Jumaat, 6 September 2013

ISU BAHASA : Mengenali bahasa slanga


Oleh : MUHAMMAD DAUD

PERNAHKAH kita mendengar beberapa perkataan digunakan kumpulan tertentu yang tidak kita fahami? Anehnya, ahli kumpulan yang guna perkataan tersebut memahaminya. Bahasa ini dikenali sebagai slanga. Secara ringkasnya, bahasa slanga ialah yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut memahaminya serta dianggap bahasa tidak rasmi.

Sesuatu kelompok masyarakat itu mempunyai bahasa slanganya sendiri dan hanya kelompok itu yang memahaminya. Bahasa slanga yang digunakan juga berbeza antara satu tempat dengan tempat lain.

Bahasa slanga pada mulanya digunakan oleh pelajar-pelajar universiti kerana persekitaran mereka menyebabkan berkembangnya bahasa ini. Antara contoh bahasa slanga dalam kalangan pelajar universiti seperti yang ditulis oleh Nik Safiah Karim  dalam bukunya ialah ‘snake’ (pensyarah yang tidak memberi soalan peperiksaan kepada mahasiswa seperti dikehendaki), ‘kacang’ (mata pelajaran yang senang), ‘koyak’ (gagal), ‘karipap’ (gred D) dan lain-lain lagi. Selepas pelajar-pelajar universiti, artis-artis rok (rock) juga banyak menyuburkan bahasa slanga. Istilah-istilah seperti ‘tangkap leleh (mengasyikkan), ‘tangkap cintan’ (jatuh cinta), ‘tangkap nangis’ (sedih) dan ‘mengancam’ (hebat) begitu popular. Kumpulan yang ketiga sering dikaitkan dengan bahasa slanga ialah remaja. Antara istilah popular dalam kalangan mereka ialah  ‘mat rempit’ (remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya), ‘cun’ (cantik), ‘jambu’ (cantik), ‘balak’ (teman lelaki), ‘pak we’ (teman lelaki), ‘mak we’ (teman wanita), ‘skema’ (terlalu mengikut peraturan), dan lain-lain lagi.

Bahasa slanga yang digunakan berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Contohnya, ada kumpulan yang menggunakan ‘ayam’, ‘burung’ atau ‘sanggul’ untuk merujuk kepada pelacur.

Bahasa slanga juga telah dikenal pasti wujud dalam bahasa-bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, contohnya, ‘whale tail’ iaitu ikatan pinggang berbentuk ‘Y’ pada seluar dalam, dan ‘muffin-top’( bahagian daging daripada pinggang yang terjulur keluar apabila memakai seluar atau skirt yang ketat).

Saya telah berjaya mengesan beberapa bahasa slanga yang digunakan oleh pelajar asrama di sebuah sekolah. Antara perkataan yang digunakan ialah ‘mengisi’ (memukul), ‘relay’ (merokok secara beramai-ramai), ‘pejabat’ (tandas tempat merokok), ‘mengopi’ (meniru dalam peperiksaan), ‘spongebob’ (orang yang mempunyai suara nyaring), ‘tenggiling’ (telefon bimbit), ‘toyol’ (membawa nota dalam peperiksaan) dan ‘loga’ (orang yang berambut keriting). Namun seperti yang dijelaskan sebelum ini, istilah ini kemungkinan berbeza dengan istilah yang digunakan oleh pelajar di asrama sekolah lain.

Beberapa faktor wujudnya bahasa slanga telah dikenal pasti, antaranya untuk menunjukkan identiti kumpulan berkenaan. Faktor-faktor lain ialah tekanan emosi yang dihadapi oleh remaja sama ada dari aspek pelajaran, percintaan dan kewangan menyebabkan bahasa slanga tercipta selain sebagai tujuan berjenaka dengan rakan-rakan mereka. Remaja juga cuba untuk meringkaskan perkataan demi mempercepat sebutan di samping menyatakan sesuatu yang lucah dan abstrak secara tersirat. Bagi sesetengah kumpulan pula, beberapa istilah dicipta untuk mengelakkan kegiatan negatif mereka diketahui orang lain.

Sebagai kesimpulannya, walaupun perkembangan bahasa slanga ini sukar dibendung akibat daripada perkembangan teknologi, namun gejala ini harus dikawal terutama dalam urusan-urusan rasmi agar bahasa Melayu terus terpelihara. Kita bimbang jika bahasa slanga terus berleluasa, kemungkinan besar akan timbul silap faham antara pengguna bahasa Melayu. Marilah sama-sama kita mempertahankan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pengambilan guru hanya daripada 30% graduan terbaik


KUALA LUMPUR - Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.

Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.  

Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar.

Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.

Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.  

Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.

Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini.

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : PPPM saranan, gagasan rakyat


Oleh : Teo Kok Seong
 
Sesungguhnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah buah fikiran rakyat. Ini kerana PPPM dibina atas saranan rakyat mengenai sistem pendidikan yang mereka inginkan untuk generasi muda negara.

Dalam menggubal PPPM ini, kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan rakyat daripada semua lapisan dan sektor untuk ikut serta dalam pelbagai dialog terbuka, perbincangan meja bulat, bengkel dan sebagainya. Tujuannya untuk memperoleh maklumat dan cadangan yang boleh diberi pertimbangan dalam PPPM.

Sehubungan ini, berpuluh-puluh ribu orang awam, pendidik, pelajar, pegawai pendidikan dan lain-lain dari seluruh negara, memperlihat keprihatinan mereka terhadap sistem pendidikan negara. Mereka lakukan ini untuk kebaikan golongan muda kita agar dapat melalui sistem pendidikan yang bermutu.

Pelbagai pandangan diambil kira

Selain ini, ribuan tulisan dalam media, baik yang konvensional mahupun baharu, memorandum pihak berkepentingan serta resolusi seminar yang dianjurkan oleh pihak bebas, turut diambil kira.

Pandangan panel penilai bebas dalam dan luar negara, kajian universiti tempatan dan badan antarabangsa seperti Bank Dunia, serta dapatan makmal pendidikan yang dianjurkan oleh KPM, ikut dijadikan input untuk penggubalan PPPM.

Setiap satu maklumat ini dikumpul untuk dianalisis secara rinci. Hasilnya 25 perkara penting dikenal pasti. Perkara ini kemudian dikelompokkan di bawah lima tajuk, iaitu akses, kualiti, ekuiti, kecekapan dan perpaduan. Ini kemudian dijadikan lima aspirasi pada sistem pendidikan negara.

Selain ini, enam aspirasi untuk setiap pelajar juga digariskan. Ia meliputi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dua bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Semua ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Daripada maklumat yang dikumpulkan itu, 11 anjakan paradigma dikenal pasti untuk memacu sistem pendidikan negara pada tahap yang membolehkan golongan muda kita bersaing di persada antarabangsa.

Anjakan itu adalah peluang sama rata untuk memperoleh pendidikan bermutu, kecekapan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pemerkasaan pendidikan agama dan moral, transformasi profesion perguruan, kepemimpinan sekolah yang berprestasi tinggi, pengupayaan jabatan pendidikan, pemanfaatan teknologi maklumat dan komunikasi, transformasi kebolehupayaan KPM, kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, perancangan perbelanjaan berkesan serta ketelusan kebertanggunjawaban berhubung PPPM.

Jangkaan pencapaian

Pelancaran PPPM yang bakal disempurnakan itu dijangka akan ikut memperlihat jangkaan pencapaian pada setiap gelombang masa yang ditetapkan. Untuk ini, tiga gelombang dikenal pasti. Yang pertama ialah dari 2013-2015, kedua dari 2016-2020 dan ketiga 2021-2025. Ini sebetulnya memperlihat betapa seriusnya iltizam kerajaan untuk membangunkan pendidikan di negara pada kali ini yang perlu sesuai dengan keperluan abad ke-21. Oleh itu, tidak wajar sekali jika ada pihak dalam kalangan rakyat Malaysia yang cuba mempertikai PPPM, lebih-lebih lagi dari sudut perkauman.

Tindakan sesetengah pihak daripada kaum Cina untuk menentang PPPM kerana didakwa akan melenyapkan pendidikan aliran Cina akhirnya, bukan sahaja langsung tidak berasas tetapi amat bersifat perkauman.

Ini kerana dakwaan itu memberi implikasi bahawa kerajaan yang diterajui etnik Melayu sebagai kelompok dominan, mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kelompok minoriti. Ini sesungguhnya tidak benar sama sekali.

Iktiraf pendidikan vernakular

Sehubungan ini, PPPM seperti beberapa pelan pembangunan pendidikan sebelumnya, tetap mengiktiraf pendidikan vernakular. Selain menyangga asas pembentukan negara, iaitu kemajmukan etnik dan keragaman budaya, PPPM ikut membangunkan pendidikan aliran Cina selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Berbalik kepada penentangan ini, rakyat yang ikut menggubal PPPM perlu bangun untuk menempelak pihak ini. Ini kerana pihak ini langsung tidak menghormati saranan dan gagasan rakyat yang menjadi sebahagian besar PPPM.

Sebenarnya tidak ada satu pun bahagian dalam PPPM, sama ada tersurat mahupun sebaliknya, yang menyaran penutupan pendidikan aliran Cina seperti yang didakwa wujud dalam PPPM oleh pihak ini.

Cadangan pelaksanaan PPPM, selain berlandaskan ilmu pendidikan, sudah tentu ikut mengambil kira aspirasi nasional, antaranya perpaduan negara dan integrasi nasional.

Justeru, penentangan terhadap PPPM boleh dianggap sebagai tindakan untuk menyanggah rencana negara. Sudah tentu ia boleh dikira sebagai perbuatan khianat kepada negara!

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Hayati semangat dan roh PPPM


Oleh : ABDUL RAZAK IDRIS

TIADA ibu bapa di dunia ini yang mahu anaknya menjadi insan yang tidak berilmu dan cetek pemikiran. Pendek kata kelahiran anak merupakan satu tugas yang berat untuk dipikul oleh golongan tersebut. Tanyalah kepada siapa sahaja malah kepada penjenayah sekalipun, mereka pasti mahu anak mereka menjadi manusia berguna dan tidak menjejak langkah sumbang mereka dalammengharungi kehidupan.

Bagi mencapai objektif mewujudkan generasi masa depan yang bakal kita tinggalkan untuk mewarisi negara ini, maka kerajaan perlu mewujudkan satu pelan pendidikan yang komprehensif yang dinamakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Namun amat menyedihkan pelan yang bertujuan baik itu dianggap sebagai satu wadah untuk memperkasa sesuatu bangsa dan bahasa semata-mata oleh sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dengan jelas menyatakan kelmarinbahawa ibu bapa turut diberi pengiktirafan dalam PPPM 2013-2025 dengan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menerima peruntukan khas. Peruntukan tersebut sudah pasti mampu menjadikan persatuan yang sering dilanda isu yuran tahunan tersebut untuk bergerak lebih berkesan dan penuh objektif menambah baik pembelajaran dan pengajaran (P&P) murid-murid di sekolah.

Muhyiddin juga menjelaskan menerusi PPPM, setiap sekolah akan dibekalkan sarana ibu bapa iaitu panduan untuk golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada sekolah. Langkah sedemikian jelas menunjukkan kerajaan tidak mahu dianggap sebagai tidak prihatin dengan pandangan golongan ibu bapa yang lahir dari sistem pendidikan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Kokurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) itu sendiri satu masa dahulu.

Ditambah pula dengan pendedahan dunia maya menyebabkan masyarakat hari ini bukan sahaja meronta-ronta untuk melahirkan idea yang bernas malahan mahu menyumbang sesuatu yang berkualiti untuk meningkatkan pendidikan negara. Boleh dikatakan ibu bapa hari ini lebih terkehadapan dan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir.

Inilah masa untuk berkongsi kekayaan negara dan limpahan intelek yang hanya berkisar di laman-laman sembang media sosial dan di warung kopi Pak Mat semata-mata. Kadangkala apabila kita mendengar buah fikiran orang biasa berbanding golongan intelek di kerusi empuk ada kalanya ada logik yang boleh dipakai.

Misalnya, baru-baru ini penulis berjumpa dengan seorang rakan lama, yang mencadangkan agar anak-anak kita bukan sahaja diberi ilmu moden dan bahasa malahan pemakanan mereka dijaga sejak dari dalam perut ibu lagi. Caranya, beliau mencadangkan, agar kita memberi makan dan mengamalkan petua-petua oleh golongan Yahudi yang terkenal dengan bijaksana hingga menganggap mereka bangsa terbaik.

Dijelaskan juga teman tersebut, bahawa, tidak guna pemakanan tidak betul dan hentam keromo tetapi mahu mengajar perkara yang elok dan saintifik kepada anak-anak. Beliau memberi contoh wanita Yahudi semasa hamil akan belajar matematik tambahan, kimia, fizik dan biologi dan membuat ujian dengan tekun. Mereka percaya amalan ini mampu merangsang minda janin di dalam perut untuk lahir menjadi manusia yang bijak.

Teman itu juga memberitahu, pemakanan Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik. Susu kambing dengan kurma Ajwa tiga kali sehari mampu menguatkan ingatan dan memudahkan hati untuk menghafal apa ilmu sekalipun di dunia ini. Hari ini di negara ini, anak kita makan nasi lemak dengan nugget proses yang boleh diragui kehalalannya. Mengapa tidak pemakanan bangsa Yahudi yang positif diamalkan dan kaedah pemakanan Rasulullah SAW kita amalkan. Walaupun rejim Zionis itu terkenal dengan sikapnya namun sudut positif kita boleh ambil.

Namun apa yang dinyatakan itu hanya menyumbang sedikit 'kepintaran' anak kita kerana mereka perlu juga mempelajari ilmu akademik sambil melayari realiti hidup hari ini. Di negara kita, Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan merupakan bahasa pertuturan paling ramai di nusantara. Langkah memperkasakannya perlu dipandang oleh beberapa pertubuhan yang memandang serong kepadanya dengan pandangan mata hati. Kerajaan pasti jika bahasa rasmi tersebut lebih perkasa maka ia mampu menjadi bahasa ekonomi antarabangsa di dalam negara ini dan sekali gus mengukuhkan ikatan perpaduan yang pada masa ini menjadi taruhan politik parti tertentu.

Justeru, sempena pembentangan PPPM 2013-2025 kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghayati semangat dan roh pelan tersebut dengan memandang jauh ke hadapan dan melupakan sejenak persaingan politik yang jika dilayan tidak akan titik noktahnya.

Kita bangsa Malaysia yang mahu menjunjung kemuliaan sebagai negara maju dari segi ekonomi dan perpaduan sepatutnya melihat pelan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk rakyat negara ini bukan rakyat negara luar mahupun pendatang asing tanpa izin. Apa salahnya mengikut cara baik dari kaum tertentu jika ia ada kebaikan.

Jika Bahasa Melayu mampu mengukuhkan perpaduan dan cara perniagaan orang Cina boleh dikongsi apa salahnya ia menjadi sebahagian PPPM. Bukankah Malaysia negara kita, tanah tumpahnya darah kita ke mana kita akan pergi jika kita terus berbalah soal ilmu. Bersatulah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Subjek BM Diajar 240 Minit Seminggu Di SJK


KUALA LUMPUR : Waktu pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil akan meningkat daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu untuk memperkasakan penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penambahan masa itu tidak akan menjejaskan pembelajaran bahasa ibunda lain seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.

"Kita tambah kerana kita rasakan (penguasaan) kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan ini agak lebih rendah. Ia mesti dinaikkan taraf, walaupun tak setanding dengan Sekolah Kebangsaan tapi jangan terlalu jauh (jurangnya).

"Pegawai di peringkat kementerian ada mencadangkan supaya ditambah 270 minit, tetapi ini tak disenangi oleh masyarakat dan pendukung sekolah Cina, sekolah Tamil tak ada masalah, mereka terima.

"Jadi sebab itu kita ambil jalan tengah memutuskan tambahan 240 minit dan mereka semua terima," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata kementerian sedang mengkaji untuk menambah waktu pembelajaran di Sekolah Kebangsaan kepada dua jam bagi pembelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita mungkin sambung dua jam sehari, jadi kalau balik (sekolah) selalu pukul 1 (tengah hari), dengan tambahan ini akan balik jam 3 atau 3.30 petang atau sepuluh jam seminggu.

"Bagi sekolah satu sesi saya rasa tak ada masalah, bagi 1,600 buah sekolah yang mempunyai dua sesi kita buat secara berperingkat tetapi mungkin boleh ditambah dengan waktu tambahan luar sekolah," katanya.

Muhyiddin turut menangkis tohmahan sesetengah pihak kononnya pelan itu akan menghapuskan atau mengurangkan pembelajaran bahasa ibunda lain seperti Cina dan Tamil.

"Kalau ada pihak yang mengatakan kita nak menghapuskan bahasa-bahasa ibunda, itu tak betul kerana pelan ini dibuat berdasarkan Akta Pendidikan dan bersandarkan kepada apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia di mana bahasa pengantar utama dalam sekolah kita adalah Bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain termasuk bahasa ibunda tidak disekat atau dihalang.

"Malah, dalam sistem persekolahan kita diberikan galakan kerana selain daripada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kita mahu pelajar kita menguasai lebih banyak bahasa," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan keyakinan bahawa pelan berkenaan akan merapatkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

"Jurang sudah mula rapat tapi belum lagi sama. Tetapi pastinya di luar bandar ada masalah-masalahnya sebab mereka datang dari kumpulan 'socially disadvantage'.

"Ibu bapa (di luar bandar) mungkin tak begitu memberi perhatian, sebab itu tahap pencapaian mereka tak sama dengan bandar. Dalam pelan ini, kita sebutkan peranan ibu bapa dan komuniti, kalau anak di luar bandar nak lebih berjaya, ibu bapa kena bagi lebih masa bimbing anak mereka," katanya.- BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Tiada lagi soalan ramalan UPSR dan SPM 2016


KUALA LUMPUR - Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.
  
Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.
  
"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
  
Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
  
Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.
  
Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.
  
Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.
  
Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
  
Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.
  
Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.
  
Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.
  
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu. - Bernama