Masyarakat Cina perlu insafi nilai bahasa Melayu kepada bangsa, negara
Pelonggaran syarat kepujian dalam
Bahasa Melayu pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kepada hanya
kelulusan, untuk tujuan pengambilan kakitangan dalam perkhidmatan kerajaan,
perlu dihemati sedalam-dalamnya.
Ia bukan sahaja akan
menjejaskan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam
sistem negara, antaranya pentadbiran dan juga institusi negara, seperti
perkhidmatan awam. Ia ikut akan menjejaskan perlambangannya daripada beberapa
dimensi nasional.
Antaranya kedaulatan negara dan
jati diri kebangsaan. Hal ini akan berlaku apabila kepentingannya
dikompromikan. Dengan penyesuaian daripada kelulusan tahap tinggi kepada yang
rendah, etos kita sebagai bangsa dan negara yang terasnya Melayu, tidak dapat
dipertahan lagi dalam bentuk yang utuh dan unggul.
PDRM turun kelayakan
Bagaimanapun, langkah yang
diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menurunkan kelayakan bahasa
negara kita, daripada peringkat kepujian kepada kelulusan sahaja, bagi menarik
lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan PDRM, khususnya dalam pengambilan
permulaan anggota pangkat rendah, didapati berasas. Salah satu daripadanya
ialah rata-rata calon Cina yang pernah memohon, tidak mempunyai kepujian dalam
Bahasa Melayu, selain tidak fasih dalamnya.
Keperluan PDRM mempunyai anggota
Cina untuk menjadi perantara bagi melancarkan kerja kepolisan apabila berkaitan
dengan masyarakat Cina, yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu,
mempunyai asas lain. Yang lain ialah keanggotaan kaum Cina hampir dua peratus
dalam pasukan PDRM, bukan saja kecil malah ia tidak mencerminkan komposisi kaum
Cina sekitar 30 peratus dalam demografi negara.
Meskipun asas ini semuanya
mempunyai kebenaran, masalah kaum Cina tidak fasih bahasa Melayu, iaitu bahasa
negara ini, tidak boleh selalunya diselesai dengan cara ini. Dalam hal ini,
kaum Cina tidak pernah cuba mempelajarinya dengan lebih tekun.
Kalau adapun, ia bersifat
instrumental, misalnya untuk memperolehi markah tinggi. Mereka juga tidak
memperlihat sikap serius untuk memperoleh pengetahuan lebih baik terhadap
bahasa Melayu untuk tujuan integratif. Ini penting untuk menjadikan mereka
sebahagian komuniti bahasa Melayu.
Sebenarnya masalah bahasa ini
tidak banyak dan boleh dikatakan langsung tidak dibincangkan oleh pemimpin
Cina, walaupun ia adalah isu serius dihadapi kaum Cina dalam komunikasi rasmi dengan pihak kerajaan.
Malah ia cuba diatasi dalam
sektor perubatan dengan pesakit di
hospital kerajaan, dengan komuniti Cina setempat mengambil inisiatif untuk
mengajar bahasa Mandarin kepada kakitangan perubatan bukan Cina. Cara ini mungkin
boleh diterima sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
Wajib kuasai bahasa Melayu
Untuk jangka panjang, kaum Cina
bukan saja perlu, tetapi wajib menguasai bahasa Melayu pada tahap baik, yang
melampaui bentuk jelik yang dikenali bahasa pasar. Selepas 57 tahun merdeka,
perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi.
Malangnya ia bukan sahaja wujud,
malah keadaannya bertambah buruk. Ini terbukti dengan bilangan kaum Cina,
daripada golongan muda pula, yang boleh dikategorikan tidak boleh berbahasa
Melayu langsung. Ini sesuatu yang boleh memalukan negara di mata dunia kerana
ada warga negara yang masih tidak mengetahui bahasa negaranya.
Yang amat memalukan lagi sikap
kaum Cina sendiri. Mereka tidak mengendahkan kewajipan untuk bersifat nasional
sebagai warga negara, antaranya dengan mengetahui bahasa negara pada tahap yang
baik.
Secara perbandingan, ini tidak
berlaku pada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Sudah tiba masanya, kaum Cina
bukan saja mempertimbang hal ini secara serius. Mereka juga perlu memperbaiki
keadaan ini dengan mengambil langkah pertama, iaitu mula mengetahui untuk
menyedari dan menginsafi nilai bahasa negara kepada bangsa dan negara.
Ini perlu dilakukan secara
terancang oleh pemimpin Cina dari semua lapisan dan sektor, dengan bantuan
pertubuhan persuratan Melayu, selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ejen
pengembangan bahasa Melayu.
Ini penting untuk kaum Cina
sebagai warga negara Malaysia pada mata kaum lain di negara ini, dan
lebih-lebih lagi oleh masyarakat luar, antaranya pelancong dalam lawatan singkat
ke Malaysia, yang sempat memerhati bahawa rakyat Malaysia keturunan Cina, tidak
boleh berbahasa negara mereka. Keadaan ini perlu ditangani dengan penuh
keinsafan oleh kaum Cina.
Penulis ialah Profesor Linguistik
di Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan