Oleh : Farah Ashikin Mohamed
Ridzwan
KADANGKALA berlaku pertelingkahan
antara ibu bapa dengan anak remaja mereka.
Daripada pandangan ibu bapa, mereka melihat adanya
perubahan remaja daripada seorang anak yang mendengar kata kepada seorang yang
memberontak.
Sering kali juga, perubahan sikap
anak remaja itu berpunca daripada ibu bapa yang meletakkan peraturan lebih ketat dengan tujuan
'mengawal' remaja tersebut sehingga ada peraturan itu menyebabkan remaja berasa
tertekan dan terkongkong, lantas tercetuslah konflik.
Sementara itu, menurut Elizabeth
Bergner Hurlock dalam bukunya Adolescent Development, keinginan remaja
menjadi individu yang berdikari dan bebas merupakan aspek semula jadi dalam
fasa kehidupan remaja.
Mereka juga inginkan 'kuasa'
untuk menjalani kehidupan ikut cara mereka sendiri.
Namun, remaja tidak sedar bahawa
mereka masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa.
Remaja juga sering memihak kepada
rakan mereka berbanding ibu bapa kerana berasakan bahawa rakan mereka memahami
perasaan dan keinginan mereka.
Pada peringkat ini, sikap,
penampilan dan pertuturan mereka banyak dipengaruhi rakan.
Ada beberapa saranan untuk menangani konflik dua pihak ini.
Memandangkan perubahan sikap
remaja banyak dipengaruhi persekitaran dan aspek semula jadi dalam fasa
kehidupan mereka, ibu bapa bukan sekadar harus memahami apa yang mereka lalui
malah harus menjadi contoh baik kepada mereka.
Pertama, ibu bapa boleh menunjukkan
sifat penyayang dengan memberikan kasih sayang.
Kasih sayang yang ikhlas akan
membuatkan mereka rasa terpelihara dan disayangi lantas lebih mudah mengongsi
masalah dan perasaan mereka.
Kedua, ibu bapa perlu meluangkan
masa bersama anak remaja agar dapat mengenali punca perubahan diri mereka.
Pengetahuan ini akan memudahkan
ibu bapa mencari jalan terbaik untuk mendekati anak mereka sekali gus membentuk
perhubungan yang harmoni.
Ketiga, sifat hormat-menghormati
perlu disemai dalam diri remaja. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh dengan
bersifat lemah lembut ketika berbual bersama mereka.
Ucapan seperti 'syukur
alhamdulillah' dan 'terima kasih' serta puji-pujian boleh menimbulkan perasaan
hormat antara ahli keluarga.
Keempat, ibu bapa harus bersifat realistik.
Harapan ibu bapa haruslah selaras dengan kemampuan remaja. Oleh kerana remaja
secara semula jadi ingin bebas dan berdikari, ibu bapa perlu menyemai sifat
daya tahan agar mereka lebih teguh menghadapi permasalahan di sekolah.
Kelima, ibu bapa harus bersikap
jujur kepada anak remaja dan harus bersedia meminta maaf jika telah melakukan
kesalahan.
Tanpa sifat integriti, akan
hilang rasa hormat remaja terhadap ibu bapa.
Keenam, secara semula jadi,
remaja bersifat sensitif dan ingin dihargai. Oleh itu, ibu bapa harus
memaparkan sifat tanggungjawab dalam menunjukkan kepedulian terhadap anak-anak
meskipun sibuk bekerja.
Oleh itu, ibu bapa perlu terus
berusaha menjadi contoh terbaik untuk anak remaja kerana pengajaran yang
terbaik adalah dengan menjadi contoh.
Di samping itu, ibu bapa perlu
terus memikirkan jalan yang terbaik untuk mengeratkan perhubungan bersama
remaja.