Khamis, 27 Mac 2014

ISU BAHASA : Sopannya orang kita bercakap


Oleh : MUHAMMAD DAUD

TIDAK kira orang Melayu atau kaum-kaum lain, terutama yang berpendidikan lebih cenderung menggunakan perkataan atau frasa dalam bahasa Inggeris bagi menuturkan perkara yang dianggap kasar dan menyentuh perasaan.

Antara perkataan dan frasa tersebut ialah stupid (bodoh), breast cancer (kanser buah dada), rape (rogol), go to hell (pergi jahanam), pregnant (mengandung), bullshit (tahi lembu), dan lain-lain lagi.

Kemungkinan mereka menganggap bahawa penggunaan bahasa Inggeris ketika mengeluarkan kata-kata kasar dan menyentuh perasaan ini dianggap lebih lembut berbanding menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terutama orang Melayu tidak begitu terasa jika dihamburkan kata-kata kasar dalam bahasa asing memandangkan kata-kata itu tidak begitu menyentuh perasaan lantaran sesuatu pertuturan yang menggunakan bahasa ibunda sebenarnya lebih menyentuh perasaan.

Sebenarnya kita mampu menggunakan bahasa Melayu sendiri dalam situasi berkenaan agar kelihatan lebih halus dan sopan. Bahasa yang kita gunakan untuk menggantikan bahasa yang kasar diistilahkan sebagai bahasa halus.

Bahasa halus ialah bahasa atau perkataan yang lebih lembut digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain.

Namun, beberapa frasa seperti bodoh, pergi jahanam dan tahi lembu tidak dapat digantikan dengan bahasa halus kerana frasa itu tidak menggambarkan budaya kita.

Bahasa halus digunakan untuk menuturkan sesuatu maksud bagi menjaga perasaan dan emosi orang. Orang Melayu khasnya dan orang Malaysia amnya amat prihatin akan perasaan orang lain. Oleh itu, mereka akan menggunakan bahasa yang lebih halus supaya hati orang yang dilawan bercakap tidak tergores. Antara bahasa halus yang digunakan ialah pulang ke rahmatullah (mati), disimpan (dikuburkan), pegawai perhubungan pelanggan atau GRO (pelayan), pengawal keselamatan (jaga), orang kelainan upaya (orang cacat), operator pengeluaran (pekerja kilang), pembantu rumah (orang gaji), khinzir (babi) dan lain-lain lagi.

Bahasa halus juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan seks dan perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Kita tahu bahawa masyarakat Melayu agak tertutup dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan seks. Oleh itu, penggunaan bahasa halus ini mampu menyampaikan sesuatu yang berkaitan seks di samping perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Contohnya, nafkah batin (hubungan seks suami dan isteri), datang bulan (haid), bersalin (beranak), berbadan dua (mengandung), payu dara (buah dada) melabur (berak), buang air seni (kencing), dan lain-lain lagi.

Orang Melayu memang terkenal dengan pantang larang yang banyak dalam kehidupan. Dalam lisan juga, orang Melayu akan mengikut pantang larang ketika berada di tempat-tempat yang berbahaya.

Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa halus untuk merujuk sesuatu yang menakutkan apabila berada di sesuatu tempat. Contohnya, kita akan menggunakan bahasa halus seperti orang besar bagi merujuk gajah apabila berada di dalam hutan, Pak Belang (harimau), Sang Rangkak (buaya), tali pinggang (ular) dan lain-lain lagi.

Orang tua-tua juga tidak akan menyebut nama haiwan yang merosakkan tanaman mereka secara langsung tetapi menukarkan dengan nama yang lebih ‘mesra’ kerana percaya haiwan berkenaan akan lebih marah. Kita akan menggunakan Cik Ti untuk merujuk tikus dan Cik Bi untuk merujuk khinzir.

Bahasa halus juga merangkumi penggunaan nama gelaran untuk menunjukkan penghormatan kepada orang yang kita lawan bercakap serta untuk mewujudkan kemesraan dalam hubungan. Antara perkataan tersebut ialah nenda, ayahanda, bonda, kakanda, anakanda, dan lain-lain lagi.

Seseorang yang mempunyai perwatakan yang baik biasanya mempunyai hati yang mulia kerana hati yang mulia mengawal perwatakan seseorang. Begitu juga dengan pertuturan oleh sesuatu bangsa itu menggambarkan peradaban bangsa itu sendiri kerana “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

Marilah sama-sama kita mengekalkan kesopanan dan kesusilaan bangsa kita buat selama-lamanya walaupun kita menghadapi cabaran daripada pengaruh dunia tanpa sempadan. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan