PM garis 15 ketetapan kutuk Zionis sekat misi bantuan ke GazaPAGI ini (semalam), dalam Dewan yang mulia ini, di tapak istana demokrasi yang berkeramat, kita sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan saja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.
Dengan izin saya ingin mengungkapkan kata-kata Nelson Mandela yang cukup bermakna Palestine is the greatest moral issue of our age. Justeru, sebelum berbicara lebih lanjut, seelok-eloknya saya merentet kembali empat peristiwa besar yang membabitkan salah laku kotor dan busuk oleh rejim Zionis.
Pertama, sebermula lebih 60 tahun lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri. Seawal tragedi Naqbat pada 1948, penduduk Palestin dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel yang buat pertama kali ketika itu memperkenalkan terrorisme sebagai kaedah untuk mencapai matlamat mereka.
Kedua, sekitar akhir 1960-an, selepas apa yang digelar peperangan enam  hari, di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan  pula penempatan haram tanpa rasa bersalah atau segan silu. Kemudian,  peristiwa ketiga pada 1982, tentu tidak dapat dilupakan yakni tragedi  pembantaian ganas ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak  berdosa di Kem Pelarian Shabra dan Shatila.
Keempatnya pula, saya yakin masih segar dalam ingatan ramai, akan  serangan ketenteraan rejim Zionis ke atas Wilayah Gaza sehingga  menyebabkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan  wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua.
Apa yang jelas, tragedi itu ternyata lukanya masih lagi bukan saja  belum sembuh, bahkan kekal, kuning, bernanah di sanubari masyarakat  dunia. Kini, tampaknya kesan hirisan itu terus dilukai oleh satu lagi  episod tidak berperikemanusiaan. Peristiwa pembunuhan kejam sembilan  sukarelawan oleh komando Israel tanggal 31 Mei 2010 baru-baru ini  pastinya, menyimbah minyak ke atas api kemarahan masyarakat dunia yang  kini marak menyala dan membakar perabung-perabung dada.
Jadinya, demi menyuarakan ketegasan negara mengenai peristiwa  berdarah yang terjadi, saya menyeru ahli-ahli yang berhormat sekalian,  bersama-sama saya, sepakat, seia sekata, sederap menyampaikan kepada  seluruh dunia akan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan  tidak berperikemanusiaan Zionis ini.  
Dengan ini saya mencadangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3),  Dewan ini mengambil ketetapan berikut:
-  Bahawa, tentera rejim Zionis di bawah kerajaan  pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyerang tanpa  alasan dalam perairan antarabangsa, konvoi kapal Freedom Flotilla yang  membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010. Kejadian itu  mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi  bantuan kemanusiaan berkenaan;
 -  Bahawa, serangan Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan  kemanusiaan itu adalah tindakan yang mencabuli undang-undang  antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang  kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB);
 -  Bahawa, sentimen sama sudah pun disampaikan melalui  Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN  Majlis Kerjasama  Negara-negara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan  kutukan keras terhadap tindakan rejim Zionis Israel ini;
 -  Bahawa, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian,  tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi  bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza itu; dan
 -  Bahawa, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan  ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB  untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas rejim Zionis itu.
 
 Dengan ini Dewan mengambil ketetapan seperti berikut:
-  (1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera  rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin  Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang  menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;
 -   (2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan  Majlis Keselamatan PBB di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap  serangan ganas Zionis ke atas kapal misi bantuan berkenaan;
 -   (3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB  supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang  lemah;
 -   (4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan  negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan  Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat  untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk  undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa  dan Piagam PBB dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;
 -   (5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan  usul kepada Majlis Keselamatan PBB bagi merujuk situasi akibat serangan  tentera rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
 -    (6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan  usul kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan Advisory Opinion  Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);
 -   (7) Memohon supaya  Turki mempertimbangkan untuk  mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah  Antarabangsa (ICC);
 -   (8) Menyeru supaya satu siasatan bebas penuh dibuat  terhadap serangan tentera rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan  yang tidak berpihak;
 -   (9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa,  terutama Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang diterima pada 2  Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya  dibuat mengenai serangan ini;
 -   (10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang  konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,  selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan PBB;
 -   (11) Mengalu-alukan tindakan Mesir membuka sempadan Rafah  tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa  sebarang halangan;
 -   (12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus  menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di  Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;
 -  (13) Merakamkan penghargaan kepada Jordan, Turki, Ireland,  Filipina dan juga negara lain yang terbabit dalam usaha membebaskan  rakyat Malaysia yang ditahan   Zionis;
 -  (14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan  mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang  bebas, merdeka dan berdaulat; dan
 -  (15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada  perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas,  merdeka dan berdaulat.   
 
Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada  Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu  serangan kejam oleh tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal  Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Malaysia, mengecam tindakan kejam tentera rejim Zionis Israel di  bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang  bertindak menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di  kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.
Malaysia dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau  dan biadab Zionis yang bukan saja melanggar norma perundangan  antarabangsa malah  juga tata kelakuan bertamadun. Serangan Subuh oleh  rejim Zionis ini ternyata mencabul prinsip kebebasan perairan  antarabangsa kerana faktanya tindakan ala kelanunan terhadap Freedom  Flotilla ini dilakukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza iaitu di  luar perairan wilayah Israel.
Perbuatan durjana ini mengakibatkan kehilangan sembilan nyawa dan  puluhan kecederaan kepada mereka yang sedang menjalankan misi mulia  membawa bantuan kemanusiaan kepada ribuan rakyat Gaza.
Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga diculik dan  diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi  hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan  ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka  bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama,  sempadan bangsa dan fahaman politik.
Serangan tidak berperikemanusiaan ini memperlihatkan sekali lagi  kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera rejim Zionis yang tidak  menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang  antarabangsa. Mereka tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan ketika  menawan kapal Mavi Marmara.
Seperti dilaporkan, sembilan orang yang terkorban itu ditembak  daripada jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak  dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat  dimaafkan.
Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, semalam (kelmarin)  saya berpeluang mendengar sendiri daripada mulut 12 orang rakyat  Malaysia yang terbabit, akan detik-detik cemas dilalui mereka ketika  serangan sedang berlangsung. Saya dimaklumkan bahawa mereka turut didera  secara mental ketika dalam tahanan.
Dalam hal ini, kerajaan berasa bangga walaupun Malaysia sederhana  dari segi saiz, terbukti kita tidak sekali-kali berjiwa kerdil bahkan  memiliki semangat kental yang menggunung lagi membumbung di medan juang.
Sesungguhnya, kerajaan sudah mengambil segala tindakan wajar dan  perlu bagi memungkinkan kebebasan sukarelawan negara termasuklah dengan  menghantar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar ke Jordan. Tahniah  kepada Kementerian Luar Negeri.
Lantaran itu, saya, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat  Malaysia ingin menegaskan bahawa kumpulan 12 ini bukannya penjenayah  mahupun penceroboh sebaliknya mereka adalah wira-wira Malaysia.  Sesungguhnya keberanian kumpulan 12 ini yang sanggup menghadapi bahaya  muncung senjata demi matlamat dan prinsip yang tulus murni akan suatu  hari nanti tersepuh dengan tinta emas dalam susur galur sejarah negara.
Hakikatnya, kita mengiktiraf mereka semua sebagai pejuang  kebebasan sejati yang amat dibanggakan. Kita tahu benar, sekiranya  perbuatan sama dilakukan negara lain, nescaya negara itu akan dikenakan  pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan PBB. Ini jelas  membuktikan betapa Majlis Keselamatan PBB bersikap berat sebelah dalam  melaksanakan amanah diberikan kepada mereka.
Sungguhpun begitu Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis  Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar pada 31 Mei yang lalu bagi  membincangkan serangan tentera rejim Zionis ke atas konvoi kapal yang  membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Nyatanya sejak enam dekad lalu, Zionis terus-terusan menzalimi  rakyat Palestin. Walaupun pelbagai resolusi diluluskan Majlis  Keselamatan PBB tetapi semuanya tidak dihiraukan oleh Israel. Perbuatan  beraja di mata dan beraja di hati ini berlaku kerana samseng dunia  Israel berasa mereka dilindungi satu-satunya kuasa besar dunia.
Sehubungan itu, Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk  tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam  memastikan rejim terbabit mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang  bertanggungjawab dan bertamadun.
Ketahuilah bahawa, piawai moral dan etika sebuah negara bangsa  tidak boleh berbeza dengan piawai yang dikenakan kepada individu.  Tambahan lagi, kepentingan nasional sesebuah negara bangsa tidak boleh  mengatasi piawai asas kemanusiaan hanya kerana mereka mempunyai  kekuasaan.
Pegangan bahawa siapa kuat dialah kudrat sudah tidak boleh dipakai  lagi. Dalam kata lain, tidak ada bezanya keganasan kumpulan dan  individu berbanding keganasan dilakukan negara bangsa. Ia tetap  keganasan yang perlu dipertanggungjawabkan serta diadili.
Jika kebenaran berpunca daripada muncung senjata bukannya dari  kebenaran undang-undang dan prinsip moral universal, maka keamanan dunia  akan sentiasa berada di hujung tanduk. Bukankah sejarah sudah cukup  mengajar kita bahawa peperangan dunia pertama dan kedua yang  mengorbankan banyak nyawa dan mengakibatkan kemusnahan yang bukan enteng  adalah berpunca daripada kekuatan muncung senapang?
Dunia tidak boleh membenarkan rasisme yang berteraskan prinsip  bahawa ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain menjadi satu  pegangan di dunia ini. Bukankah dunia sudah membayar harga yang mahal  untuk menewaskan Nazisme dan Fasisme.
Maka, selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis  bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai  kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak  akan ada kesudahannya.
Dalam pada Malaysia kecewa di atas kegagalan masyarakat  antarabangsa mengambil tindakan keras sewajarnya terhadap  Zionis,  Malaysia akan tetap berusaha  untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin  yang sedang menderita. Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah  negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan kendiri ekonomi dapat  dibangunkan.
Saya sendiri baru-baru ini, menyuarakan komitmen serta pendirian  Malaysia ini kepada Presiden  Palestin, Mahmoud Abbas ketika lawatan  beliau ke Malaysia. Malaysia akan terus mendesak Majlis Keselamatan PBB  untuk mencela tindakan ganas Israel dan supaya pemimpin Zionis yang  bertanggungjawab dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Malaysia juga akan menggesa negara-negara sependapat untuk  mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan Advisory  Opinion dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia juga akan mendesak supaya  Israel membayar ganti rugi  serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat  binaan dan perubatan, termasuk kapal yang ditawan serta semua barangan  persendirian ahli konvoi yang dirampas secara haram.
Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti  rugi akibat kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta  sebarang pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa.  Malaysia juga berasa amat sedih dan sangat kesal dengan situasi  kemanusiaan meruncing yang sedang berlaku di Gaza akibat kepungan rejim  Zionis.
Sekatan dan kepungan kejam rejim Zionis ini mengakibatkan  kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan, bahan mentah  serta minyak bagi keperluan kehidupan harian masyarakat Palestin di  Gaza.
Mutakhir, semalam (kelmarin) perkembangan terbaru, kita mendapat  berita mengenai usaha PBB untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas  berkaitan isu ini. Suka saya menyatakan, Malaysia menyokong sebarang  cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang  bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden yang berlaku.
Malaysia tiada masalah malah menyokong jika Sir Geoffrey Palmer,  bekas Perdana Menteri New Zealand yang diamanahkan untuk mengetuai  siasatan antarabangsa ini.
Alhamdulillah, di atas segala-galanya, kita memanjatkan kesyukuran  ke hadrat Ilahi kerana rakyat Malaysia yang ditahan  rejim Zionis,  berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air. Kejayaan ini, tidak  akan dapat dicapai tanpa bantuan dan pertolongan negara-negara sahabat.  Dalam hal ini, Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan  kepada Kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan juga negara lain  yang bersedia menghulurkan bantuan dalam usaha membebaskan rakyat  Malaysia yang ditahan rejim Zionis.
Begitulah, kita juga berbangga dengan semangat waja enam lagi wira  Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana di celah-celah  ketidaktentuan suasana, memilih untuk mara ke hadapan sekalipun  mengetahui risiko yang bakal ditempuhi. Syukurlah, tiada sebarang  perkara yang tidak diingini berlaku.
Setakat hari ini, kita mendapat maklum bahawa usaha membawa mereka  kembali sedang diatur dan disusun. Didoakan agar semuanya berada dalam  keadaan selamat sehingga pulang ke Malaysia nanti.
Dunia terus menyaksikan pelbagai gelagat dan tindakan zalim  dilakukan Israel, termasuk insiden terbaru ini. Perlu saya gariskan,  kezaliman seumpama ini akan berterusan dan mungkin tiada noktahnya  sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam  diri. Tindakan ini akan hanya membuatkan Israel terus bersikap angkuh,  ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan  sehingga rakyat Palestin kian terbelenggu mencari sinar kedamaian.
Harus juga dinyatakan kepada semua Ahli Yang Berhormat bahawa,  tanggungjawab untuk menghentikan penindasan yang berlarutan di Palestin  selama ini, adalah tanggungjawab kita bersama, perlu ditangani, di mana  keamanan boleh dicapai sekiranya wujud keikhlasan. Namun kita menyedari  bahawa tidak semua Yahudi menyokong dan bersekongkol dengan rejim  Zionis. Ramai  Yahudi juga yang cintakan keamanan dan mahukan keadilan  diberi kepada Palestin.
Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza,  bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang  melangkaui kepercayaan agama, membabitkan hak asasi, keadilan dan  kemanusiaan. Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa,  agar bencana kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini, dapat  dihentikan dengan serta-merta.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/