Perkembangan kehidupan masyarakat
pascamoden hari ini nampaknya banyak dipengaruhi media siber. Pada satu sisi,
perkembangan ini dilihat sebagai positif kerana banyak kebaikannya. Antaranya,
ia mendorong dan memperluas integrasi ekonomi pada peringkat global serta
memperluas nilai demokrasi dan hak asasi manusia.
Namun, pada sisi yang lain
kelihatan media siber umpama ‘jelmaan syaitan’ yang membawa kerosakan dalam
kehidupan manusia hari ini. Bukan ia tidak baik, tetapi kejahatan manusia yang
menggunakannya menyebabkan alat yang baik itu disalahgunakan.
Ini lumrah kerana dalam kehidupan
masyarakat pasti akan ada manusia yang cenderung ke arah perilaku menyimpang.
Ia tidak dapat dielakkan sejak
kewujudan manusia di bumi ini. Sekelompok pengamal dan pengguna media siber
menggunakan kemudahan media siber dengan cara yang tidak benar dan melanggar
hukum semata-mata untuk memenuhi kepentingan mereka. Namun, apabila kejahatan
ini disebarkan melalui maya secara berleluasa dan merentasi sempadan fizikal,
maka kesannya sangat terasa. Ia merosakkan kehidupan masyarakat dan bernegara
serta nilai kemanusiaan.
Kejahatan yang disebarkannya
boleh mempengaruhi dan membentuk cara berfikir serta bertindak ramai manusia
lain, terutamanya mereka yang rapuh pegangan hidup atau yang tidak mempunyai
asas pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang sudah diputarbelitkan oleh pihak
yang berkepentingan serta mempunyai agenda tertentu.
Sukar bendung
Memang sukar dibendung kerana
kejahatan yang dilakukan melalui internet merentasi sempadan negara dan
pencerobohan fizikal. Realitinya, kejahatan media siber adalah potret
permasalahan jiwa manusia. Realitinya, perkembangan negatif dunia internet
sedang menggugat kehidupan masyarakat global, termasuk di negara kita sendiri.
Ancaman kejahatan siber adalah
bersifat transnasional. Kejahatan ini merangkumi gerakan terrorisme, pencurian
wang, sindiket pengedaran dadah, penjualan senjata secara haram, rompakan di
laut, pencerobohan rahsia negara, pencerobohan hak individu, penghinaan
terhadap agama dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang semuanya boleh mengancam
kehidupan masyarakat global dan masyarakat setempat.
Ancaman global ini adalah impak
daripada revolusi teknologi komunikasi dengan jangkauan kejahatan transnasional
cepat berkembang ke serata dunia. Penyalahgunaan jaringan internet untuk tujuan
keganasan siber antara bentuk kejahatan yang sangat ditakuti masyarakat dunia
hari ini. Kumpulan pengganas memanfaatkan kemudahan internet untuk
mengembangkan ideologi, malah melancarkan keganasan ke atas sasarannya.
Dalang jenayah
Demikianlah, di sebalik kemajuan
teknologi maklumat, terutama internet, berkembangnya pelbagai jenayah siber.
Dalang kepada pendorong jenayah siber ini adalah kelompok mahir mengendalikan
internet untuk mempengaruhi pengguna awam. Kelompok ini mudah dikuasai
seolah-olah menjadi pengikut atau tentera mereka bagi menyebar lagi kejahatan
yang mereka ciptakan itu. Antara mereka, ada yang didalangi pengaruh asing yang
menyalurkan dana bagi tujuan aktiviti jahat itu.
Sama ada penjenayah siber atau
pengganasan siber, mereka adalah pelaku kejahatan media siber yang membahayakan
kehidupan individu, masyarakat, negara dan masyarakat global. Mereka ini
mempunyai kepentingan tertentu yang mahu dicapai secara tidak sah atau
menyalahi hukum merangkumi kepentingan ideologi, politik, perniagaan, budaya,
agama dan sebagainya. Sering kali mereka tidak mempunyai matlamat, tetapi suka
melihat kerosakan dalam kehidupan masyarakat hasil jenayah siber yang mereka
lakukan.
Individu seperti ini boleh
dianggap manusia yang menghadapi Cyber Dysfunctional Personality Disorder
(CDPD) yang menghadapi masalah expression of reality. Mereka mungkin tidak
berbahaya jika sekadar menunjukkan kegilaan untuk membuka terlalu banyak akaun
media sosial sehinggakan berpuluh-puluh untuk menunjukkan mereka popular atau
sociable.
Namun, masalah timbul apabila
mereka lebih cenderung melakukan jenayah siber.
Kesimpulannya, di sebalik manfaat
teknologi internet, wujudnya bentuk jenayah baru, iaitu jenayah siber yang
menjadi cabaran kepada sistem perundangan dan kehakiman negara. Justeru, perlu
ada satu perancangan dan pembangunan strategi oleh kementerian serta pihak
berkuasa bagi memantau aktiviti media siber serta memperkukuh penguatkuasaan
undang-undang berkaitan kesalahan siber yang boleh menggugat keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat serta mengancam keselamatan negara.
Penulis ialah Penganalisis
Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian
Komunikasi dan Multimedia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan