JIKA TIDAK DIPECAH RUYUNG, DI MANA BOLEH MENDAPAT SAGU
Peribahasa ini bermaksud  tidak  akan tercapai sesuatu hasrat  atau cita-cita kalau tidak  berusaha dan bersusah payah. Ada beberapa peribahasa lain yang membawa maksud yang sama iaitu “asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan”, “ kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru”, dan “ pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang”.
Pokok sagu tergolong dalam tanaman dari keluarga Palmae yang mengeluarkan sulur. Pokok sagu banyak terdapat di Malaysia dan kawasan hutan hujan ASEAN. Pokok sagu dikenali juga sebagai pokok rumbia. Pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10–12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok sagu juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, antaranya suku kaum Bisaya, dan Melanau.
Pokok sagu mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok sagu mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunga sagu  adalah jenis ‘protandrous’. Bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Hal ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun dan selepas ini pokok rumbia akan mati.
Ruyung ialah kulit atau lapisan  kayu yang keras  pada batang sagu atau rumbia. Jika seseorang itu mahukan sagu, iaitu pati yang boleh dijadikan makanan di dalam batang rumbia, ruyung yang keras itu perlu dipecahkan. Hal ini demikian kerana, tanpa memecahkan ruyung, sagu tidak mungkin akan diperoleh. Untuk mendapatkan sagu itu  bukan  mudah kerana pengusaha  perlu  berusaha dengan segala kudrat untuk  mengeluarkan isinya. 
Peribahasa ini menggambarkan  bahawa  hasrat  atau cita-cita yang   ingin dicapai oleh seseorang  tidak akan kesampaian  tanpa sebarang usaha atau ikhtiar ke arah itu. Hanya dengan  perancangan yang rapi, strategi  yang  berkesan  serta  kesungguhan yang  tinggi  yang dimiliki oleh seseorang,  barulah  cita-cita yang  hendak dicapai tidak  akan musnah  di tengah jalan. Kesungguhan dalam  sebarang pekerjaan yang dilakukan sememangnya dituntut oleh agama, sebagaimana hadis nabi yang bermaksud, “sesungguhnya Allah suka apabila seseorang membuat sesuatu perkara itu, mereka  melakukannya dengan tekun  yakni  memperbaiki dan mempertingkatkannya“            ( Hadis Riwayat Bihaqi).