Oleh : Mohamad Abdullah
Muzik video Gangnam Style oleh penyanyi rap Korea Selatan dikatakan
mencapai lebih 130 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai
lalu. Malah lagu itu dikatakan menjadi satu kejutan apabila berupaya menembusi
pasaran dunia termasuk negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan dalam
segala bentuk budaya hiburan dunia.
Selama ini kita percaya bahawa budaya Barat adalah segala-galanya dalam
hidup kita walaupun dalam banyak keadaan ada yang marah dan membencinya. Budaya
Barat sering dilabelkan sebagai mengancam budaya murni dan merosakkan nilai
tradisional dalam kehidupan. Apabila media melalui proses globalisasi dan
langit terbuka, budaya Barat sering dipersalahkan dalam apa juga permasalahan.
Malah apa saja yang datang dari Barat dianggap budaya hedonisme yang merosakkan
akidah. Malangnya seperti kata seorang penganalisis, marah macam mana pun kita
kepada Barat, tarikan kepada budaya, universiti, wayang, makanan, pakaian dan
teknologi mereka masih sentiasa berlaku .
Ini amat benar kerana kita cepat saja menerima sesuatu apabila mendapat
pujian dan pengiktirafan daripada Barat. Sebahagian besar negara di dunia,
terutama negara Islam dan dunia ketiga, mengiktiraf apa juga yang datang dari
Barat dan sekutunya sebagai kebanggaan dan pengiktirafan terhadap apa yang
dilakukan.
Sanjung nilai Barat
Lihat saja apabila umat Islam dibuli dan dipandang serong Barat, kita akan
marah tetapi pada masa yang sama kita tetap menganggap ia sebagai rujukan
utama. Nilai budaya, ilmu, hiburan, makanan dan teknologinya dipandang tinggi,
dibanggakan dan menjadi satu cara hidup walaupun kita tahu sesetengahnya boleh
dipertikaikan.
Kita tahu dan sedar bahawa sesetengah ilmu dan teknologi terdapat di negara
lain yang kurang kita terokai. Malah negara yang disisihkan dan dikatakan
terasing daripada pembangunan ekonomi dalam konteks Barat, mempunyai institusi
ilmu yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penghasilan vaksin untuk
faedah umat manusia seluruhnya.
Penjajahan bentuk baharu yang amat kuat menguasai minda dan persepsi kita
terhadap budaya ini payah ditembusi kerana ia ditanam amat kukuh. Sebarang
cubaan yang berpandangan sebaliknya dianggap sebagai anti kemajuan dan
pembangunan serta tidak realistik. Dalam banyak hal, apa yang dikatakan hebat
dan baik oleh Barat dianggap sebagai kayu ukur dalam menentukan kedudukan
kebanyakan institusi kita walau pun sebahagiannya mengancam jati diri dan
kelangsungan geopolitik sesuatu negara.
Gangnam Style, satu citra baru dari satu daerah di Korea
Selatan mengajar bahawa jika caranya betul, persepsi itu mampu berubah bukan
saja dalam seni dan budaya tetapi juga aspek lain. Tentunya bukan daripada
aspek moral, ada pandangan mengatakan Gangnam Style satu lagi budaya
hampas yang berasaskan pergerakan kuda yang boleh merosakkan ummah.
Cari kekuatan seni budaya
Namun, jika kita kurangkan bertelingkah dalam hal remeh temeh dan hanya
mencari salah dan kekurangan, kita mempunyai banyak masa untuk bermuhasabah
diri dan mencari kekuatan dalam seni budaya serta akar umbi ilmu dan tamadun
yang sudah lama berada dalam kalangan kita.
Pelbagai kearifan tempatan yang ada perlu diteliti semula bagi mendorong
kreativiti dan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan nilai masa hadapan.
Banyak yang boleh kita ketengahkan untuk dikongsi dengan dunia. Bahasa dan
budaya bukanlah halangan.
Raihan misalnya pernah menjadi satu fenomena dalam mengetengahkan nasyid
sebagai satu budaya alternatif bukan saja dalam kalangan orang Melayu dan umat
Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya. Ia berlaku dengan cemerlang dan
beberapa ikon lain turut menyumbang ke arah pembentukan fenomena baru.
Kebijaksanaan inilah yang harus dijadikan cabaran dalam mengetengahkan
kekuatan dan kearifan dimiliki dalam kepelbagaian dunia. Globalisasi termasuk
media sosial dan YouTube membuka laluan dan peluang yang sangat besar dan
berguna untuk kita manfaatkan.
Ketengah ilmu, budaya tempatan
Sama ada dalam konteks untuk mengetengahkan agama dan moral mahu pun
keilmuan lain-lainnya, ia harus dilakukan sebaik mungkin. Selagi kita tidak
berupaya membina persepsi dan model baharu dalam pelbagai perkara, selama
itulah kita hanya akan marah dan menuding jadi menyalahkan semua orang kecuali
diri sendiri.
Gangnam Style barangkali bukan contoh terbaik tetapi ia menunjukkan
bagaimana globalisasi budaya boleh berlaku dengan pantas dan menembusi dunia
tanpa sempadan. Mampukah kita memanfaatkan dan menghadapinya atau kita hanya
mampu menjadi pemerhati walaupun kita mempunyai kekuatan jika
bersungguh-sungguh untuk melakukannya?
Masalahnya bukanlah Barat atau Timur tetapi nilai yang boleh mengancam
tamadun ummah yang perlu dihadapi bukan dengan membenci tetapi kebijaksanaan.
Penulis ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan