Oleh DR. SAODAH  ABD RAHMAN                   Setiap warga negara Malaysia perlu bersyukur kerana berada dalam  sebuah negara Islam yang mementingkan perpaduan kaum dan keamanan.  Keamanan dan perpaduan kaum serta sikap toleransi pelbagai kaum dan  agama dalam negara ini merupakan satu keunikan yang tidak wujud dalam  kebanyakan negara dunia ketiga masa kini. 
 Perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Malaysia sukar untuk diamalkan  oleh negara-negara dunia ketiga sama ada negara tersebut terdiri dari  negara Islam atau bukan Islam. Peristiwa peperangan saudara dan  pembunuhan sesama kaum merupakan fenomena yang lumrah dalam kebanyakan  negara di dunia masa kini.
 Keamanan dan perpaduan kaum merupakan asas penting kepada pembangunan  dan kemajuan sesebuah negara. Perpaduan kaum perlu dipertingkatkan  supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini dapat memahami bahawa  Malaysia adalah sebuah negara Islam yang memberi hak dan kedudukan  kepada pelbagai kaum setanding dengan umat Islam tanpa mengorbankan  kedaulatan dan hak warisan yang diwartakan untuk umat Islam yang  dipersetujui oleh kesemua para pemimpin kaum semasa Tanah Melayu  diserahkan oleh British kepada kepimpinan tempatan.
 Perkara seperti ini perlu disemat dalam dada setiap generasi baru  yang lahir dalam negara ini supaya mereka mengenali sejarah dan  keturunan mereka. Kejahilan dalam perkara ini menyebabkan masyarakat  pelbagai kaum tidak menyedari sejauh manakah mereka perlu bersuara dan  bertindak demi memenuhi hasrat dan bisikan hati mereka. Malaysia ialah  sebuah negara yang bebas di mana masyarakat bukan Islam bebas untuk  mengamalkan tradisi budaya dan amalan keagamaan mereka. 
 Konsep persahabatan pelbagai kaum yang dijalin sejak Melaka menjadi  pusat perdagangan di Asia Tenggara merupakan satu corak kehidupan  masyarakat majmuk yang paling unik jika dibandingkan dengan negara dunia  ketiga yang lain.
 Setiap individu yang dilahirkan atau berhijrah ke negara ini bebas  untuk menguasai kekayaan negara jika mereka tekun dan gigih dalam  kehidupan seharian mereka. Negara Islam yang mengamalkan konsep  kehidupan yang berteraskan tauhid (mempercayai Tuhan yang Esa) dan  keagungan Tuhan mampu membentuk jiwa masyarakat Islam untuk berkongsi  kekayaan dengan orang bukan Islam.
 Ini kerana prinsip dan dasar pemerintahan Islam bercirikan kepada  konsep kemanusiaan sejagat iaitu dunia ini adalah hak milik Allah dan  setiap manusia berhak mencari nafkah dan menikmati kekayaan negara  selama mereka menghormati perundangan negara dan tidak bersikap angkuh  serta menyebarkan propaganda terhadap umat Islam. 
 Umat Islam juga dituntut oleh Islam supaya menghormati masyarakat  bukan Islam dan mengiktiraf hak dan peranan mereka dalam negara. Perkara  yang digariskan oleh Islam berkaitan dengan konsep kehidupan masyarakat  majmuk diamalkan oleh pemimpin dan masyarakat Islam dalam negara ini  sejak merdeka. 
 Perpaduan dan keamanan yang wujud dalam negara ini hasil daripada sikap toleransi dan memahami di antara satu sama lain (mutual understanding)  perlu diperkukuhkan, bukan diperkotak katikkan demi kepentingan diri  dan perjuangan politik berunsurkan perjuangan perkauman atau bercirikan  konsep komunisme yang membelakangkan tradisi masyarakat beragama.
 Perjuangan berunsurkan perkauman tidak mungkin dapat membentuk satu  masyarakat majmuk yang boleh menegakkan keadilan dan keamanan. Kegagalan  dunia Arab menyatu padukan bangsa yang menganut agama yang sama adalah  hasil daripada perjuangan ideologi yang bercirikan kepada kabilah,  ideologi atau mazhab. 
 Kebebasan beragama yang diamalkan oleh negara Malaysia perlu  dihormati supaya setiap individu dapat memahami bahawa menghindari atau  mencegah sesuatu kaum daripada mengamalkan tradisi agama dan budaya  mereka merupakan satu perkara yang sensitif dan boleh membangkitkan  kemarahan dan mencetuskan permusuhan.
 Sukar bagi sesebuah negara mengawal keamanan dalam negara yang  mempunyai masyarakat majmuk jika para pemimpin parti politik dalam  negara tersebut sering membangkitkan isu-isu yang berbau perkauman.  Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan mematuhi janji terhadap  orang bukan Islam. Umat Islam yang bertakwa akan berpegang kepada janji  di antara mereka dengan orang bukan Islam. 
 Konsep kehidupan berjiran dan tetamu yang termaktub dalam akhlak  Islam merupakan asas penting yang membentuk keperibadian umat Islam  sehingga mereka boleh berkongsi kekayaan negara dengan masyarakat bukan  Islam. Sikap toleransi yang ditonjolkan oleh umat Islam kepada  masyarakat bukan Islam bukan merupakan simbol kepada kelemahan atau  ketakutan tetapi ia merupakan prinsip kepimpinan dalam Islam ketika  memimpin sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama. 
 Islam membicarakan hak-hak orang bukan Islam dalam negara Islam.  Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umat Islam jika melakukan  kekejaman terhadap orang bukan Islam yang mematuhi Perlembagaan Negara.  Kepimpinan Islam sering berteraskan kepada perundangan Allah dan Rasul.  Oleh itu, mereka boleh bertolak ansur dengan masyarakat bukan Islam  dalam hal berkaitan dengan urusan keduniaan dan kebendaan.
 Masyarakat bukan Islam diberi perlindungan dalam negara Islam jika  mereka menghormati dan memahami sensitiviti orang Islam dalam hal ehwal  tradisi dan keagamaan. Umat Islam diharamkan menceroboh rumah ibadat  orang-orang bukan Islam dan memaksa mereka mengamalkan budaya dan  tradisi agama Islam. Islam mengajar manusia supaya menjadi masyarakat  berilmu dan bertamadun. 
 Masyarakat yang bertamadun gemar mempelajari pelbagai bahasa dan ilmu  pengetahuan daripada pelbagai kaum. Oleh itu, mereka tidak akan  menjadikan bahasa dan tulisan bangsa lain sebagai agen yang boleh  menghapuskan budaya dan tradisi mereka.
 Sepatutnya, masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama  menunjukkan minat dan kerjasama dalam mempelajari pelbagai bahasa untuk  memperkayakan bahasa dan ilmu pengetahuan kerana ilmu-ilmu warisan dan  khazanah sesuatu kaum itu hanya dapat dimiliki secara menguasai bahasa  mereka. Perkara seperti ini perlu diserap dalam minda masyarakat  Malaysia. 
 Sikap terlalu mendesak dan keras untuk mendapat hak dalam tulisan dan  bahasa sehingga menghapuskan bahasa orang lain secara mendadak bukan  merupakan ciri orang yang bertamadun. 
 Ini adalah ciri kepimpinan komunis yang menghapuskan nilai agama dan  budaya secara keras dan spontan. Individu yang mempunyai pemikiran  begini sukar untuk hidup bersama dengan masyarakat berbilang bangsa dan  agama.
 Ahli-ahli politik yang terlalu gemar menggunakan isu-isu bahasa dan  tulisan sebagai cara untuk membangkitkan emosi masyarakat merupakan  orang yang kurang matang dalam mengendalikan urusan berkaitan dengan  tamadun dan nilai keilmuan dalam kehidupan di dunia ini. 
 Malangnya ahli-ahli politik di negara ini sama ada beragama Islam  atau bukan Islam menjadikan isu bahasa sebagai satu cara untuk  membangkitkan emosi perkauman dan perpecahan. 
 Sedangkan, pengalaman hidup bercirikan masyarakat majmuk merupakan  asas kepada kemajuan negara Malaysia yang amat unik dan sukar untuk  diamalkan oleh negara-negara dunia ketiga yang lain.
 Persoalan yang sering dibangkitkan masa kini ialah apakah bentuk  perundangan yang perlu digariskan oleh kerajaan untuk mengekalkan  perpaduan kaum dan keamanan negara?
 Persoalan ini perlu dijawab oleh para pemimpin politik dalam negara  ini. Jika mereka memperjuangkan keamanan dan perpaduan kaum, maka mereka  perlu memahami sensitiviti kesemua kaum dalam negara ini, bukannya  menunjukkan sikap bongkak dan angkuh apabila merasai diri sudah kuat dan  berpengaruh. 
 Sikap dan tingkah laku begini mencerminkan diri mereka sebagai orang  yang tidak bertamadun dan bercirikan kepemimpinan yang keras dan kejam  terhadap orang bukan sebangsa dengan mereka. 
 Oleh itu, masyarakat perlu meneliti dalam pemilihan pemimpin mereka  supaya keamanan dan perpaduan kaum dalam negara ini diperkukuhkan lagi. 
  Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/