Nasib 10,200 graduan
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan
pekerjaan sebagai guru dijangka diketahui pada pembentangan Bajet 2013, 28
September ini. Bayangan awal yang diberikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin, dijangka melegakan mereka selepas beberapa tahun
menamatkan pengajian tapi tidak ditawarkan jawatan.
Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka mengumumkan sesuatu yang
akan mengubah nasib mereka. Keperluan semasa pasaran pendidikan dijangka
membantu graduan berkenaan mencapai cita-cita menjadi guru yang kini mendapat
pengiktirafan tinggi kerajaan. Kita yakin masalah yang dihadapi graduan
berkenaan menjadi iktibar kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian
Tinggi dan Kementerian Pelajaran. Mereka yang dilatih secara khusus sebagai
guru tapi menghadapi masalah penempatan, gara-gara unjuran kurang tepat
terhadap sektor perguruan itu sendiri.
Faktor lebihan
penawaran dan masalah penempatan menyebabkan mereka tidak segera ditawarkan
jawatan walaupun pertumbuhan penduduk dan bilangan pelajar sepatutnya memberi
peluang kepada kerjaya berkenaan. Keadaan lebih mendesak apabila dilaporkan
13,000 graduan pendidikan yang mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara
mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan berkenaan sehingga ada
yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
Kita yakin masalah
penempatan dan pengisian pengajaran subjek boleh diatasi. Kerajaan sentiasa
peka isu pendidikan termasuk melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bertujuan meningkatkan taraf pendidikan
negara ke tahap global. Sebagai sebuah negara yang menuju peningkatan sektor
pendidikan dan perguruan, Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan prasarana di
sekolah. Peningkatan premis dan kemudahan asas di sekolah memerlukan tenaga
penggerak yang berkualiti dan berwawasan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan