Hari itu hari ketiga  Bengkel JUJ diadakan….Oleh sebab perbincangan
hari Khamis malam Jumaat berakhir agak lewat, aku mengambil keputusan untuk
tidur sahaja di hotel. Pilihan yang terakhir kerana  tidur di rumah lebih selesa. Lagipun jarak
antara rumahku dengan tempat mesyuarat di Bukit Gambang Resort itu, tidaklah terlalu jauh..
Malam tersebut, aku tidur sendirian kerana  tiga orang rakan sebilik yang lain, tidur di
rumah masing-masing. 
Pagi hari kejadian, aku bangkit dari tidur kira-kira pukul 6.00 pagi….Selesai solat subuh, aku sempat membuka komputer ribaku untuk menyemak soalan dan skema yang telah kami siapkan buat kali terakhir, sebelum memuatkannya ke dalam cakera padat yang dibekalkan oleh pihak urus setia. Soalan dan skema sebahagiannya telahpun aku cetak pada malam tadi – sebelum aku pulang ke bilik penginapan
Kira-kira jam 7.30 pagi, aku menamatkan tugasku
mengedit  soalan, lantas aku bergegas ke
bilik air. Seperti biasa , aku mulakan rutin harianku dengan menggosok gigi.
Seterusnya aku ke bahagian  pancuran air
untuk mandi…Seusai mandi, perkara yang tidak kujangka berlaku. Permukaan lantai
yang licin itu   menyebabkan aku hilang
kawalan. Aku jatuh ke belakang. Kepalaku terbentos ke lantai. Pandanganku  gelap seketika.  
Kalimat “tasbih, tahmid, tahlil dan takbir” aku
lafazkan berulang kali apabila aku mampu bangkit daripada tempat aku jatuh. Aku
lantas merangkak dengan memaut singki bilik air. Walaupun begitu,  pada peringkat awal , aku seakan-akan hilang
perimbangan. Syukur alhamdulillah, akhirnya aku mampu bangkit seperti sediakala.
Aku cuba melihat wajahku di cermin dan seterusnya segera keluar dari bilik air
untuk bersiap kerana  waktu mesyuarat
akan bermula tepat 8.00 pagi. 
Sakit pada bahagian belakang kepalaku kian
terasa, namun  aku cuba menahannya kerana
tiada siapa yang ada di bilik untuk kuminta pertolongan. Dalam keadaan kalut
begitu, tiba-tiba aku menerima panggilan daripada  Cikgu Asmui yang telahpun sampai di Dewan
Mesyuarat. Aku segera mengadu kepadanya hal yang  menimpaku. Cikgu Asmui  bergegas datang mendapatkanku. Secara
kebetulan pula, Cikgu Nazir baru sampai. Justeru, setelah mendapat kebenaran
urus setia, aku dikejarkan ke klinik berdekatan (Klinik Gambng)  untuk 
mendapatkan pemeriksaan doktor serta rawatan susulan. Malangnya, tiada doktor
yang bertugas pagi itu. Yang ada hanya pembantu perubatan. Ramai  pula  pesakit yang menunggu untuk dirawat sedangkan
aku mendapat giliran ke-17.
Beberapa lama menunggu, tiba-tiba Cikgu Asmui
menerima panggilan daripada Zulhafnie @ Bob (Pegawai Yayasan Pahang) yang  menawarkan 
diri untuk membawaku ke bandar bagi mendapatkan pemeriksaan doktor  di klinik swasta. Aku dibawa ke Klinik
Philips di Taman Tas. Kebetulan pula, Datuk Dr K. Kunaraj bertugas pada pagi
itu.  Setelah membuat pemeriksaan, Doktor
Kunaraj menyarankan agar aku mendapat rawatan susulan di Hospital Besar
Kuantan.
Bob bagaimanapun membawaku ke Darul Makmur
Medical Centre (DMMC) , hospital pakar yang baru beroperasai  untuk aku mendapat rawatan susulan. Sesampai
di hospital tersebut, kami disambut oleh seorang doktor berbangsa India.
Berdasarkan surat  rujukan daripada Datuk
Dr  Kunaraj  yang   kami bawa, Doktor tersebut menyarankan agar
aku menjalani  CT Scan  untuk memastikan tidak berlaku pendarahan  dalaman. 
Aku  dibawa ke bilik
pengimejan  menaiki kerusi roda.
Proses  CT Scan mengambil masa hampir 30
minit.  Imej kepalaku kelihatan daripada  pelbagai sudut.
Alhamdulillah, berdasarkan  pemerhatian awal,  doktor memberitahuku  bahawa tidak ada pendarahan dalaman dikesan.
Oleh sebab tidak terdapat sebarang simptom  seperti muntah-muntah berlaku, aku dibenarkan
pulang  untuk berehat di rumah. Namun
begitu, aku masih tidak boleh bersenang hati kerana  laporan pemerhatian sebenar hanya akan
diberikan oleh Doktor Pakar Radiologi pada hari Isnin . 
Walau bagaimanapun, aku amat terharu dengan
layanan mesra  yang diberikan  oleh kakitangan hospital berkenaan
sepanjang  aku menerima rawatan. Terima
Kasih tidak terhingga kepada pihak urus setia,  khususnya  Encik 
Mohamad Mat Lihim dan pihak Yayasan Pahang  yang menanggung sepenuhnya kos rawatan
sepanjang aku berada di hospital. Juga rakan-rakan yang meneruskan tugas-tugas
akhir menyiapkan  bahan JUJ Bahasa Melayu
1 sehingga selesai  Terima Kasih!!

.jpg)