Rabu, 12 Jun 2013

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Jenayah siber cabaran baru sistem perundangan


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid 

Perkembangan kehidupan masyarakat pascamoden hari ini nampaknya banyak dipengaruhi media siber. Pada satu sisi, perkembangan ini dilihat sebagai positif kerana banyak kebaikannya. Antaranya, ia mendorong dan memperluas integrasi ekonomi pada peringkat global serta memperluas nilai demokrasi dan hak asasi manusia.

Namun, pada sisi yang lain kelihatan media siber umpama ‘jelmaan syaitan’ yang membawa kerosakan dalam kehidupan manusia hari ini. Bukan ia tidak baik, tetapi kejahatan manusia yang menggunakannya menyebabkan alat yang baik itu disalahgunakan.

Ini lumrah kerana dalam kehidupan masyarakat pasti akan ada manusia yang cenderung ke arah perilaku menyimpang.

Ia tidak dapat dielakkan sejak kewujudan manusia di bumi ini. Sekelompok pengamal dan pengguna media siber menggunakan kemudahan media siber dengan cara yang tidak benar dan melanggar hukum semata-mata untuk memenuhi kepentingan mereka. Namun, apabila kejahatan ini disebarkan melalui maya secara berleluasa dan merentasi sempadan fizikal, maka kesannya sangat terasa. Ia merosakkan kehidupan masyarakat dan bernegara serta nilai kemanusiaan.

Kejahatan yang disebarkannya boleh mempengaruhi dan membentuk cara berfikir serta bertindak ramai manusia lain, terutamanya mereka yang rapuh pegangan hidup atau yang tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang sudah diputarbelitkan oleh pihak yang berkepentingan serta mempunyai agenda tertentu.

Sukar bendung

Memang sukar dibendung kerana kejahatan yang dilakukan melalui internet merentasi sempadan negara dan pencerobohan fizikal. Realitinya, kejahatan media siber adalah potret permasalahan jiwa manusia. Realitinya, perkembangan negatif dunia internet sedang menggugat kehidupan masyarakat global, termasuk di negara kita sendiri.

Ancaman kejahatan siber adalah bersifat transnasional. Kejahatan ini merangkumi gerakan terrorisme, pencurian wang, sindiket pengedaran dadah, penjualan senjata secara haram, rompakan di laut, pencerobohan rahsia negara, pencerobohan hak individu, penghinaan terhadap agama dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang semuanya boleh mengancam kehidupan masyarakat global dan masyarakat setempat.

Ancaman global ini adalah impak daripada revolusi teknologi komunikasi dengan jangkauan kejahatan transnasional cepat berkembang ke serata dunia. Penyalahgunaan jaringan internet untuk tujuan keganasan siber antara bentuk kejahatan yang sangat ditakuti masyarakat dunia hari ini. Kumpulan pengganas memanfaatkan kemudahan internet untuk mengembangkan ideologi, malah melancarkan keganasan ke atas sasarannya.

Dalang jenayah

Demikianlah, di sebalik kemajuan teknologi maklumat, terutama internet, berkembangnya pelbagai jenayah siber. Dalang kepada pendorong jenayah siber ini adalah kelompok mahir mengendalikan internet untuk mempengaruhi pengguna awam. Kelompok ini mudah dikuasai seolah-olah menjadi pengikut atau tentera mereka bagi menyebar lagi kejahatan yang mereka ciptakan itu. Antara mereka, ada yang didalangi pengaruh asing yang menyalurkan dana bagi tujuan aktiviti jahat itu.

Sama ada penjenayah siber atau pengganasan siber, mereka adalah pelaku kejahatan media siber yang membahayakan kehidupan individu, masyarakat, negara dan masyarakat global. Mereka ini mempunyai kepentingan tertentu yang mahu dicapai secara tidak sah atau menyalahi hukum merangkumi kepentingan ideologi, politik, perniagaan, budaya, agama dan sebagainya. Sering kali mereka tidak mempunyai matlamat, tetapi suka melihat kerosakan dalam kehidupan masyarakat hasil jenayah siber yang mereka lakukan.

Individu seperti ini boleh dianggap manusia yang menghadapi Cyber Dysfunctional Personality Disorder (CDPD) yang menghadapi masalah expression of reality. Mereka mungkin tidak berbahaya jika sekadar menunjukkan kegilaan untuk membuka terlalu banyak akaun media sosial sehinggakan berpuluh-puluh untuk menunjukkan mereka popular atau sociable.

Namun, masalah timbul apabila mereka lebih cenderung melakukan jenayah siber.

Kesimpulannya, di sebalik manfaat teknologi internet, wujudnya bentuk jenayah baru, iaitu jenayah siber yang menjadi cabaran kepada sistem perundangan dan kehakiman negara. Justeru, perlu ada satu perancangan dan pembangunan strategi oleh kementerian serta pihak berkuasa bagi memantau aktiviti media siber serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan siber yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat serta mengancam keselamatan negara.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan