MINGGUAN: Selepas 49
tahun, sejauh manakah tahap integrasi masyarakat Malaysia Barat dan Malaysia
Timur?
DR. JENIRI AMIR: Satu
daripada agenda penting selepas pembentukan Malaysia adalah untuk mewujudkan
integrasi wilayah. Sebelum pembentukan Malaysia malah pada awal pembentukannya,
memang wujud sentimen anti-Semenanjung yang begitu ketara dalam kalangan
penduduk Sarawak dan Sabah. Disebabkan dari segi geografi yang dipisahkan oleh
Laut Cina Selatan di samping faktor sejarah dan komposisi yang berbeza, maka
integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan sejak
kepemimpinan Tunku Abdul Rahman hingga kini.
Proses mencapai integrasi
bukanlah mudah, ia memerlukan masa yang panjang. Hakikatnya, integrasi total
tidak mungkin dicapai dalam waktu singkat kerana negara kita begitu kompleks.
Namun, tembok psikologi telah banyak dapat diruntuhkan dengan mobilisasi
penduduk yang lebih ketara, sistem pendidikan kebangsaan, kewujudan universiti
di pelbagai negeri dan peranan media. Prasangka dan segregasi (pemisahan)
semakin berkurangan. Integrasi yang kita harapkan ialah integrasi yang akhirnya
memungkinkan kita mencapai negara idaman yang memiliki identiti nasional.
Rakyat pelbagai kaum semakin
merasai bahawa mereka berada di bawah langit yang sama. Ikatan kesepaduan dari
segi minda dan emosilah yang lebih penting dalam kalangan rakyat kita dan Laut
Cina Selatan tidak harus menjadi jurang pemisah. Biar wujud jambatan emosi dan
jiwa yang teguh dalam kalangan rakyat di Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan
Sarawak. Perhubungan yang lebih akrab antara wilayah dapat mewujudkan integrasi
dalam bidang politik, sosial dan nilai. Dengan adanya perhubungan dan
pengertian yang lebih mendalam, maka konflik dapat dielakkan.
MINGGUAN: Apakah agaknya
yang boleh diperbaiki dan diberi tumpuan?
DR. JENIRI AMIR: Ketika
Malaysia hendak ditubuhkan 49 tahun lalu, para pemimpin Kerajaan Persekutuan
dengan pemimpin politik dan kaum di Sabah dan Sarawak seperti Datu Bandar Abang
Mustapha Abang Mosili, Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens telah
memainkan peranan besar menyokong gagasan Malaysia. Malah, Abang Mustapha
antara pemimpin terawal Borneo yang menyokong idea Tunku itu. Para pemimpin
berkenaan dan rakyat Sabah dan Sarawak dijanjikan pembangunan dan peluang yang
sama dengan yang dinikmati oleh para penduduk dan negeri di Semenanjung.
Rungutan yang masih wujud adalah
ketidakseimbangan dari segi pembangunan prasarana, ekonomi dan peluang yang
diberikan kepada rakyat kedua-dua buah negeri ini untuk menduduki jawatan kanan
di kementerian-kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di
Semenanjung.
Mereka mengharapkan untuk
ditingkatkan tahap pembangunan khususnya di luar bandar. Mereka juga mahu
diberi peluang yang sama dari segi pekerjaan dan jawatan penting. Mereka
menuntut supaya royalti minyak dinaikkan agar ketidakseimbangan yang wujud
dapat dikurangkan. Jangan sampai rakyat di Sabah dan Sarawak merasai mereka
seolah-olah dilayan sebagai rakyat kelas dua. Jika kerajaan BN mahu kedua-dua
negeri itu terus menjadi pelampung untuk menyelamatkan BN, maka perasaan,
permintaan dan aspirasi rakyat di kedua-dua negeri itu perlu diberi perhatian.
Memang wajar mereka membuat tuntutan berkenaan, kerana mereka beranggapan
bahawa disebabkan dukungan kuat merekalah, maka BN masih berada di Putrajaya.
Implikasinya, Sarawak dan Sabah tidak harus dipinggirkan atau menjadi melukut
di tepi gantang.
MINGGUAN: Apakah manfaat
paling ketara yang dinikmati Sabah dan Sarawak hasil pembentukan Malaysia?
DR. JENIRI AMIR: Keputusan
para pemimpin politik serta rakyat Sabah dan Sarawak untuk sama-sama membentuk
Malaysia sebagaimana dimanifestasikan melalui keputusan diperoleh Suruhanjaya
Cobbold merupakan tindakan tepat dan berpandangan jauh. Ancaman dalaman
termasuk komunis di Sarawak memburukkan lagi keadaan. Namun, dengan
terbentuknya Malaysia, maka Sarawak dapat diselamatkan. Selain itu, Sabah dan
Sarawak juga dapat menikmati pembangunan prasarana, sosial, kebudayaan,
ekonomi, pelajaran dan seumpamanya sejak Malaysia ditubuhkan. Maksudnya,
kedua-dua negeri itu dapat memerdekakan diri mereka daripada kedaifan,
kemunduran, ketidakyakinan dari segi infrastruktur dan ekonomi khususnya
meskipun masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan. Dalam
konteks ini, boleh kita katakan bahawa janji-janji sewaktu pembentukan Malaysia
sudah dikotakan, sekali gus mencerminkan komitmen dan keikhlasan kepemimpinan
di peringkat Pusat untuk memajukan dan memakmurkan Sabah dan Sarawak.
MINGGUAN: Bagaimana pula
dengan kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenuhi keperluan Sabah
dan Sarawak?
DR. JENIRI AMIR: Tsunami
politik dalam pilihan raya 2008 telah mengubah landskap politik. Datuk Seri
Najib melalui gagasan 1Malaysia memaknakan lagi erti pembentukan Malaysia. Satu
Malaysia bukan sahaja bermaksud Semenanjung, tetapi meliputi Sabah dan Sarawak.
Jika sebelumnya, tidak terdapat keberanian untuk mengisytiharkan 16 September
sebagai cuti umum, namun di bawah Najib, beliau mengambil tindakan tersebut.
Tindakan itu menggambarkan keikhlasan beliau, sekali gus membayangkan hakikat
bahawa beliau ialah pemimpin yang sentiasa membawa aspirasi rakyat. Telinga
beliau sentiasa didekapkan ke bawah untuk mendengar denyut nadi dan gerak rasa
rakyat. Beliau ialah Perdana Menteri yang memiliki sikap empatik. Tidak ada
Perdana Menteri yang melawat Sabah dan Sarawak sekerap Datuk Seri Najib.
Tujuannya tidak lain daripada mendekatkan dirinya dengan rakyat agar faham akan
masalah dan aspirasi mereka. Beliau bukan sahaja melawat ibu negeri, tetapi
menjelajah sampai ke pesisiran dan pedalaman, termasuk ke rumah panjang. Beliau
juga mewujudkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kadar royalti minyak, selain
meningkatkan peruntukan kewangan bagi memastikan jurang pembangunan dan ekonomi
dapat dirapatkan. Semua kaum diberi perhatian, termasuk etnik minoriti. Tidak
hairanlah dengan kesungguhan itu, beliau begitu popular dalam kalangan rakyat
di kedua-dua negeri sehingga mencecah rating sokongan 80 peratus.
MINGGUAN: Sejauh manakah
generasi muda mendalami falsafah pembentukan Malaysia?
DR. JENIRI AMIR: Bagi generasi muda, mereka lebih dekat dan
lebih memahami hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Hari Malaysia agak
kurang relevan kepada mereka. Hal ini ada kaitan dengan bagaimana tajuk
berkenaan pembentukan Malaysia diberi tumpuan dalam mata pelajaran Sejarah.
Namun, saya percaya selepas Hari Malaysia diwujudkan dan diraikan, maka
kesedaran tentang kepentingan hari berkenaan semakin meningkat. Perbincangan
tentang sejarah dan kepentingan pembentukan Malaysia perlu dibincangkan melalui
media bagi membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman mereka tentang hari
penting itu. Sebagai sebuah negara yang menjadikan negara bangsa sebagai
idaman, maka kita perlu memperkukuh pengertian terhadap sejarah dan kepentingan
Hari Malaysia. Mungkin pada tahun depan kita boleh meraikan Hari Malaysia di
Sabah, Sarawak dan Semenanjung secara besar-besaran kerana kita akan meraikan
ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia.
MINGGUAN: Perjanjian 20
Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak, adakah ia sesuatu yang difahami
masyarakat khasnya di Semenanjung?
DR. JENIRI AMIR:
Masyarakat biasa di negara ini kurang faham tentang perjanjian itu. Perkara 165
Perlembagaan Malaysia turut memasukkan tuntutan Sabah dan Sarawak itu. Antara
perkara terbabit adalah berkaitan dengan agama, bahasa, perlembagaan,
imigresen, kewangan dan hak bumiputera Sabah dan Sarawak. Misalnya, di bawah
perjanjian itu, dipersetujui bahawa kuasa imigresen adalah di bawah Pusat,
tetapi soalan tentang keluar atau masuk ke Sabah dan Sarawak harus dikawal oleh
kedua-dua negeri itu sendiri. Di bawah perjanjian itu terdapat
perlindungan-perlindungan khas bagi kedua-dua negeri itu, selain pemberian khas
dalam peruntukan kewangan. Penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak juga
mendapat hak istimewa seperti orang Melayu di Semenanjung.
Ada pemimpin di Sabah dan Sarawak
mati-matian mahu mempertahankan perkara yang dikatakan termaktub di bawah
perjanjian itu seolah-olah ia diukir di atas batu. Persoalannya, adakah selepas
hampir 50 tahun Malaysia ditubuhkan, kita perlu berpegang kepada perjanjian itu
secara tuntas, misalnya dari segi imigresen sehingga mereka dari Semenanjung
seolah-olah bukan orang Malaysia apabila melalui imigresen di lapangan terbang?
