SABAN hari, pelbagai krisis
akhlak dan moral terus menular, merebak dalam masyarakat kita terutamanya yang
melibatkan remaja.
Berdasarkan statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencatatkan bahawa pertambahan
sebanyak 5,305 kes juvana iaitu 3,399 kes pada tahun 2012 dan 8,704 kes pada
tahun 2013.
Lebih membimbangkan apabila
remaja terlibat dalam kes seperti samun, kongsi gelap dan penyalahgunaan dadah.
Mengapakah peningkatan kes
ini berlaku? Tidakkah kita terfikir bahawa dengan bertambahnya kes juvana
sebegini akan memberi kesan terhadap semua pihak termasuk masyarakat dan negara
ini?
Ternyata pendidikan moral
dengan 16 nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak
jauh dan sebagainya masih jauh untuk menangani masalah ini.
Hal ini kerana keutamaan
untuk memuaskan nafsu, ingin membebaskan diri daripada kemiskinan, kongsi
gelap, penyalahgunaan dadah dan sebagainya lebih kuat cengkaman pengaruhnya
daripada asuhan institusi sedia ada.
Ketua Program Psikologi ,
Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) Prof. Dr. Fatimah Yusuff dalam kenyataannya memberitahu, antara
faktor yang menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial adalah
perasaan ingin tahu di mana perasaan itu akan menimbulkan masalah apabila
mereka tiada tempat untuk berkongsi perasaan dan tiada penasihat yang setia
daripada ibu bapa, keluarga dan lain-lain.
Jadi perasaan ingin tahu
remaja akan mendorong mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan yang
akan berlaku.
Cuba kita renungkan, nilai
remaja seseorang hanya sekali, kerana remaja tidak akan kekal muda bahkan
mereka akan menjadi dewasa dan bakal melalui hari tua.
Oleh itu, pada diri remaja
tersandar satu harapan dan tanggungjawab yang besar iaitu memantapkan diri
dengan ilmu dan kemahiran dalam membentuk jati diri yang unggul untuk menjadi
generasi yang cemerlang.
Ya, pada usia sebegini
remaja terlalu mudah untuk mencuba, membuat sesuatu seperti orang lain,
memiliki jiwa dan semangat yang kuat sehingga kadang-kala timbul perasaan ingin
memberontak. Sekiranya sifat ini berlarutan berlandaskan acuan negatif, maka
akan pudarlah masa depan mereka.
Sebaliknya jika sifat-sifat
ini dibentuk dengan nilai-nilai kesedaran dan pengorbanan yang positif, ia
bakal membimbing seseorang remaja itu menjadi seorang dewasa yang sangat
berpotensi untuk berjaya dan terus maju dalam hidup.
Justeru, penekanan terhadap
kepentingan adab, teladan yang baik, kesantunan, budi bahasa dan agama harus
diterapkan di peringkat awal lagi dengan memberi pendekatan ilmu. Hanya ilmu
yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila dewasa, mereka akan
dapat berfikir secara matang dan rasional.
Institusi kekeluargaan amat
penting untuk mengelakkan remaja daripada terus terjebak dengan jenayah yang
semakin parah dari semasa ke semasa.
Pendidikan yang paling
penting adalah pendidikan yang berteraskan agama dan moral. Dengan adanya asas
agama yang teguh dan moral yang mantap, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus
ke arah perkara yang negatif.
Dalam hal ini, peranan ibu
bapa sangat penting untuk dijadikan contoh yang terbaik bagi anak-anak.
Kesibukan dalam kerjaya tidak layak untuk dijadikan alasan sehingga
mengetepikan tanggungjawab pendidikan anak-anak.
Jika terdapat masalah,
janganlah kita mudah untuk menghukum sebaliknya jadilah pendengar yang setia,
berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Ingatlah, remaja hari ini
adalah harapan bangsa dan pewaris pada masa hadapan. Jika remaja pada hari ini
cemerlang, maka negara juga akan mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Jika
remaja pada hari ini adalah remaja yang rosak akhlaknya dan cetek ilmu
pengetahuannya, maka sudah pasti akan menjadikan sesebuah negara itu semakin
lemah dan merencatkan kecemerlangan bangsa.
Kita mengimpikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju yang bukan hanya dari segi pembangunan teknologi dan
industri, tetapi dalam masa sama menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi
yang cemerlang, produktif serta memiliki sahsiah yang mantap kerana remaja pada
hari ini bakal pemacu masa depan dan hala tuju negara.
PENULIS ialah Pelajar
Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan