Adegan di mana-mana kedai makan
di kota dan di bandar utama dunia hari ini : keluarga sedang makan. Si bapa sibuk
menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS), si ibu sedang ber-whatsapp dengan
kawan, anak pertama sedang bermain Candy Crush Saga, seorang lain
menghantar sesuatu melalui Facebook (FB), seorang lagi melayari laman web
mencari muzik K-Pop terbaru.
Tiada siapa yang sebenarnya
bercakap antara satu sama lain. Hanya sesekali terdengar sepatah dua kata
yang muncul dari mulut si bapa atau si ibu. Keluarga ini secara fizikalnya
dekat tetapi masing-masing berada dalam dunia yang berbeza. Mereka
berkomunikasi dengan orang lain tetapi tidak sesama sendiri.
Maka itu kajian terbaru tentang
komunikasi antara keluarga di United Kingdom (UK) menarik perhatian kita. Dalam
kajian itu, setiap minggu pasangan di UK menghantar 34 mesej teks sesama
sendiri dan kepada anak-anak mereka atau sejumlah 1,768 mesej teks setahun.
Pasangan negara itu secara purata menghantar 10 e-mel seminggu dan 468 mesej
menggunakan media sosial kepada anggota keluarga.
Moral ceritanya ialah anggota
keluarga tidak lagi ‘bercakap’ sesama sendiri tetapi berhubungan menggunakan
peralatan terbaharu. Malah anggota keluarga yang duduk serumahpun lebih selesa
berhubungan menggunakan whatsapp atau FB daripada bercakap sesama sendiri.
Dunia perhubungan sesama anggota
keluarga sudah berubah dengan hebatnya. Keluarga Malaysia tidak terkecuali
dalam hal ini. Kita sudah mendengar rungutan daripada ibu bapa dan guru tentang
pelajar dan anak-anak yang terbina dalam senario baru ini. Hubungan keluarga –
termasuk kerukunan dan ikatan – nampaknya sedang melalui proses perubahan atau
transformasi luar biasa.
Zaman komunikasi luar biasa
Zaman ayah, ibu dan anak-anak
makan semeja dan berbual-bual secara santai atau terbuka nampaknya akan
berakhir. Anak-anak hari ini tidak dapat meninggalkan peralatan teknologi
terbaru, walaupun di meja makan. Ibu bapa pula sibuk melayani mesej dari pejabat
atau dari teman-teman. Selain pinggan, mangkuk dan cawan, telefon pintar
menjadi sebahagian peralatan di atas meja makan hari ini.
Ini zaman komunikasi luar biasa.
Teknologi terbaru memungkinkan manusia berhubungan secara pantas. Media sosial
bukan sahaja mengubah cara kita berhubungan tetapi juga cara kita berkeluarga
malah suasana politik tanah air. Ambil sahaja contoh Twitter yang amat popular
itu. Lebih 400 juta ‘tweets’ dihantar setiap hari oleh penggunanya di seluruh
dunia. Twitter baru sahaja berusia tujuh tahun.
Pada masa ini FB sudah mencecah
satu bilion pengguna (angka terbaru 1.1 bilion). Ini bermakna seorang daripada
tujuh penghuni planet Bumi merupakan pengguna FB. Di Malaysia sahaja terdapat
13.2 juta pengguna FB. Negara kita merupakan negara ke-18 daripada segi jumlah
pengguna FB di antara 50 negara paling aktif.
Bayangkan bagaimana hebatnya
peranan yang dimainkan oleh media sosial dalam kehidupan kita. Dan bagaimana ia
menjejaskan sistem kekeluargaan kita.
Ibu bapa hari ini tidak terperanjat
lagi mendapat mesej daripada anak mereka yang tinggal serumah atau mengetahui
keputusan peperiksaan mereka melalui FB atau Twitter. Mereka juga mahu tidak
mahu mengikuti pandangan dan kegiatan anak-anak mereka melalui media sosial.
Lautan ilmu di internet
Mahu tidak mahu kita harus
menerima hakikat bahawa internet dan aplikasi media sosial besar manfaatnya
pada manusia. Internet mendemokrasikan ilmu dengan cara yang luar biasa.
Berbilion maklumat dan data serta ilmu boleh diperoleh dengan hanya menggunakan
jari. Internet merupakan lautan ilmu tanpa sempadan. Kita boleh memperoleh apa
sahaja maklumat dengan pantas dan yang lebih penting lagi secara percuma.
Akibatnya manusia menjadi lebih
berilmu, lebih bermaklumat dan lebih terdedah. Sistem pendidikan berubah secara
drastik. Banyak gunanya teknologi komunikasi terbaru ini. Asalkan tidak
disalahgunakan. Penggunaan media sosial harus dilandasi oleh tanggungjawab dan
dunia siber tidak boleh menjadi alam koboi tanpa undang-undang dan peraturan.
Dan yang lebih penting ialah
sistem keluarga tidak harus dihancurkan oleh teknologi. Keharmonian keluarga
tidak harus dikorbankan.
Kawallah penggunaan teknologi.
Anak-anak kecil terutamanya harus tahu batas penggunaannya. Ada kalanya kita
harus mengetepikan peralatan moden.
Macam dulu-dulu juga.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan