MENURUT Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan, promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) terpaksa
dihentikan buat seketika sebagai menghormati tumpuan negara dalam mencari kotak
hitam pesawat MH370 yang dikatakan terhempas di Selatan Lautan Hindi.
Kita tidak pasti berapa lama
promosi TMM 2014 akan ditangguhkan dan sudah tentu ia bergantung kepada
keadaan.
Insiden yang menimpa MH370
mengalih perhatian masyarakat negara kita dan dunia kepada peristiwa tersebut
sehingga menenggelamkan TMM.
TMM 2014 menyasarkan sejumlah 28
juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM76 bilion. TMM dilancarkan
buat kali pertama pada tahun 1990 dengan mencatat sejumlah 7.4 juta pelancong.
Sementara itu, TMM 2007 mencatat sejumlah 20.97 juta pelancong dengan
pendapatan berjumlah RM46.1 bilion.
Pada tahun 2011, walaupun di luar
kempen Tahun Melawat Malaysia, negara ini berjaya mengumpul sejumlah RM58.3
bilion daripada kedatangan 24.7 juta pelancong asing.
Pelancongan merupakan sumbangan
pendapatan ketiga terbesar negara selepas pembuatan dan kelapa sawit. Malaysia
juga diiktiraf sebagai negara ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong asing.
Malah kita mendapat pelbagai
pengiktirafan dunia menerusi bidang pelancongan termasuk destinasi
membeli-belah ke-4 terbaik dunia. Ini bermakna di peringkat global, Malaysia
sudah terkenal dalam bidang pelancongan dan pelbagai pihak berusaha untuk
melonjakkan lagi industri pelancongan negara.
Pertambahan angka sama ada jumlah
pelancong dan pendapatan negara memperlihatkan betapa bidang ini membantu
meningkatkan ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan yang sangat banyak dan
menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan kerana mempunyai
pelbagai tarikan pelancong, selamat dikunjungi dan mesra pelancong.
Pada TMM 2007, sebanyak 1,000
acara dianjurkan dari awal tahun sehinggalah pada Disember termasuk Pameran
Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia, Pameran Pertunjukan Bunga Api di Tasik Putrajaya,
Pertunjukan Udara Antarabangsa di Kuala Lumpur dan pelbagai pertunjukan jalanan
di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.
Bagaimanapun, TMM 2007
dilanjutkan sehingga ke tahun 2008 kerana berlaku banjir besar di Johor dan
beberapa negeri lain. Menurut menteri berkaitan pelancongan ketika itu iaitu
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, demonstrasi jalanan yang kerap berlaku
pada ketika itu merencatkan perjalanan pelancong.
TMM 2014 menyaksikan pelbagai
acara disediakan untuk pelancong dalam dan luar negara. Di samping itu,
kerajaan berharap seluruh rakyat Malaysia mengambil bahagian dan bersedia
menyambut pelancong asing dengan imej dan sikap positif. Rakyat keseluruhannya
menjadi duta dalam usaha menjayakan TMM 2014.
Sementara itu, Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa TMM 2014 merupakan misi nasional yang
bukan sahaja didukung oleh Kementerian Pelancongan, sebaliknya setiap
kementerian mesti memainkan peranan untuk memastikan TMM 2014 mencapai
sasarannya.
Katanya, sikap mesra pelancong
sangat penting untuk memberi gambaran positif masyarakat kita di mata pelancong
asing. Sikap ingin membantu pelancong, keceriaan dan kemesraan akan
meninggalkan kesan mendalam kepada pelawat dari luar negara.
Seperti biasa, sebenarnya bukan
mudah untuk menjayakan sesuatu program dan tentunya pelbagai cabaran perlu
ditempuhi.
Tahun ini sahaja sudah ada
beberapa insiden yang berkaitan dengan pelancongan. Antaranya, kehilangan
pesawat MH370 yang menjadi misteri beberapa lama turut menjejaskan industri
pelancongan.
Apa yang berlaku ke atas pesawat
MH370 meninggalkan kesan mendalam terhadap pergerakan orang ramai dari satu
destinasi ke satu destinasi yang membabitkan jalan udara. Jika tidak ada
keperluan mendesak sama ada urusan kerja atau saudara-mara, tentu ada yang
fobia naik kapal terbang.
Dalam pada itu, kemarau dan
masalah cuaca kering sedikit sebanyak tentu menjejaskan bidang pelancongan.
Jerebu turut membimbangkan pelancong untuk datang ke negara kita kerana
berkaitan dengan masalah kesihatan.
Di samping itu, insiden enam
remaja maut di sebuah konsert di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil turut
memberi imej negatif industri pelancongan tempatan kerana ia berkait rapat
dengan masalah keselamatan.
Oleh hal demikian, kita sangat berharap
agar segala macam musibah yang melanda negara pulih seperti sedia kala.
Industri pelancongan bukan hanya mendatangkan faedah jangka panjang kepada
kerajaan malah kepada individu yang menceburkan diri dalam industri ini secara
tidak langsung.
Di kampung-kampung, ramai yang
mengusahakan kraftangan yang cantik dan berjaya memikat pelancong asing. Malah,
perusahaan makanan ringan secara kecil-kecilan seperti keropok, kerepek, kuih
tradisional berjaya menjana pendapatan penduduk desa hasil daripada kedatangan
pelancong dari luar.
Oleh itu, kita percaya industri
ini akan berkembang semula selepas berakhirnya pelbagai peristiwa buruk yang
berlaku ke atas negara kita.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan