Rabu, 5 Disember 2012

ISU SOSIAL : Banyak hutang antara punca gejala rasuah


Oleh : Akhbar Satar
 
Bijak menguruskan aspek kewangan merupakan elemen penting yang harus dipupuk sejak zaman kanak-kanak lagi. Secara idealnya, anak-anak patut didedahkan dengan amalan berjimat cermat, menabung dan berbelanja mengikut keperluan. Ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik bagi menyemai nilai murni ini.

Realitinya, hidup pada zaman yang serba maju, canggih dan moden, manusia dinilai bukan berasaskan kepada kesederhanaan dalam hidup, tetapi diukur dan dinilai berasaskan kepada nilai kemewahan yang ditonjolkan menerusi jenama pakaian yang dipakai, kenderaan yang dipandu, rumah besar yang didiami dan sebagainya.

Budaya kemewahan

Budaya kemewahan ini diburukkan lagi dengan strategi pemasaran yang diperkenalkan oleh dunia perniagaan yang saling bersaing untuk mengaut keuntungan hasil daripada kelemahan masyarakat yang tidak dapat mengawal diri dan nafsu terhadap kemewahan. Kad kredit ditawarkan dengan syarat yang longgar, kenderaan baru boleh dimiliki tanpa sebarang deposit, malah boleh dibayar sehingga melebihi tempoh 10 tahun, pinjaman daripada syarikat kewangan yang sah dan tidak sah (along) begitu berleluasa, sehinggakan mereka yang telah disenaraihitamkan masih boleh meminjam.

Apa yang mengejutkan, sudah ada trend baru dalam kalangan industri perbankan dan kewangan yang menawarkan pinjaman peribadi sehingga RM200,000 dan boleh dibayar sehingga tempoh 20 tahun. Ini sesuatu perkara yang amat membimbangkan sekiranya golongan remaja tidak dididik dan ditanamkan dengan ilmu pengurusan kewangan yang berkesan.

Senarai perbelanjaan

Bagi golongan pekerja yang baru melangkah ke alam pekerjaan, terlalu banyak yang harus difikirkan dalam soal mengharungi kehidupan seharian. Setiap bulan, apabila menerima gaji, perkara yang membelenggu fikiran ialah peruntukan untuk ibu bapa, bayar sewa rumah, bil elektrik, air, telefon bimbit, ansuran kereta atau motosikal, hutang kad kredit dan baki untuk meneruskan hidup sehingga menerima gaji bagi bulan berikutnya.

Berikut adalah antara contoh perkiraan jenis-jenis perbelanjaan umum yang terpaksa diuruskan oleh seorang pekerja yang memiliki diploma dan bekerja di bandar besar:

Pendapatan Bersih setelah di tolak KWSP: RM2,000
Tanggungan:RM1,550
Sewa rumah (jika berkongsi):RM300
Ansuran Kereta (Perodua) :RM600
Ibu Bapa:RM200
Bil Elektrik/Air:RM100
Telefon Bimbit :RM100
Petrol (berulang alik ke pejabat) : RM250
Baki Gaji Bersih: RM450

Segala bentuk perbelanjaan di bawah tanggungan merupakan perkara asas dalam kehidupan. Ini tidak termasuk perbelanjaan lain seperti bayaran ansuran pinjaman peribadi, kad kredit dan sebagainya. Kita dapat membayangkan jika tambahan bayaran ini dibuat, ini bermakna gaji bersih yang dibawa pulang ada kalanya kosong atau negatif.

Justeru, pengurusan kewangan peribadi ini suatu aspek yang amat penting dalam hidup seseorang individu. Jika kita gagal mengawal nafsu dan mengikut rentak arus kemodenan dan budaya kebendaan, maka ruang dan peluang rasuah akan mula terbuka luas. Mengikut Association of Certified Fraud Examiner salah satu daripada ciri seseorang yang terbabit dalam rasuah ialah kerana banyak berhutang.

Tuntutan palsu

Perlu diingat bahawa kesalahan rasuah bukan kerana meminta atau menerima suapan semata-mata. Malah mengemukakan tuntutan palsu juga suatu kesalahan yang amat serius mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Banyak pihak tidak sedar bahawa membuat tuntutan lebih masa atau perbatuan atau pembelian yang berlebihan atau yang sebenarnya tidak wujud juga kesalahan rasuah.

Bagi pekerja yang gaji berbaki kosong atau negatif, mereka bergantung hidup sepenuhnya kepada tuntutan lebih masa atau tuntutan perbatuan. Hasil kebergantungan ini membuatkan sesetengahnya secara sengaja atau tidak sengaja membuat tuntutan elaun lebih masa palsu iaitu mereka-reka atau menambah jumlah jam kerja lebih masa sedangkan mereka tidak melaksanakannya. Ada pula yang sengaja melengah-lengahkan kerja bertujuan agar ia boleh dibuat selepas waktu pejabat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan