Sewaktu rencana ini mula ditulis
pada jam 10.55 malam, 2 Mac 2014, penduduk Malaysia berjumlah 30,075,276 orang.
Itu kiraan yang dibuat oleh website
Population Clock. Sebanyak 1,192 orang lagi bertambah hari itu. Dalam masa
61 hari tahun 2014, Malaysia mencatatkan pertambahan 101,599 orang dengan
23,761 kematian. Ini bermakna secara purata 1,600 rakyat Malaysia lahir dan 389
mati setiap hari.
Pada hari bersejarah Tunku Abdul
Rahman Putera mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rakyat Malaya
hanya 6.3 juta orang. Sepuluh tahun kemudian (Sabah dan Sarawak sudah menjadi
sebahagian daripada Malaysia) jumlah penduduk menjadi 10.1 juta. Angka itu
menjadi 12.7 juta orang pada tahun 1977 dan 16.7 juta pada tahun 1987. Sepuluh
tahun selepas itu, angkanya mencecah 21.8 juta (1987). Pada tahun 2007,
jumlahnya ialah 26.8 juta orang.
Tidak banyak yang menyedari
bahawa pada 27 Februari 2014, rakyat Malaysia yang ke-30 juta telah lahir ke
dunia. Dalam masa tujuh tahun terakhir ini berlaku peningkatan 3.2 juta
penduduk, jumlah yang kecil jikalau dibandingkan dengan banyak negara lain.
Dalam masa tujuh tahun kita hanya mampu menambah penduduk yang seramai rakyat
Singapura.
65 juta orang pada 2100
Dijangka penduduk Malaysia akan
mencecah 30.6 juta pada tahun 2040 dan 65 juta pada tahun 2100. Pada tahun 2040
jumlah orang Melayu dijangka 20.9 juta orang atau 54 peratus jumlah penduduk.
Kaum Cina diramalkan akan menjadi 7.1 juta orang atau 18 peratus penduduk.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad pernah menggemparkan negara apabila menyebut dasar 70 juta
penduduk pada tahun 1984. Pada masa itu beliau baru saja empat tahun memegang
tampuk pemerintahan. Penduduk Malaysia masih 15.3 juta orang. Tidak banyak
orang yang percaya Malaysia boleh mencapai sasaran 70 juta penduduk menjelang
2100. Berdasarkan ramalan, mungkin kita terkurang lima juta orang sahaja
daripada sasaran Tun Mahathir itu.
Lagi pula daripada segi kepadatan
penduduk, kita masih selesa dengan 89 orang bagi setiap kilometer persegi.
Kadar pertambahan penduduk kita adalah di sekitar 2.4 peratus setahun, relatif
kecil berbanding banyak negara lain.
Apakah makna pertambahan penduduk
bagi sesebuah negara? Sudah tentulah keperluan lebih banyak pada pelbagai
sumber daripada makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Bilangan
penduduk yang banyak juga bermakna pasaran domestik lebih besar. Kebangkitan
China sebagai kuasa baru ekonomi ada kaitan dengan jumlah penduduknya. Memang benar
China pernah memenjara dirinya daripada luar. Tetapi, apabila Negara tersebut membuka dirinya pada tahun
1979, kesannya cukup luar biasa.
China takluk ekonomi dunia
China hari ini mempunyai penduduk
melebihi 1.3 bilion orang. Ia bukan sahaja memberi peluang niaga yang lebih
besar pada rakyatnya tetapi juga keupayaan menakluk dunia dengan kuasa ekonomi.
India yang kini mempunyai 1.2
bilion penduduk dipercayai akan mengalahkan China dalam waktu terdekat daripada
segi jumlah penduduk. Tetapi ekonomi India tidak ditadbir dengan baik
berbanding China. Indonesia kini mempunyai 250 juta penduduk. Sekiranya negara
itu mengamalkan dasar yang betul, ia akan menjadi kuasa ekonomi yang penting di
rantau ini.
Jumlah kelas menengah di China,
India dan Indonesia cukup luar biasa. Bagi Indonesia sahaja, sekiranya hanya
satu peratus rakyatnya tergolong dalam kategori ‘terkaya’ jumlah itu ialah 2.5
juta orang. Bayangkan jikalau 20 peratus rakyat India dikategorikan sebagai
‘kelas menengah.’ Jumlahnya ialah 240 juta orang, hampir sama dengan seluruh
rakyat Indonesia atau lapan kali jumlah penduduk kita.
Kita perlukan jumlah, tetapi
bukan mudah untuk menangani bilangan yang besar. Ekonomi yang dirancang dengan
baik akan mendapat suntikan daripada bilangan rakyat yang besar. Banyak negara
ramai penduduk, tetapi sarat dengan masalah seperti makanan, tempat tinggal,
pengangguran dan lain-lain.
Pada abad yang ke-18, seorang
ahli ekonomi Inggeris bernama Thomas Robert Malthus menulis eseinya tentang
prinsip kependudukan.
Beliau meramalkan bahawa dunia
tidak dapat menampung pertumbuhan penduduk kerana sumber makanan yang terjejas
dan penyakit. Teori Malthus tidak sepenuhnya benar. Ternyata dunia masih boleh
menampung tujuh bilion manusia. Apa yang penting ialah kualiti hidup manusia
itu sendiri.
Dalam konteks kita, jumlah
penduduk pada akhirnya tidak penting sekiranya negara ditadbir dengan baik dan
sistem ekonomi dapat menampung keperluan rakyat. Dalam masa 57 tahun semenjak
merdeka telah berlaku peningkatan 23.7 juta penduduk. Insya–Allah, negara ini
pasti boleh menampung 70 juta orang satu hari nanti.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan