Oleh : Johan Jaaffar
Pada 1994, saya menonton
persembahan kebudayaan berjudul Navarasa yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan
budaya Tamil di Petaling Jaya, Selangor. Persembahan itu menampilkan
artis-artis terkenal (menurut promosinya) seperti TMS Guna, Suguna dan trio
penari, Bavani, Sharmini dan Malini dari sebuah persatuan seni. Itu bukanlah
pertama kali saya menyaksikan persembahan seni kaum Tamil, sebenarnya disiplin
teater saya menghendaki saya menonton semua jenis persembahan pentas dalam
pelbagai genre dan bahasa.
Beberapa bulan lalu saya diajak
menonton sebuah persembahan kesenian Tamil, juga di Petaling Jaya. Kali ini
tiada nama-nama besar yang terbabit. Pelakon malam itu membawa gelagat hero
filem Kollywood seperti MGR, Sivaji Ganesan, Rajnikanth, Vijay, Ajit Kumar,
Kamal Hassan dan Arjun. Oleh sebab Sivaji The Boss yang dilakonkan oleh
Rajnikanth (2007) masih hangat dalam ingatan, maka banyak sketsa malam itu
berkisar di sekitar filem tersebut. Sivaji The Boss bukan sahaja filem Tamil
paling mahal dalam sejarah (kos pembikinan dikatakan RM67.9 juta) tetapi di
antara filem paling laris. Walaupun Rajnikanth berusia 58 tahun ketika itu,
tarikan box-office beliau tidak pernah pudar.
Saya mengikuti perkembangan Opera
Cina atau pekji sejak saya di kampung lagi. Beberapa waktu kebelakangan ini
saya melihat bagaimana National Arts Council Singapura menghidupkan semula
tradisi wayang itu di sekolah. Seperti juga Bangsawan, Opera Cina yang saya
kenal di kampung menggunakan setting yang mewah dan lakonan yang stylised.
Seperti Bangsawan, Opera Cina hilang tarikannya. Bezanya Opera Cina ada kaitan
dengan ritual agama dan masih dipertunjukkan pada waktu tertentu. Bangsawan
nampaknya sudah hampir pupus, sekalipun usaha gigih Rahman B tidak membuahkan
banyak hasil.
Kita harus ingat bukan sahaja
Opera Cina melalui proses transformasi dalam masyarakat Cina tetapi ratusan
persatuan seni budayanya menghidupkan tarian naga, gendang dan seni
mempertahankan diri. Penaja pertunjukan Tamil tidak perlu menyeret artis
terkenal ke dewan kecil dan pinggir. Mereka datang berbondong-bondong menyokong
persembahan kesenian bangsa mereka. Persatuan seni budaya Cina hidup atas
sokongan kaum Cina, tanpa bantuan kerajaan.
Saya bertanya diri saya apakah
orang Melayu di Malaysia akan berbuat hal yang sama seperti kaum India dan
Cina? Apakah mereka mempertahankan seni budaya mereka dengan penuh bangga?
Apakah wujud sedemikian banyak persatuan seni budaya seperti yang berlaku dalam
masyarakat orang India dan Cina di negara ini?
Tradisi kesenian orang Melayu
adalah sebahagian cerminan nilai, minda dan pandang dunia (worldview) mereka.
Seperti juga karya sastera, seni teater adalah hasil akal budi (istilah Profesor
Diraja Ungku Aziz) orang Melayu. Sejak berzaman seni budaya bersemarak dalam
masyarakat Melayu. Ada antaranya didukung oleh sistem naungan istana dan
berkembang sebagai warisan yang dibajai dengan baik. Ada juga yang berkembang
secara pinggiran, dalam masyarakat bawahan, di luar dari kerangka
kebangsawanan.
Dari manapun dukungannya, seni
budaya orang Melayu mencorakkan kaum itu. Daripada menora hingga makyung,
daripada wayang kulit hingga ketoprak, daripada gamelan hingga cempulingan,
semuanya menjadi sebahagian ciri kemelayuan. Teater bangsawan dan sandiwara
berkembang dan kemudian pudar. Hari ini sinema Melayu menjadi teras utama
kandungan kreatif negara. Stesen TV melahirkan ribuan drama dan komedi sebagai
pemindahan dari tradisi pentas ke skrin TV.
Malangnya, di sebalik kejayaan
musika di Istana Budaya, pengaruh dan ikutan drama di TV dan kejayaan filem
Melayu, seni budaya berteras teater dan lapangan nampaknya semakin menghilang.
Saya mulai percaya bahawa orang Melayu membenci seni budayanya sendiri.
Bagi sesetengah kaum, seni budaya
itu eksklusif dan terhormat. Bagi kebanyakan orang Melayu agaknya, seni budaya
tidak lebih hiburan dan bahan berseronok. Tradisi pemikiran, kreativiti,
inovasi dan keunikannya sering dilupakan. Pendeta Zaba, tokoh pemikir Melayu
yang hebat sendiri pun mengkritik keras tradisi bangsawan. Dalam beberapa buah
tulisan beliau wayang Melayu atau bangsawan dikatakan mempunyai jalan cerita
kerap kali bodoh-bodoh dan tak banyak teladan dan pengajaran di dalamnya. Tapi
beliau mengagumi karya William Shakespeare yang menjadi antara lain sumber
wayang Melayu itu.
Agaknya ini krisis bangsa yang
cuba melonjak dirinya untuk menjadi maju dan berjaya. Apa sahaja yang dianggap
budaya leluhur dan tradisional ditolak ke tepi. Mungkin juga dalam banyak hal
tafsiran agama menyempitkan ruang untuk seniman bergerak dan berkreatif.
Saya percaya dalam kita merayakan
Syawal yang mulia ini, elok juga kita melihat secara jujur sikap dan pendirian
kita terhadap seni budaya sendiri. Mungkin benar kata orang, orang India dan
Cina menggunakan seni budaya secara berkesan sebagai teras perpaduan dan
penonjolan identiti, orang Melayu mengesampingkan hasil terbaik senimannya
kerana didorong oleh tarikan kebendaan melulu. Itupun tidak dicapai sepenuhnya
oleh mereka.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan