UMUM memahami, bahasa yang
bercampur-campur dikenali sebagai “bahasa rojak” - yang membawa maksud bahasa
Melayu + bahasa Inggeris atau bahasa Melayu + bahasa Cina atau bahasa Melayu + bahasa Tamil begitulah
seterusnya.
Tetapi mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim pernah menyatakan, bahasa seperti ini ibarat
“sekerat ular sekerat belut” iaitu bahasa bercampur-campur yang tidak harus
digunakan oleh juru hebah, pengacara dan pembaca berita.
Mengikut pakar bahasa Melayu,
yang juga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan,
bahasa seumpama ini bukan sahaja merosakkan bahasa malah membantutkan
perkembangan bahasa itu sendiri.
Penutur yang mengamalkan bahasa
rojak bukan sahaja merosakkan penggunaan bahasa malah menjatuhkan dan
merendahkan martabat sesuatu bahasa, terutama Bahasa Melayu.
Perkembangan terkini, semakin
merebak penggunaan bahasa rojak dan bahasa “sekerat ular sekerat belut” ini di
radio dan televisyen.
Pengguna terutama juruhebah dan
pengacara tidak peka terhadap penggunaan bahasa yang betul.
Banyak bahasa yang bercampur baur
yang boleh menjadi ikutan para penonton dan pendengar, terutamanya golongan
muda yang akhirnya merosakkan Bahasa Melayu.
Ketegasan pihak kementerian
berkenaan sepatutnya berlaku dan pihak atasan di kementerian wajar memberikan
garis panduan kepada juru hebah, juga pengacara supaya tidak menggunakan bahasa
rojak dalam penggunaan rasmi di radio dan televisyen.
Kelancaran Bahasa Melayu banyak
bergantung pada penggunaan tata bahasa yang betul, intonasi yang tepat, sebutan vokal dan kesopanan
bahasa sewaktu menuturkan bahasa ini.
Oleh itu, kemurnian bahasa dapat
diwujudkan dan Bahasa Melayu dapat dituturkan dan disampaikan dengan indah dan
berseni. Ini juga dapat mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
dan bahasa yang penuh dengan keindahan dan kesopanan. Di peringkat sekolah Bahasa Melayu telah diajar dengan baik supaya pelajar dapat bertutur dan
menulis dengan berkesan.
Seperti kata Samuel Johnson,
bahasa adalah pakaian kepada fikiran. Sementara menurut James Adam, bahasa yang
buruk merosakkan fikiran. Oleh itu, berhati-hatilah ketika menggunakan bahasa
terutama untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai agar bahasa itu tidak
dirosakkan.
Justeru, Langkah menggunakan
bahasa yang betul dan tepat mestilah dilaksanakan di semua stesen televisyen
sama ada di pihak kerajaan atau swasta, begitu juga di stesen-stesen radio yang
semakin bercambah di negara ini.
Mereka menggunakan bahasa untuk
menyampaikan sesuatu, gunakanlah bahasa yang betul dan tepat ketika
menyampaikan berita dan maklumat.
Bahasa adalah alat untuk
menyampaikan ilmu pengetahuan. Bahasa juga adalah cermin kepada fikiran. Bahasa
juga adalah jiwa kepada bangsanya.
Jika bahasa tidak digunakan
dengan betul dan tepat dan dipermain-mainkan atau dipermudahkan penggunaannya
yang akan menyebabkan bahasa tersebut hilang kewibawaan, kebijaksanaan dan
hikmahnya.
Di Parlimen masih terdapat
penggunaan yang tidak lancar dan tidak tepat oleh sesetengah Ahli Parlimen.
Kata-kata “bahasa menunjukkan
bangsa” seharusnya menjadi renungan kita semua. Bahasa Melayu jelas mempunyai
keindahan, kesopanan dan kemurnian yang harus dipertahankan.
Melalui saluran media sama ada
akhbar, radio dan televisyen bahasa dapat digunakan dengan berkesan kepada
khalayak pembaca, pendengar dan penonton.
Sesungguhnya, usaha memartabatkan
dan mendaulatkan bahasa adalah terletak kepada tanggungjawab semua pihak iaitu
kepada setiap rakyat yang cintakan bahasanya.
Siapa lagi yang harus
memperjuangkan bahasanya selain daripada bangsa itu sendiri yang sedar dan
insaf akan kedudukan bahasanya yang semakin terancam?
Hanya kitalah yang
bertanggungjawab mendaulatkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang tinggi.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan