Masyarakat perlu diterapkan nilai-nilai murni dalam  kehidupan agar pembuangan bayi boleh dibendung. 
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan beberapa berita yang  amat memeranjatkan semua pihak iaitu isu pembuangan bayi. Gejala ini  amat devian kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak  berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita. Ada  antara bayi yang ditemui yang masih hidup dan ada yang sudah meninggal  dunia dan hampir semua yang ditemui berada dalam keadaan yang amat  menyedihkan. Seperti tiada kesedaran diri, bayi yang tidak berdosa terus  menjadi mangsa keadaan. Tidak kira apa pun status bayi tersebut, isu  ini perlu dibendung. Pembuangan bayi adalah satu jenayah walaupun  terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung  luar nikah terpaksa membuang bayi mereka kerana terdesak, malu dan takut  akan akibat yang bakal ditanggung.  
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM)  dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, terdapat  pelbagai sebab mengapa dan kenapa berlakunya peningkatan kes pembuangan  anak. 
 Faktor kes ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu  sosial, spiritual atau rohani dan era globilasasi dan pembangunan  teknologi.
 "Faktor sosial merupakan salah satu daripada penyumbang utama  berlakunya kes buang anak ini. Antaranya, pergaulan bebas tanpa had  terutamanya di antara lelaki dan wanita. Selain itu, terikut dengan  budaya barat yang yang mengamalkan seks itu adalah sebahagian daripada  proses percintaan. Golongan ini juga percaya alat-alat terkini seperti  kondom dan pil boleh mengelakkan daripada mengandung jika melakukan  hubungan seks," katanya.
 Di samping itu, ibu bapa tidak mengambil berat tentang anak-anak  mereka hingga menyebabkan mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa sebarang  pemantauan.
 Dr. Mohammad Shatar menambah, didikan agama yang kukuh adalah dinding  terbaik untuk mengelakkan diri remaja daripada sebarang kes jenayah dan  salah laku. Namun, ilmu agama amatlah tipis dalam kalangan remaja pada  hari ini hingga menyebabkan kes pembuangan anak tidak menjadi kesalahan  kepada mereka. 
 Ilmu agama
 Justeru itu, kurang ilmu agama menjadi faktor golongan ini tidak  dapat menilai halal dan haram.
  "Era globalisasi dan pembangunan teknologi (ICT) pada hari ini secara langsung atau tidak telah menyumbang kepada kes  pembuangan anak. Jika kita kaji, kemudahan telefon bimbit telah  menyebabkan remaja boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja pada  bila-bila masa untuk sebagai titik permulaan kepada kes yang tidak  bermoral ini. Kesukaran membuat pemantauan oleh ibubapa terhadap  penggunaan internet juga menyumbang kepada gejala kes ini," jelasnya.
 Secara tidak langsung, kes pembuangan bayi ini mempengaruhi kesihatan  sosial pada hari ini. 
 Dari sudut perubatan, kadar kematian bayi yang lebih tinggi akan  menyebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna. Ini disebabkan  kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah, jangkitan kuman dan  kecederaan sewaktu bersalin.
 Selain itu, kes ini turut memberi kesan kepada psikologi dan sosial  wanita yang melahirkan bayi tersebut iaitu murung, hilang keyakinan  diri, rasa bersalah, resah atau gelisah. Bukan itu sahaja, ia akan  mewujudkan masalah emosi dan hubungan interpersonal dengan terputusnya  hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.
 "Terlalu banyak kesan psikologi dan sosial kepada masyarakat.  Antaranya, kemajuan dan kemakmuran masyarakat di masa hadapan akan  terjejas. Pesan Iman Al-Ghazali, jika kamu mahu melihat senario masa  depan masyarakat dan negara kamu, lihatkan senario remaja masa kini.  Jika mereka hebat maka akan hebatlah masyarakat dan negara kamu di masa  hadapan, tetapi jika remaja kini rosak akhlaknya dan lemah mindanya.  Maka akan rosaklah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan,"  jelasnya.
 Dr. Mohammad Shatar menambah, psikologi remaja yang terlibat dengan  kes tersebut tidak akan tenang dan tenteram. 
 Perasaan bersalah yang datang di kemudian hari akan memberikan  tekanan psikologi dan sosial yang berat serta tumpuan kepada kerjaya  akan terjelas. 
 Secara umum, remaja pada hari ini tidak faham dan mengerti secara  mendalam erti kasih sayang yang sebenarnya. Justeru itu, jika mereka  berkahwin, perkahwinan itu jarang yang kekal lama kerana mereka tidak  faham apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang itu.
 "Maksud kasih sayang sesama manusia ialah menyayangi manusia lain  sama seperti kita menyayangi diri sendiri. Selain itu, meletakkan diri  kita dalam diri mereka, jika kita jadi bayi tersebut apakah perasaan  kita. Dari segi psikologi, cinta remaja tidak diikuti dengan  tanggungjawab," jelasnya.
 Beliau menjelaskan, teori sosial mengenai cinta di bawah umur 13  tahun, percintaan yang berlaku hanyalah berdasarkan kepada kecantikan.  Manakala, umur 13 hingga 25 tahun, percintaan yang berlaku ketika ini  adalah berdasarkan trend iaitu orang lain bercinta kita nak bercinta dan  jemu dengan pasangan masing-masing, akan dicuba pasangan lain.
 Sementara itu, bagi golongan berumur 25 tahun ke atas, percintaan sering diikuti dengan tanggungjawab.
 Dalam membantu masyarakat pada hari ini untuk membendung kes  pembuangan bayi, mereka perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam  kehidupan agar kepincangan dalam institusi sosial tidak berlarutan.  "Golongan dewasa juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada  golongan remaja kerana golongan inilah yang banyak terlibat dengan isu  pembuangan bayi. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengelakkan golongan  ini terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Selain itu, kerjasama  masyarakat dengan kerajaan turut memainkan peranan dalam usaha mencapai  masalah sosial 'sifar'. Walaupun ia mungkin sukar dicapai tetapi melalui  kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa mampu menyelesaikan  masalah buang anak ini," ujarnya.
 Kesedaran
 Dr. Mohammad Shatar menyarankan masyarakat memberi kesedaran untuk  membendung gejala tidak sihat ini. Misalnya, kerajaan boleh melaksana  undang-undang terhadap remaja yang berdua-duaan di tempat yang kondusif  untuk seks bebas. Selain itu, masyarakat perlu membantu kerajaan dalam  melaksanakan agenda ini. Aktiviti yang mencurigakan perlu dibuat laporan  kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membanteras mereka yang  terlibat.
 " Ibu bapa juga perlu peka dan mengambil berat terhadap perkembangan  dan apa yang dilakukan oleh remaja mereka. Selain itu, guru perlu  memantau kehadiran pelajar dalam kelas. Laporkan kepada ibu bapa jika  anak mereka tidak hadir kelas. Ini kerana anak-anak sering melencong ke  tempat lain walaupun berpakaian sekolah dari rumah," katanya.
 Jika ada remaja yang pernah terlibat dengan masalah ini, kita perlu  memberi ruang penambahbaikan untuk kembali ke pangkal jalan.
 "Golongan ini perlu bertaubat dan menyesal dengan sepenuhnya. Mereka  yang pernah terbabit boleh memberi kesedaran kepada remaja lain mengenai  implikasi yang dihadapi. Ingatlah, kesilapan hari ini bukanlah  kesilapan yang berkekalan. Mohon ampun dan maaf kepada Allah dan ibu  bapa," ujarnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/