Jumaat, 14 September 2012

ISU KENEGARAAN : Antara Hari Kemerdekaan dengan Hari Malaysia



Oleh :  SOFI RAHMAN

RAMAI dalam kalangan anak muda yang sedikit terkeliru antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan memberikan jawapan 31 Ogos.

Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia.

Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam.

Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya, kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis kerajaan.

Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara.

Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk menanamkan rasa cinta itu kepada anak-anak muda.

Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik 12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar menjiwai rasa cinta akan negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.

Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang berkepentingan dalam politik.

Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak.

Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan mahupun dianaktirikan.

Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri.

Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak tiri dan dipinggirkan?

Ramai anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada dalam kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari rezeki.

Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk sangka antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak.

Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri  tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK.

Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa.

Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pendelela Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan