Oleh HAFIZAHRIL HAMID RAMAI yang beranggapan ilmu adalah kunci kejayaan dalam hidup. Telah  terbentuk dalam pemikiran hampir semua kita untuk berjaya mesti belajar  sampai ke universiti. Setelah menamatkan pengajian maka hidup mereka  akan lebih terjamin dan masa depan yang lebih gemilang menanti untuk  diterokai.
 Oleh sebab itu kita tidak boleh salahkan sesiapa waima ibu bapa jika  mereka menuntut anak-anak mereka supaya menamatkan pengajian.
 Namun sehingga sekarang ramai yang masih keliru dengan apa yang  dimaksudkan dengan ilmu. Apakah sekadar menamatkan pengajian sudah cukup  untuk mendabik dada bahawa diri mereka sudah terlalu bijak dan berjaya.
 Ramai juga yang masih terumbang ambing setelah menamatkan pengajian  sama ada dalam mencari pekerjaan, membina kerjaya mahupun mencari  matlamat hidup.
 Sesungguhnya ilmu yang diperoleh ketika di universiti adalah sekadar  landasan kukuh untuk menempa hidup yang lebih baik namun tidak  semestinya ia mampu melakar yang terbaik.
 Sementelah pengalaman hidup yang diperoleh sama ada melalui kejayaan  mahupun kegagalan adalah ilmu paling baik pernah diterima manusia dalam  membentuk diri menjadi lebih sempurna.
 Jika tidak kenapa begitu ramai manusia yang berjaya malah ada yang  sehingga menjadi antara manusia terkaya dunia sebenarnya tidak  menamatkan pengajian di peringkat universiti mahupun sekolah menengah.
 Lihat saja barisan manusia terkaya dunia ramai di antara mereka  sebenarnya tidak menamatkan pengajian atau persekolahan seperti mana  yang dilalui oleh Bill Gates, Steve Jobs, Richard Branson. Keadaan ini  juga berlaku kepada mereka yang lebih senior seperti Walt Disney, Henry  Ford, Ingvar Kamprad atau generasi muda sekarang seperti Mark  Zuckerberg, dan beberapa nama lagi.
 Melihat kepada barisan generasi yang menempa nama dalam dunia  perniagaan sehingga ada yang bergelar bilionair, pastinya kisah  bagaimana mereka bermula adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.
 Apatah lagi mereka ini bermula tanpa sebarang sijil ditangan malah "hanyut" ketika disekolah lagi.
 Generasi terawal ini seperti Walt Disney, Henry Ford mahupun taikun  perjudian Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong semuanya memiliki satu  persamaan tidak menamatkan persekolahan atas faktor kemiskinan.
 Melihat kepada apa yang berlaku kepada Henry Ford yang menawan dunia  dengan penciptaan kereta murah Model T, beliau sememangnya mencipta  kejayaan dari bawah.
 Tidak menamatkan persekolahan apabila mencecah usia 16 tahun, lelaki  yang dilahirkan pada 30 Julai 1863, kemudian bekerja sebagai jurumesin  dan sebelum berhijrah menjadi mekanik yang pakar dalam enjin stim.
 Beliau membuktikan tanpa pelajaran yang tinggi namun berjaya menjadi  jurutera di Edison Illuminating Company yang dimiliki oleh pencipta  terkenal, Thomas Edison.
 Dengan sokongan kewangan dari beberapa jutawan seperti Alexander Y.  Malcomson, John dan Horace E. Dodge Ford mula membina model kereta Ford  999. Namun impak besar mula dirasai setelah Model T dikeluarkan pada  1908.
 Kejayaan yang dicipta oleh beliau ini juga mencatat sejarah  bermulanya pengeluaran kereta secara besar-besaran. Ini kemudian  membolehkan beliau menjadi antara bilionair terawal dunia sebelum  kematiannya pada 1947 dengan aset dan wang tunai mencecah AS$188.1  bilion (RM601 bilion), jumlah berdasarkan tahun 2008. 
 Begitu juga kisah yang berlaku pada pengarah, penerbit dan pengasas  taman tema Disneyland, Walter Elias "Walt" Disney yang tidak menamatkan  sekolah apabila mencecah usia 16 tahun.
 Bagi lelaki yang mempunyai susur galur dari Ireland ini, kejayaan  yang diraih tidak mengubah imej dan karakter beliau yang senantiasa  merendah diri.
 Sebaik berhenti sekolah beliau mendaftarkan diri untuk menjadi  tentera namun ditolak kerana bawah umur dan kemudian bekerja sebagai  pemandu ambulans di Palang Merah.
 Bankrap
 Disney memulakan karier dalam bidang perfileman terutama dalam  industri kartun dan animasi dari bawah. Bermula sebagai pelukis kartun  untuk majalah dan suratkhabar, syarikat pengiklanan, malah pernah jatuh  bankrap kerana gagal mengurus kewangan syarikat animasi miliknya  Laugh-O-Gram Studio dengan baik.
 Namun pengalaman yang dilalui ketika susah menjadi ilmu paling  berharga sehingga membolehkan empayar perniagaannya berkembang seperti  mana yang kita lihat sekarang.
 Disney kemudiannya mencipta nama di Hoolywood melalui pelbagai  animasi yang mencuit selera penonton antaranya Mickey Mouse, Snow White,  Donald Duck dan pelbagai lagi.
 Meneruskan legasi jutawan yang tidak menamatkan pendidikan, antara  yang paling paling menonjol dalam generasi seterusnya adalah pengasas  syarikat IKEA, Ingvar Kamprad.
 Beliau yang kini berusia 84 tahun memulakan perniagaan pada usia muda  dengan menjual pelbagai barangan yang dibeli pada harga yang murah  kepada kenalan dan ahli keluarga. 
 Selepas berhenti sekolah pada usia 17 tahun, beliau telah membuka  IKEA dengan pemberian wang oleh bapanya berikutan keputusan cemerlang  dalam peperiksaan.
 Pada awalnya perniagaan tersebut telah menjual pelbagai barangan namun kemudian bertumpu kepada perabot sejak 1947. 
 Nama IKEA yang diambil dari cantuman namanya IK- Ingvar Kampard dan  E-Elmtaryd nama ladang ketika kecil dan A-Agunnaryd, nama perkampungan  asalnya, telah memberi tuah kepadanya sehingga membolehkan beliau  menduduki tempat ke 11 orang terkaya dunia dengan aset sebanyak AS$23  bilion (RM73.6 bilion).
 Begitu juga beberapa nama dari Asia seperti Li Ka-shing yang kini menduduki tempat ke 14 terkaya dunia.
 Merantau pada usia yang muda ke Hong Kong walaupun dilahirkan di  Guangdong, China, kemudian kematian bapa ketika berusia 15 tahun telah  memaksa beliau berhenti sekolah dan bekerja di sebuah kilang plastik. 
 Hasil dari kepayahan hidup telah memberi beliau pengalaman luas dan  kemudian memulakan perniagaan pertama, Cheung Kong Industri pada 1950  dalam bidang barangan plastik sebelum berkembang dalam pelbagai industri  lain seperti hartanah, tenaga, telekomunikasi dan pelbagai lagi.
 Bagi generasi seterusnya nama-nama mereka yang tercicir ketika  pengajian tidak lagi perlu diperkenalkan. Antaranya Bill Gates dan  rakannya Paul Allen yang berhenti belajar di Harvard untuk menumpukan  perhatian dalam pembangunan perisian komputer pada 1975.
 Pada tahun yang sama beliau menubuhkan Micro-soft dan kini syarikat  tersebut telah membantu beliau menjadi antara orang paling kaya di  dunia.
 Membina
 Begitu juga yang berlaku kepada seorang lagi tokoh industri teknologi  maklumat Steve Jobs. Pada penghujung 1970-an, Jobs, dengan pengasas  bersama Apple Steve Wozniak dan Mike Markkula telah mereka bentuk,  membina dan memasarkan komputer peribadi pertama di dunia. 
 Setelah keluar dari Apple pada 1985 akibat perebutan kuasa dan masuk  kembali pada 1996, beliau kini membuktikan tindakan meninggalkan  pengajiannya satu ketika dahulu telah berjaya membuahkan hasil yang  sangat lumayan.
 Begitu juga yang berlaku kepada pengasas Virgin Records, Richard  Branson. Walaupun bapa dan datuknya merupakan hakim-hakim terkenal dan  berpengaruh di England namun jejak itu tidak terdapat pada Branson.
 Beliau menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun dan kemudian  menerbitkan majalah Student sebelum membuka syarikat rakaman Virgin  Records pada 1982. 
 Jenama Virgin semakin mengembang pada 1980-an dengan tertubuhnya  Virgin Atlantic Air dan kini sudah mula terlibat dalam pelancongan ke  angkasa lepas untuk masa depan.
 Bagi generasi yang lebih muda mungkin mereka mengagumi pemuda seperti Mark Zuckerberg yang kini menakluk dunia melalui facebook.
 Beliau yang hanya berusia 26 tahun juga tidak menamatkan pengajian di Harvard kerana mahu mengembangkan potensi facebook.
 Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika  menuntut di Universiti Harvard pada Februari 2004 sebelum ia tersebar ke  universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia,  New York University, Cornell, Brown dan Yale.
 Melihat kepada kejayaan yang diperoleh kesemua tokoh yang dinyatakan,  pastinya kejayaan mereka berlandaskan kepada kesungguhan usaha,  kreativiti, sifat percaya kepada kebolehan dan keupayaan diri.
 Mungkin ada yang berpandangan selepas ini tidak perlu lagi untuk  belajar tinggi kerana semua orang boleh berjaya. Namun kita perlu  bertanya balik dari berbilion penduduk dunia hanya beberapa kerat sahaja  yang terpilih untuk berjaya tanpa pelajaran tinggi.
 Mungkin satu ketika dulu akibat kemiskinan telah memaksa mereka ini berhenti belajar dan kemudian bekerja untuk menyara hidup. 
 Langsung tidak terlintas dalam fikiran Henry Ford dan Walt Disney bahawa mereka akan menjadi begitu berjaya. 
 Apa yang berlaku kepada mereka ini akibat minat yang begitu mendalam  dalam bidang yang mereka minati, membuka ruang untuk ia dieksploitasi  hingga ke tahap maksimum dan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.
 Mungkin jika kita sudah mengenal pasti minat dan kecenderungan yang  boleh membuahkan hasil agak logik juga untuk berhenti belajar. 
 Tapi jika hanya sekadar mahu berhenti sebab malas dan kemudian  berangan-angan untuk menjadi kaya pasti itu satu tindakan paling bodoh  yang seseorang lakukan dalam hidupnya.Sumber : http : //www.utusan.com.my/