Dalam keadaan masyarakat kurang faham akan kandungan terperinci perjanjian itu,
mereka mudah keliru dan dikelirukan apatah lagi oleh para pemimpin politik yang
mempunyai agenda tersendiri untuk dilihat sebagai hero dalam kalangan rakyat
Sabah dan Sarawak.
MINGGUAN: Kebelakangan ini
makin ketara adanya usaha melaga-lagakan masyarakat Semenanjung dengan Sabah
dan Sarawak melalui laman sosial seperti Facebook. Apa komen Dr?
DR. JENIRI AMIR: Perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang mahu
merosakkan hubungan baik dan integrasi yang wujud ketika ini. Golongan ini cuba
mengambil kesempatan. Mereka merupakan pemusnah integrasi nasional yang cuba
diwujudkan oleh kerajaan. Sayugia diingatkan, tidak ada manfaatnya
melaga-lagakan masyarakat. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya merugikan
semua pihak.
Apakah untungnya jika sentimen
rakyat diapi-apikan? Apa gunanya jika rakyat saling memusuhi? Kita sepatutnya
bergerak ke hadapan untuk membina negara idaman; sebuah negara bangsa yang
memiliki kesatuan, kesepaduan dan akhirnya perpaduan dari segi politik, sosial,
wilayah, ekonomi, budaya dan sebagainya.
Bagi menangani emosi yang membuak-buak
dalam kalangan generasi muda dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan
untuk menjelaskan pentingnya keharmonian hubungan dan integrasi antara
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak disegarbugarkan. Langkah top-down daripada
kerajaan tidak memadai, langkah dan strategi bottom-up perlu digiatkan juga,
kerana akhirnya penggemblengan kedua-dua pendekatan itulah yang memungkinkan
kita dapat menyuntik rasionaliti ke dalam minda mereka.
MINGGUAN: Bagaimana pula
dengan mereka yang mendakwa hasil bumi Sabah dan Sarawak dirompak untuk
membangunkan Semenanjung?
DR. JENIRI AMIR: Ini
tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Untuk menuduh kerajaan Pusat merompak
hasil bumi kedua-dua negeri adalah satu tuduhan yang melampau. Sebagai sebuah
negeri yang mengamalkan sistem Persekutuan, saya percaya bahawa kerajaan Pusat
telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak rakyat di seluruh negara.
Jikapun ada kelemahan, adakah sepuluh jari itu perlu ditujukan kepada pemimpin
Pusat sahaja. Jika kemunduran, kemiskinan dan salah guna kuasa berlaku,
tidakkah pemimpin negeri di Sabah dan Sarawak turut bertanggungjawab.
MINGGUAN: Ada juga dakwaan
Sabah dan Sarawak mampu melakar masa depan yang lebih gemilang jika tidak
membentuk Malaysia. Relevankah ia didebatkan selepas 49 tahun?
DR. JENIRI AMIR: Ketika
Malaysia mulai digagaskan, Filipina dan Indonesia memang menentang keras
penubuhan Malaysia. Presiden Filipina, Diasdado Macapagal menentang cadangan
pembentukan Malaysia kerana membabitkan wilayah Borneo Utara atau Sabah.
Penentangan Indonesia di bawah kepemimpinan Sukarno bukan sahaja dalam bentuk
diplomasi, tetapi beliau telah melancarkan gerakan ketenteraan melalui dasar
konfrontasi. Sabah dan Sarawak telah dapat diselamatkan daripada diancam dan
ditelan oleh Filipina dan Indonesia.
Ini merupakan soalan hipotetikal.
Untuk menjawab soalan atau kenyataan ini, kita perlu bertanya balik.
Bagaimanakah keadaan politik, sosial dan ekonomi Filipina dan Indonesia
sekarang? Adakah jauh lebih maju daripada Malaysia? Adakah jauh lebih membangun
daripada Sabah dan Sarawak? Adakah rakyatnya lebih bahagia? Berapa banyakkah
rakyatnya yang terpaksa mencari rezeki di luar negara?
Saya rasa, tidak ada gunanya kita
berdebat tentang perkara ini. Ini tidak menguntungkan. Sama seperti suami
isteri yang sudah berkahwin dan mendapat anak, selepas hampir 50 tahun
berkahwin, tiba-tiba timbul di jiwa atau fikirannya, tentang kemungkinan dia lebih
bahagia jika berkahwin dengan orang lain. Justeru, daripada mengambil keputusan
untuk berpisah atau berkahwin lain atau mengeruhkan hubungan, lebih baik
ditumpukan segala perhatian untuk membahagiakan rumah tangga yang telah dibina
demi kebahagiaan pasangan suami isteri sendiri dan anak-anak.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/