POLEMIK berhubung pengenalan
kursus Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) pada peringkat pengajian tinggi di
negara ini tidak sepatutnya berlaku.
Kepentingan peranan agama dalam
proses pembangunan sudah lama disepakati. Namun, realitinya tidak sedemikian.
Jelas, polemik ini mengesahkan iaitu masih ada segelintir anggota masyarakat
yang masih dalam keadaan keliru berhubung persoalan hubungan agama dan negara
sehingga terus mempertikaikan sebarang langkah dan usaha ke arah pengukuhan
peranannya dalam proses pembangunan negara kita.
Kelompok masyarakat yang
mengkritik pelaksanaan pengajaran TITAS ini boleh dianggap sebagai saki baki
kumpulan yang masih belum mampu meninggalkan kesan penjajahan pemikiran dan
budaya yang terjadi di negara ini oleh kuasa Eropah beberapa dekad lalu. Memang
salah satu daripada warisan penjajahan yang wujud ialah doktrin pemisahan
hubungan agama dan negara sebagai satu bentuk pendekatan diyakini penting dalam
proses pembangunan sesebuah negara.
Doktrin ini diamalkan oleh kuasa
penjajah sepanjang penguasaan mereka di negara ini atas asas pengalaman
ketamadunan mereka di Eropah. Sejarah pertembungan agama dan negara dalam
ketamadunan Eropah memang dicatat secara meluas dalam teks ilmiah terjadi pada
sekitar abad ke-17 dan ke-18. Pertembungan itu membawa masyarakat Eropah ke
satu jalan keluar, iaitu perdamaian antara keduanya hanya dapat diwujudkan
sekiranya setiap pihak diberikan batasan khusus ruang pengaruh dan
pertanggungjawaban. Model ini diguna pakai oleh penjajah di negara ini dalam
menjalankan urusan penguasaan mereka.
Kelompok dipengaruhi doktrin ini
melihat sebarang bentuk percampuran hubungan dan peranan agama dan negara
hendaklah diawasi dan ditegah. Cadangan agar TITAS bukan menjadi subjek wajib
adalah antara jelmaan ketidakselesaan mereka atas pembabitan langsung negara
dalam urusan membabitkan proses pembentukan nilai dan perspektif agama
warganya.
Sekiranya ditinjau, sikap
penentangan itu bukan hanya terjadi dalam konteks TITAS saja. Sebelum ini,
sudah berlaku beberapa pertembungan yang hampir sama dalam beberapa isu
membabitkan soal penerapan nilai agama dalam kehidupan negara seperti dalam
aspek perundangan seperti isu pengawalan moral dan cadangan pelaksanaan hukum
jenayah syariah di negara ini.
Bagi kelompok yang menganut
doktrin pemisahan hubungan dan negara, langkah dan cadangan ini adalah satu
bentuk usaha halus negara bagi melaksanakan proses Islamisasi dalam urusan
kehidupan kenegaraan secara beransur-ansur. Oleh itu, ia harus diawasi dan
ditegah bagi memastikan identiti negara ini kekal mewarisi pemikiran dan
kebudayaan ditinggalkan penjajah lalu terutama dalam hal-ehwal urus tadbir
negara.
Bagi pelopor pemikiran kesatuan
agama dan negara, doktrin pemisahan yang dianuti sekelompok masyarakat negara
kita sebagai tergambar dalam polemik TITAS harus menjadi ingatan bahawa cabaran
mereka dalam usaha mengukuhkan peranan agama dalam kehidupan bernegara masih
besar.
Dalam erti kata lain, masih ramai
berasa kurang selesa dengan pelbagai acara penerapan nilai agama daripada
kalangan masyarakat kita. Tentu ketidakselesaan dan ketidakpuasan hati
ditunjukkan itu berpunca daripada kejahilan terhadap hakikat keluhuran agama
yang penting dalam memenuhi maksud pembangunan bersifat menyeluruh dan
sempurna. Kelompok ini nampaknya gagal memahami dan menghayati, iaitu kedudukan
istimewa agama dan peranannya dalam pembangunan warga dan negara pada
perspektif masyarakat Muslim.
Nilai ajaran agama yang luhur dan
sejagat berfungsi sebagai idea pendorong dalam membentuk masyarakat dan
generasi yang progresif dan inovatif. Apabila penentangan berlaku terhadap
pelbagai usaha penerapan nilai agama oleh negara, ia menunjukkan kefahaman
agama kelompok ini masih berada pada tahap rendah terhadap hakikat agama Islam.
Konsep Islam sebagai sebuah tatacara dan sistem nilai bersepadu masih tidak
dapat dihayati. Mereka seumpama masih berada dalam tahap lama menanggapi Islam
sebagai satu kegiatan ritual rohani yang tiada berkaitan dengan urusan
kehidupan lahiriah yang kompleks kini. Pada mereka, penerapan nilai dan
kefahaman agama boleh mengancam dan merencatkan agenda pembangunan sesebuah
negara yang menuntut fakta dan penelitian objektif.
Kelemahan berfikir mengenai
peranan agama oleh sesetengah kelompok masyarakat ini mendukacitakan.
Penentangan terhadap TITAS sebenarnya memberi justifikasi yang lebih kuat agar
subjek itu terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Kejahilan
yang ditunjukkan kelompok ini terhadap peranan kefahaman agama dan peradabannya
menggambarkan pengenalan TITAS amat penting dipertahankan. Seharusnya, mereka
mencadangkan langkah bagi mengatasi kelemahan yang barangkali wujud dalam
pelaksanaan kursus ini dan bukan melemahkannya.
Dalam konteks ini, Kementerian
Pengajian Tinggi tidak harus tunduk dengan desakan kelompok ini kerana ia
adalah langkah ke belakang. Pendedahan mengenai hakikat keunikan peradaban
Islam dan peradaban Asia lain akan mengayakan pengalaman dan mendekatkan
persefahaman generasi muda negara. Ia juga akan mengukuhkan penghargaan mereka
terhadap peranan agama sebagai wahana yang mensejahterakan negara dan bukan
sebaliknya.
Penulis ialah pensyarah di
Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/