keberuntungan
orang lain. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
8. Takut pada ular, terkejut pada
bengkarung. Kerana takut kepada orang
yang berkuasa, lalu takut pula kepada keluarganya. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
9. Tertangguk pada ikan dikeruntungkan,
tertangguk pada ular dikeruntungkan juga.
Buruk atau baik diterima saja setelah dimuafakati beramai-ramai.
keruntung = keranjang untuk menyimpan ikan.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
10. Tak akan hilang bisa ular yang menyusur
di bawah akar. Orang besar yang
merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama
makna: a. Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya, b. Ular menyusur
akar). Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
11. Tiada hilang bisa ular dek menyusur
akar. Tiada hilang martabat seorang
yang mulia kerana merendahkan diri.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
12. Takkan ada katak beranakkan
ular. Orang yang pengecut takkan
menjadi orang yang berani. Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
13. Sekali dipatuk ular, tali pun
ditakutkannya juga. Orang yang telah
pernah menderita kesusahan (kecelakaan), maka berhati-hatilah ia dalam semua
gerak-gerinya. (Peribahasa lain yang sama makna: Sekali tersengat, selalu beringat). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
14. Sekerat ular, sekerat belut. Tidak tentu pihak mana yang diikuti; orang
yang munafik. (Peribahasa lain yang sama makna: Ular berkepala dua). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
15. Sama menjulur sama menjalar, lain
belut lain ular. Dua orang yang sama
rupa dan perjalanannya tetapi budi pekertinya berlainan. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
16. Seperti kecek ular. Menceritakan berlebih-lebihan daripada
keadaan yang sebenarnya. Kamus
Istimewa Peribahasa Melayu
17. Seperti ketiak ular. Cakap yang tak berkeputusan. (Peribahasa
lain yang sama makna: Kecek bagai ketiak ular). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
18. Seperti memalu ular dalam benih: ular
biar mati, benih jangan rosak.
Bersikap bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah. (Peribahasa lain
yang sama makna: Menarik rambut di dalam tepung). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
19. Seperti menangkap ular di
ekornya. Mencuba mengalahkan musuh
yang cerdik, akhirnya kitalah yang binasa.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
20. Seperti ular dikutik ekor. Marah yang amat sangat; bergerak
cepat. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
21. Seperti ular kena palu (= bedal,
pukul). Menggeliang-geliut kerana
terlalu marah. Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
22. Sudah tampak kaki ular. Tingkah laku seseorang yang jahat yang
sudah mulai diketahui. Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
23. Pacat hendak menjadi ular. Orang miskin berlaku seperti orang kaya;
mengharapkan yang bukan-bukan. Kamus
Istimewa Peribahasa Melayu
24. Perempuan melangkahi ular tiada
lepas. Perempuan itu selalu dalam
bahaya kerana kelemahannya. (Bandingkan dengan: Melangkahi ular). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
25. Naga ditelan ular lidi. Anak orang bangsawan berkahwin dengan orang
kebanyakan. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
26. Melangkahi ular. Melakukan sesuatu yang sangat
berbahaya. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
27. Macam ular kekenyangan. Orang
yang buncit perutnya sehingga berjalannya pun sudah tidak betul lagi. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
28. Lebih baik seekor singa di padang
yang luas, daripada seekor ular di dalam rumput. Lebih baik musuh besar di dalam terang
daripada musuh kecil di dalam sulit.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
29. Laksana katak di harung ular. Lari bercempera dengan suara riuh rendah
kerana ketakutan. Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
30. Katak menggigit telunjuk, melihatkan
ular sudah menjadi belut. Orang jahat
yang sudah berubah jadi baik, namun orang masih curiga juga. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
31. Kecek bagai ketiak ular. Cakap yang tak berkeputusan. (Peribahasa
lain yang sama makna: Seperti ketiak ular).
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
32. Kerosok ular di rumpun bambu. Ancaman daripada orang yang pengecut.
kerosok = bunyi di daun-daun kering kerana dilalui binatang atau
lain-lain. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
33. Jika kepalanya ular, takkan ekornya
belut. Yang jahat itu tetap
jahat. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
34. Jikalau ular menyusur akar, tiada
hilang bisanya. Orang besar yang
merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama
makna: a. Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar, b. Ular
menyusur akar). Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
35. Jangan menggerak ular tidur. Bahaya jangan dicari-cari. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
36. Hendak singa di tengah padang lagi,
daripada ular di dalam rumput. Lebih
baik berdepan dengan musuh besar di tempat terang daripada musuh kecil di dalam
sulit. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
37. Gajah ditelan ular lidi. Orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang
lemah; perempuan bangsawan yang diperisteri oleh orang kebanyakan. (Peribahasa
lain yang sama makna: a. Gajah dialahkan oleh pelanduk, b. Gajah mati dicatuk
katak, c. Mati dicatuk katak). Kamus
Istimewa Peribahasa Melayu
38. Di waktu garuda alah oleh ular. Kiasan kepada waktu yang telah lalu; zaman
dulu kala. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
39. Cengkeling bagai ular dipukul (=
dipalu). Geliang-geliut kerana
kesakitan. cengkeling = berbelit-belit.
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
40. Cacing menjadi ular naga. Orang hina menjadi orang mulia. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
41. Cik puan melangkah ular tak
lepas. Gerak-geri perempuan yang lemah
lembut. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu
42. Bagai ular dengan legundi (= lenggundi). Sangat terpikat kepada kekasih. legundi =
sejenis tumbuhan. Kamus Istimewa
Peribahasa Melayu
43. Bagai bersahabat dengan ular
bisa. Berkawan dengan orang yang
jahat. Kamus Istimewa Peribahasa
Melayu