Rabu, 2 April 2014

ISU EKONOMI : Tahun Melawat Malaysia dan cabarannya


Oleh :  M JASNI MAJED

MENURUT Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) terpaksa dihentikan buat seketika sebagai menghormati tumpuan negara dalam mencari kotak hitam pesawat MH370 yang dikatakan terhempas di Selatan Lautan Hindi.

Kita tidak pasti berapa lama promosi TMM 2014 akan ditangguhkan dan sudah tentu ia bergantung kepada keadaan.

Insiden yang menimpa MH370 mengalih perhatian masyarakat negara kita dan dunia kepada peristiwa tersebut sehingga menenggelamkan TMM.

TMM 2014 menyasarkan sejumlah 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM76 bilion. TMM dilancarkan buat kali pertama pada tahun 1990 dengan mencatat sejumlah 7.4 juta pelancong. Sementara itu, TMM 2007 mencatat sejumlah 20.97 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM46.1 bilion.

Pada tahun 2011, walaupun di luar kempen Tahun Melawat Malaysia, negara ini berjaya mengumpul sejumlah RM58.3 bilion daripada kedatangan 24.7 juta pelancong asing.

Pelancongan merupakan sumbangan pendapatan ketiga terbesar negara selepas pembuatan dan kelapa sawit. Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong asing.

Malah kita mendapat pelbagai pengiktirafan dunia menerusi bidang pelancongan termasuk destinasi membeli-belah ke-4 terbaik dunia. Ini bermakna di peringkat global, Malaysia sudah terkenal dalam bidang pelancongan dan pelbagai pihak berusaha untuk melonjakkan lagi industri pelancongan negara.

Pertambahan angka sama ada jumlah pelancong dan pendapatan negara memperlihatkan betapa bidang ini membantu meningkatkan ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan yang sangat banyak dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan kerana mempunyai pelbagai tarikan pelancong, selamat dikunjungi dan mesra pelancong.

Pada TMM 2007, sebanyak 1,000 acara dianjurkan dari awal tahun sehinggalah pada Disember termasuk Pameran Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia, Pameran Pertunjukan Bunga Api di Tasik Putrajaya, Pertunjukan Udara Antarabangsa di Kuala Lumpur dan pelbagai pertunjukan jalanan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, TMM 2007 dilanjutkan sehingga ke tahun 2008 kerana berlaku banjir besar di Johor dan beberapa negeri lain. Menurut menteri berkaitan pelancongan ketika itu iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, demonstrasi jalanan yang kerap berlaku pada ketika itu merencatkan perjalanan pelancong.

TMM 2014 menyaksikan pelbagai acara disediakan untuk pelancong dalam dan luar negara. Di samping itu, kerajaan berharap seluruh rakyat Malaysia mengambil bahagian dan bersedia menyambut pelancong asing dengan imej dan sikap positif. Rakyat keseluruhannya menjadi duta dalam usaha menjayakan TMM 2014.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa TMM 2014 merupakan misi nasional yang bukan sahaja didukung oleh Kementerian Pelancongan, sebaliknya setiap kementerian mesti memainkan peranan untuk memastikan TMM 2014 mencapai sasarannya.

Katanya, sikap mesra pelancong sangat penting untuk memberi gambaran positif masyarakat kita di mata pelancong asing. Sikap ingin membantu pelancong, keceriaan dan kemesraan akan meninggalkan kesan mendalam kepada pelawat dari luar negara.

Seperti biasa, sebenarnya bukan mudah untuk menjayakan sesuatu program dan tentunya pelbagai cabaran perlu ditempuhi.

Tahun ini sahaja sudah ada beberapa insiden yang berkaitan dengan pelancongan. Antaranya, kehilangan pesawat MH370 yang menjadi misteri beberapa lama turut menjejaskan industri pelancongan.

Apa yang berlaku ke atas pesawat MH370 meninggalkan kesan mendalam terhadap pergerakan orang ramai dari satu destinasi ke satu destinasi yang membabitkan jalan udara. Jika tidak ada keperluan mendesak sama ada urusan kerja atau saudara-mara, tentu ada yang fobia naik kapal terbang.

Dalam pada itu, kemarau dan masalah cuaca kering sedikit sebanyak tentu menjejaskan bidang pelancongan. Jerebu turut membimbangkan pelancong untuk datang ke negara kita kerana berkaitan dengan masalah kesihatan.

Di samping itu, insiden enam remaja maut di sebuah konsert di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil turut memberi imej negatif industri pelancongan tempatan kerana ia berkait rapat dengan masalah keselamatan.

Oleh hal demikian, kita sangat berharap agar segala macam musibah yang melanda negara pulih seperti sedia kala. Industri pelancongan bukan hanya mendatangkan faedah jangka panjang kepada kerajaan malah kepada individu yang menceburkan diri dalam industri ini secara tidak langsung.

Di kampung-kampung, ramai yang mengusahakan kraftangan yang cantik dan berjaya memikat pelancong asing. Malah, perusahaan makanan ringan secara kecil-kecilan seperti keropok, kerepek, kuih tradisional berjaya menjana pendapatan penduduk desa hasil daripada kedatangan pelancong dari luar.

Oleh itu, kita percaya industri ini akan berkembang semula selepas berakhirnya pelbagai peristiwa buruk yang berlaku ke atas negara kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan