Oleh : Akhbar Satar
Bijak menguruskan aspek kewangan
merupakan elemen penting yang harus dipupuk sejak zaman kanak-kanak lagi.
Secara idealnya, anak-anak patut didedahkan dengan amalan berjimat cermat,
menabung dan berbelanja mengikut keperluan. Ibu bapa harus menjadi contoh
teladan yang baik bagi menyemai nilai murni ini.
Realitinya, hidup pada zaman yang
serba maju, canggih dan moden, manusia dinilai bukan berasaskan kepada
kesederhanaan dalam hidup, tetapi diukur dan dinilai berasaskan kepada nilai
kemewahan yang ditonjolkan menerusi jenama pakaian yang dipakai, kenderaan yang
dipandu, rumah besar yang didiami dan sebagainya.
Budaya kemewahan
Budaya kemewahan ini diburukkan
lagi dengan strategi pemasaran yang diperkenalkan oleh dunia perniagaan yang
saling bersaing untuk mengaut keuntungan hasil daripada kelemahan masyarakat
yang tidak dapat mengawal diri dan nafsu terhadap kemewahan. Kad kredit
ditawarkan dengan syarat yang longgar, kenderaan baru boleh dimiliki tanpa
sebarang deposit, malah boleh dibayar sehingga melebihi tempoh 10 tahun,
pinjaman daripada syarikat kewangan yang sah dan tidak sah (along) begitu
berleluasa, sehinggakan mereka yang telah disenaraihitamkan masih boleh
meminjam.
Apa yang mengejutkan, sudah ada
trend baru dalam kalangan industri perbankan dan kewangan yang menawarkan
pinjaman peribadi sehingga RM200,000 dan boleh dibayar sehingga tempoh 20
tahun. Ini sesuatu perkara yang amat membimbangkan sekiranya golongan remaja
tidak dididik dan ditanamkan dengan ilmu pengurusan kewangan yang berkesan.
Senarai perbelanjaan
Bagi golongan pekerja yang baru
melangkah ke alam pekerjaan, terlalu banyak yang harus difikirkan dalam soal
mengharungi kehidupan seharian. Setiap bulan, apabila menerima gaji, perkara
yang membelenggu fikiran ialah peruntukan untuk ibu bapa, bayar sewa rumah, bil
elektrik, air, telefon bimbit, ansuran kereta atau motosikal, hutang kad kredit
dan baki untuk meneruskan hidup sehingga menerima gaji bagi bulan berikutnya.
Berikut adalah antara contoh
perkiraan jenis-jenis perbelanjaan umum yang terpaksa diuruskan oleh seorang
pekerja yang memiliki diploma dan bekerja di bandar besar:
Pendapatan Bersih
setelah di tolak KWSP: RM2,000
Tanggungan:RM1,550
Sewa rumah (jika
berkongsi):RM300
Ansuran Kereta
(Perodua) :RM600
Ibu Bapa:RM200
Bil Elektrik/Air:RM100
Telefon Bimbit :RM100
Petrol (berulang alik
ke pejabat) : RM250
Baki Gaji Bersih: RM450
Segala bentuk perbelanjaan di
bawah tanggungan merupakan perkara asas dalam kehidupan. Ini tidak termasuk
perbelanjaan lain seperti bayaran ansuran pinjaman peribadi, kad kredit dan
sebagainya. Kita dapat membayangkan jika tambahan bayaran ini dibuat, ini
bermakna gaji bersih yang dibawa pulang ada kalanya kosong atau negatif.
Justeru, pengurusan kewangan
peribadi ini suatu aspek yang amat penting dalam hidup seseorang individu. Jika
kita gagal mengawal nafsu dan mengikut rentak arus kemodenan dan budaya
kebendaan, maka ruang dan peluang rasuah akan mula terbuka luas. Mengikut Association
of Certified Fraud Examiner salah satu daripada ciri seseorang yang
terbabit dalam rasuah ialah kerana banyak berhutang.
Tuntutan palsu
Perlu diingat bahawa kesalahan
rasuah bukan kerana meminta atau menerima suapan semata-mata. Malah
mengemukakan tuntutan palsu juga suatu kesalahan yang amat serius mengikut
Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Banyak pihak tidak
sedar bahawa membuat tuntutan lebih masa atau perbatuan atau pembelian yang
berlebihan atau yang sebenarnya tidak wujud juga kesalahan rasuah.
Bagi pekerja yang gaji berbaki
kosong atau negatif, mereka bergantung hidup sepenuhnya kepada tuntutan lebih
masa atau tuntutan perbatuan. Hasil kebergantungan ini membuatkan sesetengahnya
secara sengaja atau tidak sengaja membuat tuntutan elaun lebih masa palsu iaitu
mereka-reka atau menambah jumlah jam kerja lebih masa sedangkan mereka tidak
melaksanakannya. Ada pula yang sengaja melengah-lengahkan kerja bertujuan agar
ia boleh dibuat selepas waktu pejabat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan