Rabu, 5 Disember 2012

ISU AGAMA : Lima Profil Manusia Beruntung


Oleh: Ustazah Majidah binti Mat Jusoh

Aku Mahu... Mahu apa?

Mahu dikasihi Allah.

Kasihilah dirimu dan kasihilah orang lain.

Aku mahu jadi segagah-gagah manusia.

Sentiasalah menyerah diri kepada Allah. Aku Mahu...

Mahu apa lagi?

Aku mahu jadi manusia paling baik.

Jadilah manusia yang baik dan berguna kepada masyarakat.

Tapi apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?

Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian-Nya.

Apakah pula sebesar-besar kejahatan?

Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.


Itulah pelbagai runtunan hati kita yang meronta-ronta mencari kepuasan. Sebagai makhluk yang dibekalkan nafsu, hati dan akal, manusia akan sentiasa berkeinginan. Sama ada ingin jadi baik atau sebaliknya. Mahu kumpul pahala atau dapat seksa. Namun, Allah yang bersifat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Raheem, sentiasa membuka peluang kepada manusia untuk membuat pilihan. Segala-galanya terpulang pada kita untuk memilih berlandaskan syariat yang ditetapkan.

Manusia yang dibekalkan dengan agama sebagai pegangan dan panduan hidup, semestinya akan lebih mampu mempertahankan apa yang berharga dalam hidupnya. Keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam sebagai cara hidup adalah suatu yang mutlak. Tetapi tingkah laku dan tindakan Muslim itu sendiri sering kali mencemari keindahan Islam dan mencacatkan kesempurnaannya.

Memiliki gelaran sebagai seorang Muslim bukan sekadar catatan pengenalan semata-mata. Tetapi kesempurnaan beragama akan tergambar dengan peribadi Muslim yang benar-benar mengikut apa yang diajarkan. Sebagai umat yang terbaik, seorang Muslim semestinya memiliki peribadi yang berteraskan garis panduan al-Quran dan sunnah. Namun, ia bukanlah hanya bergantung pada ibadah khusus semata-mata, kerana sebagai makhluk bernyawa yang pasti akan menemui mati, sudah tentu akan ditanya ke mana dihabiskan usia kita selama hidup di dunia ini?

Setiap manusia sudah pasti akan menelusuri perjalanan hidup yang ditetapkan untuknya. Namun, sepanjang tempoh itu apakah dia benar-benar menjadi seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar dan memperoleh keberuntungan.

Lima Profil Manusia Beruntung

1.Akidah yang sejahtera

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.

Berpaksikan fakta ini, tentunya akidah Islamiyah sahaja yang memiliki kemampuan demikian dan membuatkan manusia mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki peraturan dan pegangan yang mampu membangunkan sistem kehidupan manusia kepada suatu ketamadunan yang tinggi.

Sejarah membuktikan keunggulan ajaran dan aqidah Islam telah membentuk tamadun yang hebat suatu ketika dahulu. Hal ini kerana, potensi semula jadi manusia jika dimantapkan dengan bekalan ilmu yang dimiliki, mampu dikembangkan dengan baik sekiranya berteraskan akidah kepada Allah SWT. Sebaliknya, krisis nilai akan berlaku apabila pemikiran dan pegangan manusia dibangunkan dengan keruntuhan akhlak dan tidak berpaksikan kepada peraturan serta disiplin berteraskan akidah Islam.

Keruntuhan tamadun akan berlaku apabila manusia tidak berpegang sepenuhnya kepada Islam sebagai ad-Din. Akidah, syariat dan akhlak adalah saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Jika diumpamakan seperti sebatang pokok, akidah sebagai akar umbi, syariat merupakan dahannya dan akhlak adalah sebagai buahnya.

Natijah daripada memiliki akidah yang sejahtera akhirnya akan berjaya membentuk manusia yang benar-benar hidup sebagai seorang Muslim sejati.

2.Bermanfaat untuk orang lain

“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nur:22)

Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan fenomena sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk berfikir lebih jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap Muslim perlu sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini amat penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang bahagia seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam segenap aspek kehidupan.

Memberi manfaat bererti kebaikan menjalar kepada orang lain melalui pelbagai cara yang berlandaskan syariat. Sekiranya setiap Muslim menggunakan segala kemampuan yang dipinjamkan oleh Allah untuknya, sudah pasti mereka akan menjadi umpama pokok yang rimbun dan berbuah lebat.

Tidak dinafikan, pengislahan itu bukan senang dan nilainya bukan calang-calang. Dengan hambatan-hambatan yang ada dalam proses pembinaan insan, ia mampu melemahkan kekuatan diri untuk terus memanfaatkan diri sendiri kepada ummah. Namun, jika semua Muslim berpegang dan berperanan dalam segenap ruang lingkup kehidupan, nescaya negara yang disebut sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT), tidak mustahil dapat dikecapi. Hakikatnya, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.

Maka, beruntunglah diri mereka yang sentiasa bermanfaat.

3.Ibadah yang benar

Tuntaskan ibadah yang merupakan kewajipan kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini kerana ia adalah ‘tiket’ untuk kita ke syurga. Ibadah yang benar-benar terbaik adalah ibadah yang dilakukan semata-mata bagi mendapat keredhaan Allah SWT dengan berbekalkan pemahaman serta penghayatan yang tinggi.

Allah telah menukilkan dalam surah al-Dzariyat ayat 56 melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”Ayat ini jelas mengingatkan kita, ibadah itu merupakan tanggungjawab manusia kepada Allah SWT sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam. Ia perlu dihayati dan difahami secara benar dan tidak menyimpang kepada unsur-unsur yang menyesatkan.

Melalui ibadah, akan melahirkan hati-hati yang patuh dan tunduk serta kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT. Ini kerana skop ibadah amat luas. Semua perkara yang diizinkan oleh Allah itu adalah ibadah. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan yang mana akhirnya akan mewujudkan insan yang menjalani kehidupan untuk memperoleh keredhaan Allah SWT semata-mata.

4.Bijak menjaga masa

Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya, tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan. Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud, “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)

Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu dibahagikan?

· Bilakah masa beribadah kepada Allah?
· Bilakah masa bersama keluarga?
· Bilakah masa bekerja?
· Bilakah masa bersama masyarakat?
· Bilakah masa belajar?
· Bilakah masa makan?
· Bilakah masa berehat?

Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan sebarang kemanfaatan? Oksigen yang Allah berikan secara percuma tanpa perlu bayar walau satu sen pun ini, bukanlah untuk disedut begitu sahaja. Allah pinjamkan bekalan oksigen supaya kita dapat hidup dengan sejahtera dan melangsaikan segala amanah yang telah kita janjikan dengan sebaiknya.

Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah tabiat suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”

5.Akhlak yang mantap

Akhlak atau tingkah laku, perangai, tabiat, dan adat kebiasaan merupakan sifat, perbuatan atau tindakan yang dizahirkan dengan mudah tanpa perlu dipaksa. Ia bertapak utuh di dalam diri dan menjadi cerminan manusia dalam menilai baik buruk suatu perbuatan atau amalan.

Sedarkah kita, akhlak akan mempengaruhi penentuan kedudukan timbangan amalan seseorang di akhirat kelak? Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Akhlak melambangkan imej seorang Muslim yang sebenar dan seterusnya dapat memperkasakan keindahan Islam. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak yang mulia itu merangkumi empat perkara iaitu, bijaksana, memelihara diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian(menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Ia jelas merangkumi segala sifat baik dalam kehidupan kita umpamanya hidup bersilaturrahim, mempertahankan agama dengan berani, berbakti kepada keluarga dan negara, senantiasa bersyukur, sabar, redha dengan ujian, jujur, bercakap benar, dan sebagainya.

Secara tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah, harta yang paling menguntungkan adalah SABAR. Maka, berapa banyakkah sabar yang kita miliki? Teman yang paling akrab adalah AMAL. Maka, akrabkah kita dengan amal? Pengawal peribadi yang paling waspada adalah DIAM. Maka, sejauh manakah peribadi kita dikawal? Bahasa yang paling manis adalah SENYUM. Maka, maniskah bahasa kita? Ibadah yang paling indah tentunya KHUSYUK. Maka, setinggi mana keindahan ibadah kita? Adakah kita selama ini menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang benar-benar beruntung? 

Sumber : Majalah Dian, Isu 1, MAC 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan