Oleh : Johan Jaaffar
Baru-baru ini saya telah menemui sekumpulan
pemimpin muda Republik Singapura. Mereka terdiri daripada ahli politik,
pimpinan NGO, budayawan, penulis dan wartawan daripada pelbagai bangsa. Kami
membincangkan banyak isu, paling menarik tentunya ialah pengalaman Singapura
menangani isu bahasa.
Antara tokoh muda itu terdapat beberapa orang
anak Melayu. Mereka ternyata menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan apabila
bercakap dalam bahasa Melayu terasa benar kekoknya. Mereka mengakui bahawa
bahasa Melayu, walaupun menjadi salah satu bahasa rasmi republik itu, amat
kurang peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan. Perjalanan Singapura dalam soal kebahasaan amat
berbeza dengan pengalaman Malaysia, Indonesia, Brunei atau Filipina. Saya
mendapat kesan bahawa persepsi mereka ialah kepentingan bahasa Inggeris tidak
ada galang gantinya hari ini. Mereka boleh hidup dengan hanya menguasai bahasa
Inggeris. Memang terbukti sejak Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun
1965, republik itu menjadi kuasa ekonomi serantau. Salah satu daripada kunci
kejayaannya ialah penguasaan bahasa Inggeris yang baik.
Saya memperingat mereka tentang buku bekas Perdana Menteri republik itu,
Lee Kuan Yew, My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey. Memang Lee
Kuan Yew bertanggungjawab menghapuskan sistem sekolah vernakular pada peringkat
awal kemerdekaan negara itu. Beliau membuat keputusan itu ekoran tindakan
pelajar aliran Cina yang militan ketika itu.
Walau bagaimanapun Lee Kuan Yew percaya perlunya pemimpin Singapura
menguasai pelbagai bahasa. Beliau sendiri mendalami bahasa Mandarin dan memperbaiki penguasaan
bahasa Melayu. Akhir-akhir ini beliau mengakui bahawa akibat penekanan pada
bahasa Inggeris, bahasa ibunda menjadi korban. Beliau mencadangkan ‘Lee Kuan
Yew Bilingualism Fund’ bagi menyemarakkan pengajaran dalam bahasa ibunda di
sekolah. Beliau sedar bahawa anak-anak perlu menguasai bahasa ibunda
sekurang-kurangnya sehingga usia 12 tahun sebelum memberikan tumpuan kepada
bahasa Inggeris.
Rata-rata pemimpin Singapura hari ini terbentuk
dalam sistem satu bahasa. Bahasa vernakular yang lain semakin diabaikan. Alasan yang diberikan ialah bahasa-bahasa
vernakular tidak penting lagi. Bahasa Cina hanya diberikan perhatian serius
apabila Negara China bangkit sebagai raksasa ekonomi baharu.
Saya menghujahkan bahawa bahasa Melayu dituturkan oleh tidak kurang 400
juta manusia di rantau ini. Angka itu sahaja sudah menjamin nilai ekonominya.
Singapura merupakan satu-satunya negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa rasmi di tengah lautan pengguna bahasa Melayu. Berdasarkan perhitungan
strategik ekonomi sahaja, Singapura akan kerugian sekiranya bahasa Melayu
diabaikan.
Mengetepikan kuasa beli 400 juta manusia tentulah tidak masuk akal.
Bukan itu sahaja, hanya dengan menguasai lingua franca serantau, akan dapat
difahami minda, sikap dan pandangan dunia penduduk setempat. Penjajah Inggeris
satu masa dulu menghantar para pengkaji mempelajari bahasa dan sastera Melayu
bagi memahami minda orang Melayu. Hanya dengan cara itu mereka memenangi hati
dan perasaan orang Melayu.
Kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Melayu akan terus menjadi
bahasa utama penduduk di rantau ini. Tidak ada dasar bahasa, dasar pendidikan
atau kuasa politik yang akan mengubah hal itu. Bahasa Melayu dalam pelbagai
variasinya (bahasa Indonesia, bahasa Brunei, bahasa Melayu Singapura, bahasa
Melayu Selatan Thailand, bahasa Melayu Mindanao, serta bahasa sukuan sekian
banyak kelompok etnik dan daerah) akan terus menjadi bahasa ilmu, komunikasi,
budaya dan sastera. Kemajuan negara-negara di rantau ini tidak akan mengubah
hal itu. Seperti juga China, Korea dan Jepun tidak mengubah dasar bahasa,
negara-negara di rantau ini tidak akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa kebangsaan mereka. Kenyataan ini kadangkala dilupakan oleh banyak pihak.
Kita juga harus menerima hakikat bahawa pada masa ini bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan di kesemua negara di Nusantara, kecuali Singapura.
Penduduk di rantau ini tidak akan membuang bahasa ibunda mereka semata-mata
untuk maju dan berjaya.
Ini bermakna, bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa kelompok elitis,
kaum pedagang dan bahasa komunikasi di alam siber. Sifat elitisnya akan
melahirkan pula generasi elitis yang selalunya akan dituduh terpisah daripada akar
dan teras bangsa mereka. Elit pemerintah, elit peniaga dan elit ilmuan ini
selalunya memperagakan nilai dan psyche yang berbeza daripada rakyat terbanyak.
Tuntutan kelompok elit ini biasanya akan menjadi lantang kerana mereka
mempunyai keupayaan menghujahkan pendirian mereka secara meluas. Mereka
didukung pula oleh media elitis. Tetapi gelombang rakyat selalunya tidak
menyebelahi mereka. Penentangan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan contoh klasik
bagaimana kelompok majoriti yang selama ini kelihatan membisu bangun
‘memberontak’ terhadap dasar yang mereka anggap bertentangan dengan kehendak terbanyak.
Politik bahasa harus ditangani dengan waspada. Seperti mana lantangnya
pendidik Cina mempertahankan bahasa Cina atas dasar perlunya pendidikan asas
dalam bahasa ibunda begitulah lantangnya tuntutan massa untuk melihat bahasa
kebangsaan dimuliakan.
Saya percaya pemimpin Singapura hari ini menyedari pentingnya memberikan
empowerment kepada orang Melayu Singapura. Pada waktu yang sama mereka ingin
melihat bahasa ibunda setiap kaum diberikan tumpuan. Perjalanan dwibahasa
Singapura yang baharu akan mencorakkan sikap mereka terhadap rantau Nusantara.
Kita mempunyai kelebihan dalam soal ini. Soalnya sama ada kita tahu
memanfaatkannya dengan baik?
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan