Paradigma baharu kekal
kelestarian
Daripada perspektif guna tanah,
kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, industri atau pertanian. Apa
itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita sudah memperkenalkan pelbagai
konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh Hutan Simpanan Kekal,
Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara dan Tapak Warisan
Dunia.
Pemikiran kita mengenai alam
sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini
menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar.
Di satu pihak, masyarakat melihat
alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi
dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak lain, alam sekitar khususnya hutan
adalah warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara. Akhirnya, sedikit
demi sedikit hutan diterokai untuk faedah ekonomi atau atas nama pembangunan.
Saya melihat gagasan pembangunan
dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam
memulihara hutan sebagai warisan alam. Pemikiran manusia dan pemimpin masih
memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi,
keperluan kesejahteraan manusia dan akhirnya untuk pemuliharaan warisan.
Selagi manusia taksub menjana
wang dan memerlukan sumber asas mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar
adalah mangsanya.
Imbangi pembangunan, alam
Walaupun, masyarakat dunia mulai
sedar pentingnya perkhidmatan alam sekitar bagi kelangsungan kehidupan,
pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya mengimbangi keperluan
pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.
Kemerosotan kualiti air dan
udara, peningkatan bencana alam (banjir kilat dan tanah runtuh) dan wabak
penyakit disebabkan pencemaran adalah petanda fungsi dan khidmat alam sekitar
telah dilampaui.
Saya perkenalkan konsep
pembangunan alam sekitar atas dua alasan. Pertama, meletakkan kedudukan atau
kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan
bandar (penempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian
(sumber makanan).
Kedua, pembangunan alam sekitar
perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau
sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk
memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan
sumber asli.
Perancang bandar dan desa boleh
menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting
alam sekitar.
Dari perspektif kesejahteraan
masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam
sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai
tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.
Beri perhatian kepada ekosistem
Dalam konteks ini, pelan
pembangunan perlu memberi perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had
perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.
Selain itu, alam sekitar juga
warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya
masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau
geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan
diwariskan kepada generasi akan datang.
Kita perlu mengenali apakah
landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia dari
perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan
atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu
kepentingannya.
Pelbagai bentuk pembangunan masih
boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan
penempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang sudah lama menetap di
kawasan tersebut. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai
pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal,
rekreasi, pendidikan awam dan ekopelancongan bagi membolehkan alam sekitar
dimanfaatkan sepenuhnya.
Merancang dan mengurus alam
sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka
panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan
status yang tinggi kepada alam sekitar.
Ia menjadi sebahagian daripada
prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan
perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus,
memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.
Meletakkan pengurusan alam
sekitar dari perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh
ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian.
Masyarakat perlu mengiktiraf
pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi,
memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun,
jika ada dalam kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan,’
alam sekitar bakal menjadi mangsa utamanya.
Penulis ialah Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan