Oleh Melati Mohd AriffKUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Apabila mengajak  anak-anak makan di  luar, sering kali anda mungkin terpaksa mengalah kepada pilihan mereka  iaitu tidak lain dan tidak bukan, makanan segera.
Siapa yang perlu dipersalah dalam hal ini sedangkan mereka disajikan  dengan makanan ini sejak mula pandai memanggil "ibu" atau "ayah" malahan  mungkin sebelum mereka mula berjalan lagi!
Di samping kos makan yang kadang kala tinggi juga, sering kali ibu dan  bapa terpaksa menelan perasaan bersalah kerana tidak berlaku tegas dan  menggalakkan anak-anak mereka makan makanan yang lebih sihat.
"Anak-anak saya lebih gemar makanan segera. Bagilah mereka burger, ayam  goreng, kentang goreng, macam pijak semut tak mati, aman satu hari,"  keluh Yani, ibu kepada tiga orang anak.
Sebagai ibu yang bekerja, Yani mengakui bahawa dia sering membeli  makanan segera sebagai jalan mudah kerana kesuntukan masa untuk memasak.
Dia juga kerap menjadikan makanan segera sebagai makanan tengah hari  kerana waktu rehat yang pendek, justeru gagal memenuhi azam tahun  barunya yang dibuat setiap tahun.
Malahan apabila membawa anak-anak keluar membeli belah, Yani sering  mengumpan anak-anaknya dengan makanan ringan atau "junk food" dengan  membiarkan mereka memilih paket kentang goreng dan snek kegemaran supaya  mereka tidak bergaduh sesama sendiri atau membuat bising.
MENANGANI OBESITIMemandangkan begitu banyak laporan mengenai penyakit kronik seperti  obesiti dan diabetes yang melanda rakyat Malaysia akhir-akhir ini, sudah  tentu secara logiknya pilihan yang tepat ialah mengamalkan gaya hidup  yang lebih sihat.
Ini bermakna kita perlu  berhemah dalam memilih makanan terutama apabila berdepan  dengan makanan segera atau makanan ringan.
Malangnya rasa menyesal dengan bidalan "anda adalah apa yang anda  makan" hanya akan terngiang-ngiang di telinga apabila kaki memijak alat  penimbang berat badan dan melihat tambahan kilo yang sesungguhnya bagai  "tetamu yang tidak diundang."
Bagi mereka yang terlebih makan atau  "hidup untuk makan" dengan  menjadikan makanan segera atau makanan ringan sebagai pilihan utama,  amalan ini boleh  menjurus kepada obesiti yang akan hanya mendatangkan  padah pelbagai komplikasi kesihatan.
Pada hakikatnya, obesiti hari ini bukan sahaja isu melibatkan orang  dewasa tetapi juga kanak-kanak yang boleh mengalami masalah berlebihan  berat badan jika ibu bapa tidak berhati-hati dalam pemilihan makanan  untuk anak-anak mereka.
Ada pihak yang pantas menuding jari kepada iklan atau kempen  besar-besaran yang dijalankan oleh sesetengah rangkaian makanan segera.
Namun bukankah kita mempunyai kawalan penuh ke atas dompet kita dan  perlu bertanggung jawab atas tindakan kita dan tidak cepat menyalahkan  orang lain.
MAKANAN RINGAN, MAKANAN SEGERAMakanan ringan, makanan segera, bagi sesetengah orang, kedua-dua  kategori makanan ini mungkin telah sebati dalam kehidupan mereka dan  secara tidak sedar, amalan ini diwarisi anak-anak mereka.
Ensiklopedia percuma, Wikipedia menyebut "junk food" atau makanan  ringan sebagai istilah tidak rasmi yang ditujukan kepada sesetengah  makanan yang dianggap sebagai mempunyai sedikit atau tiada langsung  nilai nutrisi.
Istilah itu juga merujuk kepada produk dengan nilai nutrisi tetapi  mengandungi juga ramuan yang dianggap tidak sihat jika kerap dimakan  atau yang dianggap tidak sihat langsung untuk dimakan.
Dalam hal makanan segera, menurut Wikipedia, istilah tersebut merujuk  kepada makanan yang disedia dan disaji dengan pantas, di mana terhasil  juga istilah  Restoran Khidmat Pantas atau "Quick Service Restaurant  (QSR)".
Restoran makanan segera semakin mendapat tempat di hati pelanggan  apabila menyediakan khidmat bungkus atau bawa balik (take-away atau  take-out) dan ada juga yang menawarkan khidmat pandu lalu  (drive-through).
Menu lazim yang dihidangkan di restoran makanan segera termasuk burger,  sandwic, ayam goreng, kentang goreng, hot dog, nuget ayam, kentang  lecek, salad dan 'milkshakes' di samping minuman berkabonat.
KUANTITI KECIL"Makanan yang rendah nilai nutrisi dengan nilai kalori yang agak  tinggi," kata Mary Easaw-John, Pengurus Kanan Dietetik dan Khidmat  Makanan, Institut Jantung Negara (IJN) apabila ditanya mengenai makanan  ringan.
Ramai juga yang cuba mengelak atau mengehadkan makanan ringan dalam  diet mereka kerana kebimbangan makanan itu tidak sihat.
Menurut beliau, pakar diet dan penganjur kesihatan yang lain sering  berusaha untuk mendidik masyarakat mengenai makanan ringan, menggalakkan  mereka mengamalkan diet yang seimbang dengan kandungan makanan sihat  yang tinggi.
"Jika anda boleh hidup tanpa makanan ringan, ia memang bagus untuk  anda. Sekiranya anda perlu memakannya, nikmatilah ia dalam jumlah yang  kecil," katanya.
Beliau menasihatkan pengguna supaya meluangkan masa untuk membaca label  bukan sahaja untuk tarikh luput tetapi untuk memahami nilai nutrisi  makanan dan mengelakkan daripada membeli makanan ringan yang mengandungi  nilai nutrisi yang rendah tetapi tinggi dengan lemak, gula dan garam.
Easaw-John juga dengan pantas berkata makanan ringan pastinya bukan  untuk mereka yang mengalami lebihan berat badan atau menghidap penyakit  seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes, keadaan di  mana seseorang itu mempunyai paras gula (glukos) yang tinggi kerana  badan bukan sahaja tidak boleh menghasilkan insulin yang mencukupi atau  kerana sel badan tidak bertindak secara betul kepada insulin yang  dihasilkan.
Mengenai makanan segera pula, Easaw-John menjelaskan bahawa satu  hidangan memberikan nisbah yang tidak seimbang, kadang kala melebihi 100  peratus daripada pengambilan harian lemak, kolesterol, garam dan gula  yang disyorkan.
"Jadi bacalah analisis nutrisi makanan segera yang disediakan oleh  restoran makanan segera supaya sesuai dengan pelan makanan anda,"  katanya.
KEBIMBANGAN UTAMA"Lebih tinggi daripada standard gula, garam dan kolesterol yang boleh  diterima," demikian pandangan Datuk Paul Selva Raj, Ketua Pegawai  Eksekutif, Pusat Sumber dan Penyelidikan Penguna (CRRC) Persekutuan  Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengenai makanan segera dan makanan  ringan.
Beliau berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini dilanda masalah  lebihan berat badan dan obesiti.
Menurut statistik yang disediakan Selva Raj, kadar lebihan berat badan  dalam kalangan rakyat Malaysia ialah 29.1 peratus pada 2006 berbanding  16.6 peratus pada 1996.
Kenaikan yang tinggi juga dicatat untuk kadar obesiti, dari 4.4 peratus  pada 1996 kepada 14.2 peratus pada 2006 (kenaikan 9.8 peratus).
Selva Raj berkata lebihan berat badan serta obesiti boleh mencetuskan  masalah lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
"Bilangan rakyat Malaysia yang menderita diabetes meningkat dari 6.6  peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006 sementara bilangan  mereka yang menderita tekanan darah tinggi melonjak dari 12.7 peratus  kepada 42.6 peratus pada 2006," beliau memberitahu Bernama.
KEADAAN SEMAKIN BURUKMenurut Selva Raj, pemakanan makanan segera atau makanan ringan beserta  dengan gaya hidup yang tidak banyak bergerak hanya memburukkan keadaan  kesihatan di Malaysia.
Beliau menyebut statistik dari National Health and Morbidity Survey of  2006 yang menunjukkan kira-kira 43.7 peratus daripada penduduk dewasa di  Malaysia tidak aktif dari segi fizikal.
Kementerian Kesihatan, katanya, membelanjakan kira-kira 20 peratus atau  RM180 juta daripada bajet RM900 million untuk ubat bagi penyakit kronik  gaya hidup seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestoral  tinggi.
LANGKAH MENGAWALKemementerian Kesihatan pada Disember 2009 membuat pengumuman ia akan  mengawal promosi dan pemasaran khidmat makanan segera di negara ini  serta mendidik rakyat Malaysia mengenai diet atau pemakanan sihat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam membuat pengumuman  itu menyifatkan makanan segera sebagai berbahaya kepada kesihatan kerana  ia diketahui mengandungi kalori, lemak, garam dan gula yang tinggi.
Beliau dipetik sebagai berkata antara langkah yang akan diambil ialah  dengan mengetatkan kawalan terhadap promosi dan iklan makanan segera di  stesen televisyen.
Menurut beliau lebih banyak program membabitkan pemakanan sihat di  radio, stesen TV, akhbar dan majalah akan juga ditingkatkan.
"Memandangkan pertumbuhan pantas pelbagai rangkaian makanan segera di  negara ini, Kementerian Kesihatan perlu bertindak cepat untuk  mengawalnya.
"Setakat ini Kementerian berkenaan hanya mengambil langkah mengehadkan  pengiklanan TV makanan segera kepada kanak-kanak termasuk mengharamkan  sebarang bentuk siaran TV mengenai iklan makanan segera sewaktu program  TV kanak-kanak," kata Selva Raj.
Kementerian Kesihatan, katanya perlu juga mengehadkan pemasaran barang  permainan kepada kanak-kanak oleh rangkaian makanan segera di panggung  wayang dan internet.
"Kebimbangan kita ialah hampir semua kanak-kanak melayari internet dan  boleh membuat pembelian apa yang mereka inginkan tanpa bimbingan ibu  bapa," katanya.
MUSLIHAT IKLANSelva Raj juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan perlu juga  bertindak ke atas iklan makanan ringan serta makanan tidak sihat yang  lain.
Katanya, pemasar dan pengiklan sering menggunakan pelbagai taktik untuk  menarik perhatian pelanggan kanak-kanak.
"Pemasaran kepada kanak-kanak dieksploitasi secara meluas di mana-mana  di Malaysia. Kerajaan perlu mengadakan kawalan menerusi perundangan,  dasar dan progran pendidikan bagi melindungi kepentingan kanak-kanak,"  tegasnya.
Selva Raj mengulangi bahawa makanan ringan tidak seharusnya dijual di  kantin sekolah juga di luar sekolah (dalam jarak tertentu).
Dalam hal ini beliau menyarankan ibu bapa supaya memainkan perana utama  dalam mendidik serta membimbing anak-anak mengamalkan pemakanan yang  sihat.
"Mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan pihak berkuasa tempatan  untuk memantau kantin sekolah serta memastikan makanan ringan bukan  sahaja tidak dijual di kantin sekolah tetapi juga di luar pagar  sekolah," katanya.
Sumber :http://www.bernama.com/