11 Anjakan Strategi Laporan
Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
KUALA LUMPUR - Laporan
Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lepas, dilihat sebagai suatu anjakan
positif bagi meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap global.
Menggariskan 11 elemen yang perlu
dijadikan kayu ukur bagi menyumbang kepada penambahbaikan sistem pendidikan
yang ada di Malaysia, pelan pendidikan itu antaranya turut menyasarkan
perguruan dijadikan sebagai profesion pilihan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Junaidi
Abu Bakar berkata dengan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan ia
mampu meletakkan kerjaya tersebut pada tahap profesional.
"Sebelum ini terdapat
segelintir masyarakat yang berpendapat bahawa profesion guru adalah kerjaya
yang mudah untuk digalas, namun dengan anjakan sebagai profesion pilihan,
masyarakat akan sedar bahawa bukan semua orang layak bergelar guru dan
dianugerahkan ciri-ciri seorang pendidik.
"Menjadi seorang guru pada hakikatnya
memerlukan nilai-nilai murni yang tinggi, personaliti khusus, kepakaran dan
kemahiran dalam bidang mengajar serta kebolehan sampingan yang menjadi nilai
tambah kepada seseorang guru," katanya kepada Bernama.
Dr Junaidi percaya pendekatan
yang diambil Kementerian Pelajaran bagi mengangkat martabat profesion perguruan
secara langsung mampu melahirkan lebih ramai golongan guru yang bukan sahaja
boleh mengajar di sekolah kerajaan
tetapi juga di sekolah swasta dan antarabangsa.
Katanya peluang bergelar usahawan
juga terbuka kepada guru apabila mereka mampu membuka pusat tuisyen sendiri
serta berupaya memberi bimbingan tambahan kepada pelajar.
"Fokus kementerian untuk
meningkatkan kualiti guru bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malahan
mampu menyumbang kepada keperluan negara-negara membangun lain yang turut
memerlukan tenaga pengajar profesional.
"Individu yang mahu bergelar
seorang guru perlu sedar bahawa menggalas tugas sebagai pendidik bukan sekadar
memenuhi keperluan ekonomi, malahan lebih daripada itu ia memikul amanah besar
dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk negara," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata matlamat kementerian
menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan dalam masyarakat merupakan usaha
murni yang membantu terhadap pembangunan negara.
Katanya melalui pelbagai insentif
yang disediakan kerajaan bagi profesion tersebut, masyarakat perlu merebut
peluang untuk berkhidmat dalam profesion perguruan.
"Guru yang ada pada hari ini
merupakan calon terbaik yang dipilih bagi menggalas tugas mengajar anak
bangsa... mereka juga bukan sahaja dinilai dari sudut akademik semata-mata,
malah meliputi aspek kepimpinan, pengurusan dan juga sahsiah peribadi.
"Objektif kerajaan untuk
melahirkan generasi berkualiti pada masa akan datang akan lebih mudah
direalisasikan dengan peranan dan bantuan yang dipikul guru," katanya.
Pengetua Pusat Tuisyen Yayasan
Guru Malaysia Berhad (YGMB) Suhaimi Rashid berkata tanggapan masyarakat yang
memandang rendah terhadap kerjaya guru perlu dihakis sekiranya mahu ia
dijadikan sebagai profesion pilihan.
Katanya profesion guru sewajarnya
dianggap setaraf dengan kerjaya profesional lain kerana guru merupakan subjek
utama yang menjadi pemangkin terhadap kemajuan pendidikan bangsa dan negara.
"Pandangan rendah segelintir
masyarakat terhadap kerjaya guru membuatkan ramai yang kurang yakin untuk mencebur
diri dalam bidang perguruan. Kita jangan lupa bahawa guru sememangnya terlatih,
lengkap sebagai profesional untuk mendidik pelajar," katanya.
Suhaimi berkata guru cemerlang
dan mempunyai kebolehan, kemahiran serta kualiti sebagai pendidik secara langsung berupaya memacu negara ke
suatu tahap yang lebih baik berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Guru bahasa Inggeris Sekolah
Kebangsaan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor, Muhamad Fizri Jamal berkata dengan
menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan ia dapat membuka mata masyarakat
terhadap profesion itu serta menarik
minat mereka menceburi bidang perguruan.
"Dewasa ini, kita tahu bahawa
orang ramai berebut-rebut untuk menjadi guru tetapi kebanyakannya bukanlah
sebagai pilihan utama. Tindakan mereka juga didorong oleh beberapa faktor
seperti pengangguran, desakan keluarga dan lain-lain, bukannya atas minat dan
kesedaran diri sendiri.
"Jika seorang guru mempunyai
minat dan disiplin yang tinggi terhadap kerjaya, mereka akan bekerja lebih tekun
dan bertanggungjawab, apatah lagi dengan dipandang tinggi oleh masyarakat, akan
lebih bersemangat," katanya.
Selain itu beliau berkata
mengangkat profesion tersebut ke tahap yang lebih tinggi boleh memupuk rasa
bangga dalam diri seseorang guru terhadap kerjaya mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan