Oleh ROHANI IBRAHIM rencana@utusan.com.my
 KEMPEN Kami Prihatin yang dilancarkan semalam merupakan satu usaha  untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya lebih  menghargai dan menyayangi bayi dan kanak-kanak. 
 Dalam membendung gejala buang bayi, masyarakat tidak harus  menyisihkan mana-mana gadis yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan. 
 Ini adalah penting supaya gadis itu tidak mengambil jalan singkat  dengan membuang apatah lagi membunuh bayi sendiri. 
 Sementara bagi melindungi golongan kanak-kanak pula, masyarakat perlu  lebih peka dengan keadaan kanak-kanak yang ada di persekitaran mereka  dan tidak berdiam diri jika terhidu sebarang jenayah penderaan yang  berlaku ke atas kanak-kanak tersebut.
 Dengan cara ini, masalah buang bayi dan penderaan kanak-kanak  sehingga mati yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini dapat  dibendung bagi memastikan nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat tidak  luntur dalam tempoh jangka panjang. 
 Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan  Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid berkata, sebahagian besar  daripada gadis yang membuang bayi mereka adalah kerana ingin menutup  malu. 
 ''Mereka malu setelah mendapati diri mereka hamil dan mereka juga  malu untuk meminta pertolongan dari mana-mana pihak kerana masyarakat  kita terutamanya ibu bapa tidak boleh menerima gadis yang mengandung  tanpa suami. Saya percaya sebahagian daripada wanita yang terlibat  seboleh-bolehnya tidak mahu membunuh bayi yang sudah mereka kandungkan. 
 ''Namun dalam keadaan terdesak jalan paling mudah yang boleh mereka  ambil ialah melahirkan bayi mereka secara bersendirian seperti di dalam  tandas umpamanya dan selepas itu mengepam bayi berkenaan dalam lubang  tandas," katanya. 
 Faridah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen  Kami Prihatin oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di KL Sentral,  Kuala Lumpur semalam. 
 Kempen yang dilancarkan akhbar Utusan Malaysia itu mendapat  kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  stesen penyiaran Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). 
 Tambah Faridah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan  peranan dalam menyebarkan mesej kepada masyarakat bahawa gadis-gadis  yang bermasalah boleh meminta nasihat dan bantuan daripada NGO  seandainya mereka tidak ada tempat lagi untuk mengadu. 
 ''Sekurang-kurangnya NGO boleh memberikan nasihat dan bimbingan  supaya gadis berkenaan boleh melahirkan bayi dalam keadaan selamat dan  sempurna sebelum membuat keputusan untuk menjaga bayi tersebut atau  mencari keluarga angkat.
 ''NCWO yang mempunyai lebih 120 NGO wanita di bawahnya akan meminta  kesemua NGO berkenaan supaya mengedarkan nombor telefon yang boleh  dihubungi seandainya seseorang wanita itu menghadapi masalah terutamanya  hamil tanpa suami," jelasnya. 
 Sementara itu, Pengarah Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota  Pergerakan Negara-negaraBerkecuali (NIEW), Datuk Rafiah Salim yang turut  ditemui pada majlis yang sama berkata, pelancaran kempen Kami Prihatin  ini memang tepat pada masanya kerana inisiatif seumpama ini amat  diperlukan dalam masyarakat. 
 ''Pada pandangan saya, masalah buang bayi menjadi semakin serius  kerana ia berhubung kait dengan fenomena penghijrahan dari luar bandar  ke bandar yang begitu banyak pada masa ini. 
 ''Apabila seseorang gadis itu tinggal berjauhan daripada keluarga  mereka tidak mempunyai sistem sokongan mahupun pihak yang memantau  perbuatan dan tindakan mereka. Jadi apabila timbul sesuatu masalah  seperti hamil luar nikah dan sebagainya, gadis tersebut mengambil  tindakan tanpa berfikir panjang," katanya. 
 Oleh itu, tambah Rafiah, masyarakat pada hari ini perlu peka dengan  keadaan sekeliling dan mengambil tahu keadaan muda-mudi yang tinggal di  persekitaran mereka. Sementara ibu bapa perlu mengambil tahu  perkembangan anak-anak muda yang tinggal berjauhan dan bersendirian. 
 ''Dalam menangani masalah buang bayi ini sistem sokongan amatlah  penting supaya mereka yang terlibat mampu berfikir secara rasional. Jika  tidak mahukan bayi berkenaan pun letakkanlah bayi itu di rumah  kebajikan atau di tempat yang selamat. Janganlah membiarkan bayi itu di  tempat yang merbahaya sehingga mati," katanya.
 Jelas beliau, mereka yang mendera kanak-kanak sehingga mati pula  disifatkan sebagai sakit mental dan gagal menguruskan stres sehingga  menganggap seseorang kanak-kanak sebagai objek untuk melepaskan geram. 
 Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Ivy Josiah ketika  dihubungi berkata, kempen Kami Prihatin perlu meningkatkan kesedaran di  kalangan golongan lelaki supaya bertanggungjawab dan tidak mengambil  sikap lepas tangan dalam hubungan dengan teman wanita. 
 ''Ada wanita yang membuang bayi kerana tidak tahu berbuat apa-apa  setelah teman lelaki mereka menghilangkan diri apabila mengetahui wanita  itu mengandung. 
 ''Sementara golongan gadis juga perlu dididik bahawa hubungan seks  luar nikah bukanlah cara untuk membuktikan cinta mereka kepada teman  lelaki," katanya sambil menambah ada juga wanita yang hamil kerana  dirogol dan kemudiannya membuang bayi yang dilahirkan. 
 Jelas Ivy, masalah buang bayi yang semakin meningkat di kalangan  masyarakat juga memberikan mesej bahawa kesedaran mengenai  langkah-langkah pencegahan kehamilan sangat rendah di kalangan mereka  yang terlibat dalam gejala ini. 
 Justeru, jelasnya, usaha yang menyeluruh diperlukan untuk membendung  gejala ini seperti penganjuran kempen kesedaran Kami Prihatin,  pendidikan kepada golongan lelaki supaya tidak memperlakukan golongan  wanita sewenang-wenangnya dan kemudian lepas tangan serta pendidikan  seks terutamanya pengetahuan mengenai pencegahan kehamilan.
 Kempen Kami Prihatin yang dilancarkan ini diharapkan dapat  membela nasib bayi-bayi yang tidak berdosa daripada dibuang dan dibunuh  ekoran masyarakat kita yang terlalu gemar menghukum. 
 Sementara kanak-kanak pula perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa  dera golongan dewasa yang sakit mental atau gagal menguruskan tekanan  hidup.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/