KUALA LUMPUR : Penasihat Kerajaan
Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar pengguna
laman sosial yang menggunakan bahasa kasar semasa membicarakan tragedi
kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.
Beliau berkata ini menunjukkan
sebahagian pengguna laman sosial sudah hilang prinsip budaya serta nilai timur.
"Internet sudah merubah
nilai hidup masyarakat kita pada hari ini, yang kini memilih menggunakan bahasa
kasar dan "membunuh" orang dengan kata-kata kesat.
"Saya sebagai penasihat
kerajaan akan cuba berunding supaya budaya tidak berbudi bahasa, berbahasa
kasar dan tidak mempedulikan orang lain tidak berleluasa," katanya.
Rais, yang juga Penaung Yayasan
Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi), berkata demikian dalam sidang media
ketika majlis Sepetang Bersama Penaung Yirmi di sini pada hari Khamis.
Turut hadir Pengerusi Yayasan
Warisan Negara (YWN) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Duta Besar Indonesia ke
Malaysia Herman Prayitno serta pemimpin Persatuan Banjar Malaysia; Persatuan
Bawean Malaysia; Persatuan Halak Mandailing Malaysia; Persatuan Ikatan Komuniti
Minang Malaysia; Persatuan Masyarakat Kampar Malaysia; Perhimpunan Masyarakat
Indonesia di Malaysia (Permai) dan Ikatan Komunitas Merah Putih.
Rais berkata Yirmi dan YWN
dijangka menerbitkan edisi pertama majalah Suara Nusantara bulan depan yang
memuatkan penulisan, berita dan jurnal berkaitan warisan serta seni budaya
Malaysia dan Indonesia.
Katanya, beliau juga akan meminta
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat cadangan bagi mewujudkan Jalan
Melayu di ibu negara.
"Brickfields dikenali
sebagai Little India manakala Jalan Petaling dikenali sebagai China Town. Jadi
Jalan Melayu perlu diambil kira untuk menonjolkan ciri-ciri kemelayuan,"
katanya.
Sementara itu, Herman berkata
Indonesia dan Malaysia perlu melestari budaya nusantara agar tidak luntur dalam
kalangan generasi muda yang akhirnya menyebabkan golongan berkenaan dipengaruhi
budaya asing.
Sumber : Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan