Jumaat, 9 Mei 2014

ISU ALAM SEKITAR : Cabaran urus alam sekitar


Oleh : Prof Emeritus Ibrahim Komo

Paradigma baharu kekal kelestarian

Daripada perspektif guna tanah, kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, industri atau pertanian. Apa itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita sudah memperkenalkan pelbagai konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara dan Tapak Warisan Dunia.

Pemikiran kita mengenai alam sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar.

Di satu pihak, masyarakat melihat alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak lain, alam sekitar khususnya hutan adalah warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara. Akhirnya, sedikit demi sedikit hutan diterokai untuk faedah ekonomi atau atas nama pembangunan.

Saya melihat gagasan pembangunan dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam memulihara hutan sebagai warisan alam. Pemikiran manusia dan pemimpin masih memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi, keperluan kesejahteraan manusia dan akhirnya untuk pemuliharaan warisan.

Selagi manusia taksub menjana wang dan memerlukan sumber asas mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar adalah mangsanya.

Imbangi pembangunan, alam

Walaupun, masyarakat dunia mulai sedar pentingnya perkhidmatan alam sekitar bagi kelangsungan kehidupan, pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya mengimbangi keperluan pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.

Kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam (banjir kilat dan tanah runtuh) dan wabak penyakit disebabkan pencemaran adalah petanda fungsi dan khidmat alam sekitar telah dilampaui.

Saya perkenalkan konsep pembangunan alam sekitar atas dua alasan. Pertama, meletakkan kedudukan atau kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan bandar (penempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian (sumber makanan).

Kedua, pembangunan alam sekitar perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan sumber asli.

Perancang bandar dan desa boleh menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting alam sekitar.

Dari perspektif kesejahteraan masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.

Beri perhatian kepada ekosistem

Dalam konteks ini, pelan pembangunan perlu memberi perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.

Selain itu, alam sekitar juga warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita perlu mengenali apakah landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia dari perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu kepentingannya.

Pelbagai bentuk pembangunan masih boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan penempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang sudah lama menetap di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal, rekreasi, pendidikan awam dan ekopelancongan bagi membolehkan alam sekitar dimanfaatkan sepenuhnya.

Merancang dan mengurus alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan status yang tinggi kepada alam sekitar.

Ia menjadi sebahagian daripada prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus, memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.

Meletakkan pengurusan alam sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian.

Masyarakat perlu mengiktiraf pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan,’ alam sekitar bakal menjadi mangsa utamanya.


Penulis ialah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan