Oleh : SOFI RAHMAN
RAMAI dalam kalangan anak muda yang sedikit terkeliru antara Hari
Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedar akan kewujudan Hari
Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan
memberikan jawapan 31 Ogos.
Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu
mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan
yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia.
Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk
dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan
itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau
tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia
sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di
Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos
lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk
merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu
dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka
menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap
percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam.
Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya,
kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin
dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang
digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada
pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis
kerajaan.
Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara
sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada
bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi
jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara.
Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada
orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan
bagaimanakah yang harus diambil untuk menanamkan rasa cinta itu kepada
anak-anak muda.
Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik
12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar
menjiwai rasa cinta akan negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang
mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.
Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia
yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang
berkepentingan dalam politik.
Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah
khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda
anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan
sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak.
Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan
mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah
dipinggirkan mahupun dianaktirikan.
Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari
dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah
dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri.
Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan
Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi
kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan
Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak
tiri dan dipinggirkan?
Ramai anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang
baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada dalam
kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan
Sarawak untuk mencari rezeki.
Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak
yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi
nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk
sangka antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak.
Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib
Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk
pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia
bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang
tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.
Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan
kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar
perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab
ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK.
Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang
mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan
daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa.
Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam
kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama
ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing
dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.
Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk
menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita
gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pendelela
Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan