KELANTANGAN FELO Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG yang sering sahaja menggesa orang Cina memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan dan pertuturan sering sahaja menghangatkan mereka yang tidak bersetuju dengannya.
Maka adalah tidak menghairankan
ketika dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID,
beliau meluahkan menerima pelbagai kecaman, cercaan dan kata nista yang
adakalanya di luar batasan.
Namun sudah menjadi satu
tanggungjawab baginya untuk terus lantang dan tidak sesekali gentar dengan
cemuhan bagi terus memperjuangkan bahawa semua bangsa di negara ini perlu
belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik malah akan mempertahankannya
jika ada pihak yang cuba menggagalkannya.
Terbaru beliau mengecam tindakan
Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong
Zong) sebagai melampau kerana bersikap keterlaluan dalam melindungi bahasa Cina
selain menyatakan tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina
terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.
Kok Seong juga mahu pertubuhan
itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan
mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.
Kita hidup di Malaysia dan adalah
perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai
satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan
identiti sebagai orang Cina," kata beliau.
MINGGUAN : Pada pandangan
Datuk kenapa Dong Zong terlalu bertegas dalam mempertahankan sekolah vernakular
dan langsung tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini?
TEO KOK SENG : Pertama
sekali kita perlu memahami peranan dan kewujudan Dong Zong itu sendiri. Ia
merupakan sebuah badan yang cukup berpengaruh melindungi bahasa Cina dalam
pendidikan mereka. Kita boleh katalah mereka ini bertindak seolah-olah Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi untuk orang Cina. Bagaimanapun bagi saya
perjuangan dan usaha mereka untuk melindungi bahasa Cina setelah kita mencapai
kemerdekaan 56 tahun yang lalu adalah keterlaluan dan tidak selari dengan
pepatah dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Sebab itu saya melihat dakwaan
mereka bahawa dengan pelantikan menteri yang tidak fasih berbahasa Mandarin
yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu isu besar.
Saya melihat dakwaan mereka ini agak melampau sedangkan orang Cina yang tidak
fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki
keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini
dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat sebenar orang Cina hidup
di Malaysia ini.
Keduanya saya melihat tindakan
Dong Zong ini dalam kebanyakan hal adalah amat anti nasional kerana perjuangan
mereka ini tidak mengambil kita kedudukan dan suasana di negara ini dan mereka
sering bertelagah dengan parti MCA dan Gerakan. Bagi mereka kedua parti ini
tidak mampu memperjuangkan isu sekolah Cina dan sering memperkecilkan fungsi
dan peranan MCA dan Gerakan. Mereka juga sering menentang hasrat Kementerian
Pendidikan sebelum ini yang berniat murni mahu menggalakkan perpaduan dan
pembentukan jati diri kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara
ini. Mereka dilihat anti semangat nasional kerana enggan bekerjasama dalam
membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan jati diri kebangsaan.
Dalam soal jati diri kebangsaan ini sama ada mahu atau tidak adalah perlu
memasukkan simbol dan proses budaya Melayu kerana ia sudah dipersetujui dalam
kontrak sosial. Maka adalah perlu bahasa Melayu ini ditegakkan kedudukannya
kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan jadi sudah tentu kita tidak boleh
menolaknya dalam apa jua cara.
MINGGUAN : Pada pandangan
Datuk apakah sekolah vernakular ini wujud kerana kaum Cina ini takut kedudukan
bahasa dan budaya Cina terhapus atau mungkin ada agenda lain seperti tidak mahu
proses asimiliasi seperti di Indonesia dan Thailand berlaku?
TEO KOK SEONG : Saya tidak
pasti apakah tindakan mereka ini pada awalnya kerana tidak mahu proses
asimiliasi berlaku dan perlu dikaji hal sebenar tentang itu. Namun adalah tidak
mustahil perkara ini yang menjadi asas kenapa perlunya sekolah vernakular. Kita
maklum bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk melindungi bahasa ibunda
tetapi saya melihat tindakan mereka ini agak berlebih-lebihan dalam
mempertahankan bahasa Cina sehingga mengenepikan kedudukan bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat untuk kita
semua.
Namun bagi saya yang paling
penting adalah kita perlu menekankan perpaduan di kalangan kaum ini kerana kita
dapati selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seolah-olah wujud semacam satu
perseteruan politik yang jelas melibatkan pakatan pembangkang dan Barisan
Nasional (BN). Dan perkara ini diburukkan lagi melalui tindakan pengundi Cina
yang menolak BN kerana terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan pembangkang yang
bersifat perkauman dan akhirnya menjadi satu perpecahan dan permusuhan politik
yang tidak berkesudahan. Saya sangat berharap supaya kita tidak lagi memudaratkan
keadaan. Saya lihat Dong Zong perlu lebih bekerjasama tentang peranan
menggalakkan lagi perpaduan antara kaum serta membentuk negara bangsa Malaysia
yang bersatu padu.
MINGGUAN : Apakah Datuk
melihat isu sekolah dan bahasa Cina ini sering digunakan sebagai senjata
politik terutama pada setiap kali pilihan raya?
TEO KOK SEONG : Kita boleh
anggap begitu kerana setiap kali pilihan raya timbul maka isu berkaitan ini
akan dimainkan dan nampak reaksi daripada kerajaan yang dilihat lebih berlembut
dalam pilihan raya baru ini. Agak malang apabila setelah kebanyakan kemahuan
ini dituruti kita lihat sokongan dari orang Cina tidak memberangsangkan. Saya
melihat permintaan Perdana Menteri yang menggesa supaya dilakukan penyatuan
nasional adalah satu permintaan beliau yang mahu rakyat di negara ini berdamai
demi untuk negara. Maksud perdamaian ini kita lihat melibatkan masyarakat Cina
dan kerajaan kerana rata-rata mereka tidak menyokong kerajaan selain kaum-kaum
lain yang menyokong pembangkang.
Saya juga melihat apa yang berlaku
selepas PRU-13 ini agak mencemaskan serta memperlihatkan permusuhan yang agak
ketara. Antara buktinya apa yang kita lihat di dalam media sosial yang
menggunakan bahasa kesat dan menghina. Ini cukup jelas menggambarkan perasaan
marah dan emosi yang wujud di kalangan rakyat yang cuba bermusuh dengan UMNO
dan BN. Oleh itu agenda penyatuan nasional ini lebih kepada menyelesaikan
perpecahan dan permusuhan politik dalam jangka waktu pendek. Ini kerana isu
melibatkan orang Cina tidak boleh ditolak ketepi kerana kita sedia maklum
bahawa mereka ini sudah melihat kemampuan kuasa yang ada pada mereka sama ada
menyokong atau tidak menyokong kerajaan.
MINGGUAN : Tidakkah Datuk
melihat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, sikap permusuhan dan
sangsi antara kaum ini akan berterusan dari generasi ke generasi dan akhirnya
agenda menyatupadukan antara kaum ini tidak akan tercapai sampai bila-bila?
TEO KOK SEONG : Perkara
ini sudah tentu bukan satu perkara yang sihat. Malah saya melihat sehingga
sekarang pelajar-pelajar di sekolah vernakular ini masih menebal dengan
perkauman dan jati diri etnik mereka. Mungkin ini dilihat bagus kepada
memelihara kebudayaan dan etnik Cina itu sendiri. Namun dalam keadaan negara
majmuk dan orang Melayu itu adalah majoriti dan dominan sudah tentu perkara ini
perlu diimbangi dengan jati diri kebangsaan. Dan apabila melibatkan jati diri
kebangsaan sudah tentu ia perlu melibatkan simbol dan proses sosio budaya
Melayu. Perkara ini yang kurang atau mungkin tidak ada sehingga mengakibatkan
mereka kurang semangat kebangsaan seperti tidak boleh berbahasa Melayu malah
ada yang tidak tahu apa pun tentang negara ini.
Bagi saya ini adalah sesuatu yang
cukup malang kerana dalam soal kerakyatan dan kebangsaan adalah perlu bagi
rakyatnya bersandar kepada bahasa dan budaya kebangsaan. Agak memalukan apabila
ada warganegara Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atau hanya sepatah
dua sahaja. Oleh itu masyarakat Cina perlu melihat perkara ini secara serius.
Sudah tentu Dong Zong tidak akan melakukan perkara ini kerana ia bukan
sebahagian dari skop perjuangan mereka. Namun parti politik perlu melakukan
sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini sementara nasi belum menjadi bubur.
Perkara ini adalah satu keperluan sekarang namun malangnya kita lihat sangat
jarang pemimpin politik bercakap mengenai perkara nasionalisme kebangsaan ini.
MINGGUAN : Mungkin ini
adalah satu pendekatan yang tidak popular?
TEO KOK SEONG : Memang
perkara ini tidak popular dan saya mengambil contoh diri saya yang banyak
menyentuh tentang perkara kepentingan bahasa Melayu di kalangan orang Cina,
maka saya sering sahaja dicerca dan dimaki hamun oleh mereka. Saya juga telah
membuat laporan polis tentang beberapa kecaman dan penghinaan yang dinyatakan
kepada saya yang diterima melalui e-mel dan laman sosial.
MINGGUAN : Ada pandangan
yang menyatakan jika anak-anak orang Cina masuk ke sekolah kebangsaan
berkemungkinan tinggi mereka akan masuk Islam dan berkelakuan dan berfikir
seperti orang Melayu. Apa pandangan Datuk?
TEO KOK SEONG : Saya
pernah dengar dari mulut orang-orang Cina sendiri tentang kebimbangan ini namun
ia bukanlah sesuatu yang logik untuk berlaku. Bagi saya hanya bersekolah di
sekolah kebangsaan atau pandai berbahasa Melayu tidak boleh menjadikan
anak-anak mereka ini masuk Islam atau menjadi seperti orang Melayu. Yang boleh
adalah orang perempuan dan lelaki Melayu yang menjadikan mereka masuk Islam.
Memang ada kebimbangan mereka takut anak-anak mereka ini di Melayu atau di
Islamkan. Namun bagi saya ini adalah satu kebimbangan yang langsung tidak
berasas dan ia lebih kepada andaian semata-mata. Yang menjadi masalah sikap
berlebihan mereka dalam menegakkan bahasa dan jati diri Cina kerana kita perlu
mengimbangi perkara ini dan bukan mengikut semata-mata hanya kerana mereka
orang Cina. Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat
resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan
jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina.
MINGGUAN : Tidakkah orang
Cina perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan begitu baik
membenarkan sekolah vernakular ditubuhkan di negara ini kerana hakikatnya ia
tidak wujud pun di negara lain?
TEO KOK SEONG : Bagi saya
mungkin kita boleh katakan penubuhan sekolah vernakular di negara ini adalah
sebahagian hak mereka di negara ini. Ia dijamin dalam keadaan tidak langsung di
dalam Perlembagaan di mana bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari
dan tidak boleh dihalang kecuali untuk penggunaan maksud rasmi. Jadi secara
tidak langsung orang Cina dan India ada hak dan saya kira hak sebegini tidak
diberikan kepada orang Cina di negara lain. Ini sepatutnya dihargai oleh mereka
dan perlu disyukuri. Tetapi malangnya seperti yang saya katakan tadi tidak ada
pemimpin Cina yang mahu memberitahu tentang perkara baik ini maka mungkin
sesetengah dari orang Cina ini mungkin tidak tahu betapa istimewanya mereka
diberi hak sebegini.
Kenapa saya katakan ia umpama hak
istimewa adalah kita boleh lihat sendiri di Indonesia bagaimana orang Cina di
sana terpaksa menukar nama mereka mengikut nama Indonesia. Malah di Thailand
bukan sahaja orang Cina tidak ada keistimewaan sebegini malah orang Melayu juga
tidak mendapat keistimewaan ini. Orang Melayu di Selatan Thailand tidak diberi
kebenaran untuk membuka sekolah Melayu dan hanya mempelajari bahasa Melayu
secara tidak formal di sekolah-sekolah pondok. Malah kita boleh lihat anak-anak
muda Melayu di Selatan Thailand tidak boleh berbahasa Melayu. Maka jati diri
etnik Melayu dan Cina di Thailand sudah tidak ada walaupun jati diri nasional
mereka begitu kuat. Maka di sini kita boleh melihat negara Thailand dan
Indonesia begitu berjaya dalam meningkatkan jati diri rakyat mereka terutama di
kalangan minoriti. Jadi saya lihat Malaysia adalah sebuah negara yang istimewa
kerana memberi kebebasan di kalangan rakyatnya terutama dalam soal mempertahan
budaya asal namun janganlah sehingga berlebihan atau over protective.
MINGGUAN : Satu isu yang
menimbulkan tandatanya adalah kenapa orang Cina di negara ini begitu takut anak
mereka masuk Islam dan jadi Melayu. Tetapi mereka tidak berpandangan sedemikian
jika menetap Barat dan tidak kisah anak mereka menjadi atau berkelakuan seperti
orang Barat ataupun menukar agama kepada Kristian?
TEO KOK SEONG : Memang
benar. Mereka bersedia untuk mengasimilasi dengan orang Barat tetapi di sini
mereka tidak bersedia malah akan menolak untuk mengasimilasi. Malah sebenarnya
kerajaan selama ini pun tidak pernah memaksa orang Cina mengasimilasi dengan
orang Melayu. Negara ini ditubuhkan pada peringkat awal kemerdekaan atas dasar
kemajmukan etnik dan keragaman budaya. Maksudnya kita mengakui kewujudan
pelbagai bangsa di negara ini dan membenarkan semua bangsa-bangsa ini wujud
secara terpisah dan cuba menyatukan mereka melalui sistem pendidikan.
Walaupun wujud sekolah vernakular
tetapi di peringkat sekolah menengah semua kaum ini akan bercantum kembali.
Tetapi nampaknya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang sudah berusia 13
tahun ini kerana usaha perpaduan itu tidak begitu dirasai. Walaupun Dong Zong
menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dengan sekolah kebangsaan tetapi
akibat penggunaan bahasa yang berbeza maka ia membentuk perwatakan dan jati diri
yang berbeza. Sudah tentu hasilnya lain macam kerana tidak ada persefahaman
sebenar kerana penggunaan bahasa yang berbeza. Seharusnya sekolah satu aliran
atau sekolah wawasan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini
tetapi melihat kepada keadaan sekarang terutama selepas PRU-13, usaha ini
kelihatannya sudah agak mustahil. Apatah lagi semua parti politik Cina tidak
ada semangat mahu memperkasakan perkara ini maka usaha membentuk satu jati diri
kebangsaan sudah semakin sukar apatah lagi dalam keadaan politik yang sudah
menjadi pelbagai acuan.
MINGGUAN : Mungkin Datuk
ada pandangan tentang bentuk penyelesaian kepada masalah ini?
TEO KOK SEONG : Kalau kita
benar-benar sayang kepada tanah air ini sudah sampai masanya kita duduk semeja
dan lihat kembali serta bertanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini untuk
keharmonian dan perpaduan semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan
kaum. Saya melihat kita perlu memanfaatkan sistem yang ada sekarang ini. Ini
kerana jika kita mencadangkan usul baharu kita boleh lihat bagaimana respons
dari Dong Zong dan lain-lain yang langsung tidak mahu menerima sehingga ia
mampu memudaratkan hubungan yang kini sudah tidak berapa harmoni lagi. Malah
Dong Zong ini sememangnya tidak pernah mahu bersetuju dan sering prejudis dan
selalu curiga tentang hasrat kerajaan yang mahu mengharmonikan semua kaum.
Mereka sering menganggap usaha kerajaan ini adalah agenda kerajaan untuk
menghakis sekolah dan bahasa Cina.
Ini menunjukkan seolah-olah wujud
satu perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Saya boleh
katakan keadaan sekarang ini terlalu runcing umpama kita duduk serumah tetapi
jika mahu ke bilik air walaupun bilik sudah berkunci tetapi masih membawa
komputer riba ke bilik air kerana tidak percaya kepada rakan serumah. Soalnya
bagaimana kita boleh bersatu padu dalam keadaan terlalu banyak sistem sekarang
ini. Kalau boleh kita duduk semeja dan cari jalan untuk mengguna pakai cara
yang diterima semua. Mungkin pihak Dong Zong sendiri boleh memberi cadangan
bagaimana mahu mengendurkan ketidakpercayaan sesama kaum ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/