Sabtu, 8 Mac 2014

ISU BAHASA : “Lautan api akan aku renangi...”


Oleh : MUHAMMAD DAUD

BENARLAH kata orang, apabila hati dilamun cinta, bulan dan bintang  pun bisa dihadiahkan buat kekasih hati, apatah lagi kalau setakat untuk berenang merentasi lautan api.

Bagi merungkaikan perasaan di hati pasangan yang bercinta, maka terungkaplah ayat-ayat cinta seperti:

Lautan api akan aku renangi…
Dirimu segala-galanya bagi aku…

Sebenarnya, kata ganti diri pertama 'aku' boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut mengikut situasi hubungan antara insan yang berdialog.

Ketika berdoa ke hadrat Tuhan, kita juga menggunakan kata ganti diri pertama ini, contohnya, “Aku bermohon kepada-Mu ya ALLAH, ampunilah dosaku.”

Namun, sekiranya digunakan kata ganti diri pertama 'aku' semasa kita bercakap dengan ibu bapa, tentu kita akan dilihat sebagai kurang beradab.

Begitu juga dengan seorang murid yang bercakap dengan guru dan membahasakan dirinya sebagai aku, murid tersebut akan dianggap sebagai kurang ajar.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekecualian bagi masyarakat yang berketurunan Jawa kerana tidak dianggap sesuatu yang kasar jika seorang anak membahasakan dirinya sebagai aku.

Jika kita bandingkan penggunaan kata ganti diri pertama 'aku' dalam situasi-situasi di atas, nescaya penggunaan 'aku' menggambarkan dua makna yang berbeza.

Penggunaan 'aku' dalam situasi pertama (antara dua kekasih) dan situasi kedua (antara manusia dengan Tuhan) tentunya tidak sesuai diganti dengan kata ganti diri pertama 'saya'. Dalam situasi ketiga (antara anak dengan ibu bapa) dan keempat (antara murid dengan guru) pula, kata ganti diri pertama 'aku' perlu diganti dengan 'saya'. Lihat pula contoh di bawah ini:

“Rosli, aku jumpa dengan Adnan semalam,” beritahu Zalizi.

Dalam konteks dialog di atas, Zalizi mempunyai hubungan yang rapat dengan Rosli. Penggunaan 'aku' dalam pertuturan dan ungkapan bahasa Melayu dapat menunjukkan hubungan yang rapat antara penggunanya. Cuba kita renungkan pula dengan siapa kita membahasakan diri sebagai 'saya'?

“Saya minta maaf jika kata-kata saya menggores perasaan awak,” kata Imran kepada Dr Nasir.

Dialog di atas menunjukkan hubungan antara Imran dengan Nasir tidaklah serapat hubungan antara Zalizi dengan Rosli. Hal ini membuktikan 'aku' dan 'saya' dapat mengukur tahap keakraban antara dua sahabat.

Dalam konteks lain pula, apabila bertutur dengan seseorang yang sepatutnya kita hormati, tidak wajar untuk kita membahasakan diri sebagai aku.

Jadi, di sini jelas dalam situasi ketiga (bercakap dengan ibu bapa atau orang tua) dan situasi keempat (murid bercakap dengan guru) di atas, menjadi sebab kita perlu membahasakan diri sebagai 'saya'.

Bagaimanakah pula bagi yang bahasakan dirinya mengikut nama?

“Abang, tolong ambilkan air. Mariah hauslah,” beritahu Mariah kepada suaminya, Rahim.

Penggunaan nama sendiri sebagai kata ganti diri pertama pula menunjukkan kemesraan dan kemanjaan dalam hubungan antara penutur tersebut.

Wanita lebih gemar menggunakan nama sendiri sebagai kata ganti diri pertama tetapi penggunaan dalam kalangan lelaki dianggap janggal dan kurang sesuai.

Walau bagaimanapun, kebanyakan suami lebih gemar menggunakan abang sebagai kata ganti diri pertama apabila berkomunikasi dengan isterinya.

Bahasa Melayu amat unik. Walaupun perkataan yang digunakan sama tetapi mempunyai nilai tertentu yang hanya difahami oleh pengguna bahasa Melayu itu sendiri.

Tidak hairanlah jika terdapat kesilapan penggunaan kata ganti diri pertama dalam kalangan penutur bukan Melayu apabila bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka menterjemah perkataan tersebut secara langsung daripada bahasa mereka, misalnya penggunaan 'aku' dalam kalangan murid apabila berinteraksi dengan gurunya.

Sama-samalah kita mendaulatkan bahasa Melayu kita. “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan