Jumaat, 11 April 2014

ISU SOSIAL : Peningkatan kes juvana : Di manakah nilai seorang remaja?


Oleh :  FAIZATUL NADIA MOHD. TAHIR

SABAN hari, pelbagai krisis akhlak dan moral terus menular, merebak dalam masyarakat kita terutamanya yang melibatkan remaja.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencatatkan bahawa pertambahan sebanyak 5,305 kes juvana iaitu 3,399 kes pada tahun 2012 dan 8,704 kes pada tahun 2013.

Lebih membimbangkan apabila remaja terlibat dalam kes seperti samun, kongsi gelap dan penyalahgunaan dadah.

Mengapakah peningkatan kes ini berlaku? Tidakkah kita terfikir bahawa dengan bertambahnya kes juvana sebegini akan memberi kesan terhadap semua pihak termasuk masyarakat dan negara ini?

Ternyata pendidikan moral dengan 16 nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya masih jauh untuk menangani masalah ini.

Hal ini kerana keutamaan untuk memuaskan nafsu, ingin membebaskan diri daripada kemiskinan, kongsi gelap, penyalahgunaan dadah dan sebagainya lebih kuat cengkaman pengaruhnya daripada asuhan institusi sedia ada.

Ketua Program Psikologi , Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Fatimah Yusuff dalam kenyataannya memberitahu, antara faktor yang menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial adalah perasaan ingin tahu di mana perasaan itu akan menimbulkan masalah apabila mereka tiada tempat untuk berkongsi perasaan dan tiada penasihat yang setia daripada ibu bapa, keluarga dan lain-lain.

Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

Cuba kita renungkan, nilai remaja seseorang hanya sekali, kerana remaja tidak akan kekal muda bahkan mereka akan menjadi dewasa dan bakal melalui hari tua.

Oleh itu, pada diri remaja tersandar satu harapan dan tanggungjawab yang besar iaitu memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam membentuk jati diri yang unggul untuk menjadi generasi yang cemerlang.

Ya, pada usia sebegini remaja terlalu mudah untuk mencuba, membuat sesuatu seperti orang lain, memiliki jiwa dan semangat yang kuat sehingga kadang-kala timbul perasaan ingin memberontak. Sekiranya sifat ini berlarutan berlandaskan acuan negatif, maka akan pudarlah masa depan mereka.

Sebaliknya jika sifat-sifat ini dibentuk dengan nilai-nilai kesedaran dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing seseorang remaja itu menjadi seorang dewasa yang sangat berpotensi untuk berjaya dan terus maju dalam hidup.

Justeru, penekanan terhadap kepentingan adab, teladan yang baik, kesantunan, budi bahasa dan agama harus diterapkan di peringkat awal lagi dengan memberi pendekatan ilmu. Hanya ilmu yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila dewasa, mereka akan dapat berfikir secara matang dan rasional.

Institusi kekeluargaan amat penting untuk mengelakkan remaja daripada te­rus terjebak dengan jenayah yang sema­kin parah dari semasa ke semasa.

Pendidikan yang paling penting adalah pendidikan yang berteraskan agama dan moral. Dengan adanya asas agama yang teguh dan moral yang mantap, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus ke arah perkara yang negatif.

Dalam hal ini, peranan ibu bapa sa­ngat penting untuk dijadikan contoh yang terbaik bagi anak-anak. Kesibukan dalam kerjaya tidak layak untuk dijadikan alasan sehingga mengetepikan tanggungjawab pendidikan anak-anak.

Jika terdapat masalah, janganlah kita mudah untuk menghukum sebaliknya jadilah pendengar yang setia, berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Ingatlah, remaja hari ini adalah harapan bangsa dan pewaris pada masa hadapan. Jika remaja pada hari ini cemerlang, maka negara juga akan mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Jika remaja pada hari ini adalah remaja yang rosak akhlaknya dan cetek ilmu pengetahuannya, maka sudah pasti akan menjadikan sesebuah negara itu semakin lemah dan merencatkan kecemerlangan bangsa.

Kita mengimpikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bukan hanya dari segi pembangunan teknologi dan industri, tetapi dalam masa sama menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi yang cemerlang, produktif serta memiliki sahsiah yang mantap kerana remaja pada hari ini bakal pemacu masa depan dan hala tuju negara.

PENULIS ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan