Jumaat, 14 September 2012

ISU SOSIAL : Rumah terbuka citra nilai Melayu baru


Oleh : Imlan Adabi
 
Masyarakat Melayu lama tidak pernah menyambut Aidilfitri sepanjang Syawal. Mereka paling lama pun sambut hari raya selama tiga hari. Hari keempat Syawal lazimnya mereka ke sawah atau menangkap ikan. Yang menjadi buruh terus membanting tulang dan penoreh memperagakan tulang empat kerat di pinggir bukit.

Suasana tradisi lebih berpihak mencari makan seadanya. Amalan bermaafan dan ziarah diamalkan sepanjang masa. Rumah mereka sentiasa terbuka, tidak tertakluk kepada Aidilfitri untuk bersalaman dan bermaafan. Bagi mereka, Syawal hanya sebahagian daripada kesinambungan bulan yang menganjurkan manusia beribadat dan menjalankan tradisi muafakat.

Konsep Melayu moden

Hanya pada dekad 90-an, budaya baru terbentuk hasil perkembangan ekonomi dan perubahan cara hidup. Melayu sambut raya selama sebulan. Tahun ini 16 September yang dianggap Hari Malaysia tepat pada hari terakhir Syawal. Cuti umum tentunya dimanfaatkan untuk majlis rumah terbuka. Mereka menggunakan alasan Syawal untuk menjemput saudara mara dan rakan ke majlis kenduri. Jika tiada Syawal, majlis rumah terbuka tidak diadakan.

Konsep Melayu moden meletakkan kehidupan sebagai milik peribadi, berbeza suasana tradisi yang wujud sebelum dekad 80-an. Jati diri Melayu berubah mengikut perubahan masa dan tradisi muafakat yang kita kaji dari kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mulai tercabar.

Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengalami perubahan drastik dari segi cara hidup dan sistem nilai. Dasar kerajaan yang mengutamakan agihan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat memberi kesan terhadap struktur masyarakat itu sendiri.

Konsep profesionalisme dikaitkan sebagai ‘penjualan’ tenaga dan kepakaran. Melayu turut terbabit menjual tenaga dan kepakaran untuk mendapat upah. Ahli kapitalis meletakkan pasaran pekerjaan sebagai penentu nilai sosial seseorang. Semakin tinggi kepakaran yang dimiliki mendorong kadar upah yang tinggi.

Peningkatan ekonomi, taraf hidup dan prasarana tanpa sedar mengubah identiti Melayu dan budayanya. Sistem nilai yang turut berubah menjadikan saingan dalam pasaran pekerjaan lebih utama daripada mengekalkan amalan muafakat dan tradisi gotong-royong.

Konsep kejiranan mulai terhakis dan kawasan perumahan moden yang dikaitkan dengan perbandaran menjadikan penduduknya lebih tertutup. Jika terdedah pun sekadar menikmati media baru yang terhasil daripada dasar langit terbuka.

Amalan rumah terbuka pada bazar Ramadan dan Syawal menterjemahkan keunikan Melayu baru. Dulu hidangan Syawal dimasak sendiri oleh isteri dan ahli keluarga bagi meraikan tetamu. Juadah Ramadan disediakan oleh ahli keluarga mengikut kemampuan. Tidak timbul istilah bazar Ramadan atau katering kerana wanita Melayu ketika itu mempunyai masa yang cukup untuk memasak dan berlapang dada menyediakan masakan.

Tuntutan masa dan perubahan cara hidup kini memaksa wanita turut bersaing ‘menjual’ kepakaran mereka dalam pasaran pekerjaan. Mereka keluar rumah sejak pagi dan kediaman hanya menjadi ‘sarang’ untuk berehat waktu senja dan malam. Perubahan suasana ini menyebabkan bazar Ramadan melata sepanjang bulan puasa dan katering menjadi tumpuan majlis rumah terbuka Syawal.

Kita harus akui katering dan bazar Ramadan adalah citra ekonomi Melayu moden. Semakin tinggi kuasa ekonomi di sesuatu kawasan semakin banyak perkhidmatan penyediaan makanan. Kuasa ekonomi mendorong majlis rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal. Kuasa ekonomi juga mendorong sesetengah majlis Aidilfitri atau berbuka puasa diadakan di hotel lima bintang sebagai membuktikan kekuatan kewangan penganjur majlis.

Kontradiksi pembangunan

Paradoks pembangunan sering memberi gambaran terbalik. Penulis menghadiri majlis Aidilfitri di sebuah dewan agam. Malangnya, tidak jauh dari kawasan parkir, kalangan gelandangan merayau mencari makan. Mereka juga Melayu. Kontradiksi pembangunan!

Ketika merayakan Hari Malaysia, wajar juga kita menilai sistem kehidupan Melayu hari ini. Pencapaian DEB dan kesan kemelut dalaman UMNO pada 1987 berjaya membentuk identiti baru kepada sebahagian Melayu. Politik wang, persaingan kerjaya dan pasaran saham sebahagian daripada keretakan bangsa sendiri.

Jangan terperanjat jika majlis terbuka Syawal sekadar acara tanpa semangat kemelayuan itu sendiri. Seorang teman secara sinis mengandaikan majlis rumah terbuka untuk tetamu yang dijemput saja!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan