- ABU ABDILLAH RIDUAN KHAIRI  Isu membuang dan membunuh bayi semakin menjadi-jadi. Yang dilaporkan  media sahaja sudah hampir setiap hari. Laporan media adalah ibarat ‘ice  berg’, yang tersembunyi jauh lebih besar dari yang nampak.
Masalah membuang bayi bukan masalah sehari atau seminggu.  Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka  yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina.  Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa.  Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan  bebas antara lain jantina.
Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina,  sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan  yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)
Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :  “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada  perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu  mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni :  Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan  membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).
Anak luar nikah dan zinaKelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa.  Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008  lebih dari 250,000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa  bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri ditinggalkan suami,  sebaliknya hasil hubungan haram.
Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar  menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran  ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan,  sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.
Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik.  Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang  mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja,  dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.
Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.
Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan  untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar  lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar  wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk  menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali  tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya daripada pihak atasan.
Solusi undang-undang!Lantas kita tertanya-tanya apakah solusi atau tindakan yang boleh  diambil untuk mengekang barah ini daripada merebak. Tidak sedikit jumlah  wang sudah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan bermacam-macam  program dan kempen. Namun kesannya masih sangat minimum.
Nanti ada yang bertempik, “tukar kerajaan!”. Atas alasan pihak  kerajaan kurang komited dengan isu-isu sosial. Benarkah begitu? Benarkan  begitu mudah menangani permasalahan umat dengan hanya menukar parti  yang memerintah?
Sejarah moden Amerika mencatatkan, kempen besar-besar terhadap  bahaya arak telah pun dilakukan pada awal kurun ke-19. Arak diwartakan  haram, dan hukuman penjara dikenakan kepada sesiapa yang meminumnya.  Hasilnya, penjara penuh sedangkan masalah arak tidak diselesaikan.
Penguatkuasaan undang-undang atau menggubal undang-undang yang  tegas bukanlah jalan pintas untuk membaiki situasi ini. Ini bukan metode  yang ditunjukkan dalam sejarah tamadun manusia. Juga bukan metode yang  ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ketika merubah orang Arab yang bukan  siapa-siapa menjadi bangsa yang kuat lagi dihormati.
Solusi metode kenabianSejarah Arab pasca Islam mencatatkan kerosakan akhlak dan sosial yang  sangat teruk. Tidak kalah bandingnya dengan apa berlaku pada kita hari  ini. Semuanya terakam dalam kitab-kitab sirah seperti ‘Raheeq  al-Makhtum’ karangan Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri (telah  diterjemahkan oleh Yadim)
Ketika al-Quran mula diturunkan di Mekah, orang-orang Arab  bergelumang dengan macam-macam kerosakan. Di sebalik arak, zina, judi  dan jenayah yang lain, Allah memerintahkan Rasulnya untuk ‘sekadar’  membaca. Melalui lisan Jibrail, Nabi Muhammad disuruh membaca. Bahkan 5  ayat pertama hanya menyebutkan tentang membaca, segumpal darah dan pen  (qalam).
Prinsip yang pertama dapat diambil dari situasi ini ialah,  setiap situasi perlu ditangani dengan pendekatan ilmiah dan kefahaman  yang benar. Kata Allah, “Ketahuilah (fa’lam), Tiada Tuhan layak disembah  melainkan Allah” (Surah Muhammad: 19). Untuk beriman sahaja, perlu  kepada ilmu dan pengetahuan. Sebesar-besar urusan pun tetap dimulai  dengan pengetahuan, apatah lagi menangani situasi sosial. Ia tidak akan  berjaya selamanya, selagi kempen dan program sekadar berlegar poster  yang emosional atau sambil berkonsert sambil beramal (konon).
Nanti akan ada pula yang tertanya-tanya, yang bobrok akhlak dan  sosialnya bukankah sebahagiannya golongan terpelajar. Sebelum menghukum,  nanti dulu. Jawapannya ada di sini.
Mentauhidkan AllahPerintah membaca atau berilmu dalam al-Quran tidak berhenti sebatas 5  ayat. Sunnah mencatatkan ayat-ayat al-Quran berikutnya yang turun di  Mekkah membawa satu mesej yang sepunya. Semuanya mengajak umat  mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik. Lantas bagaimana pula dengan  arak, zina, buang bayi dan urusan lain. Adakah Tuhan terlupa, atau  Jibrail yang salah memilih bingkisan? Tentu sekali tidak, Allah Maha  Sempurna tidak pernah lupa dan lalai walau setengah saat pun. Dan  Jibrail tidak pernah ingkar walau pada satu perintah Allah pun.
Sejarah mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah  mengutamakan isu akidah yakni memurnikan keyakinan umat dari sebarang  bentuk perbuatan syirik. Mesej Allah jelas, jernihkan semula hubungan  Allah dan hambanya, nanti Allah akan bantu membaiki masalah-masalah yang  lain.
Proses memurnikan tauhid umat ibarat memasang pasak atau cerucuk  dalam mendirikan sebuah bangunan. 13 tahun adalah masa yang diambil  oleh Rasul untuk menanamkan cerucuk tauhid di dalam dada-dada sahabat.  Sehingga mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk melafazkan  iman. Kemuncaknya berlaku apabila mereka ‘diusir’ dari kampung halaman,  meninggalkan keluarga dan harta. Semuanya adalah kesan dari akidah yang  benar.
Ini terlihat di Madinah. Selepas akidah dan keyakinan umat bulat  bergantung kepada Allah, setiap perintah-perintah lain ditaati tanpa  bantah. Manakala setiap larangan Allah dijauhi tanpa keluh-kesah.
Ketika ayat mengharamkan arak diturunkan di Madinah, umat Islam  dengan rela hati pulang ke rumah terus memecahkan tempayan-tempayan arak  di dapur-dapur mereka. Sehinggakan ahli sejarawan mencatatkan  tanah-tanah kering Kota Madinah seakan-akan banjir dengan limpahan arak  yang ditumpahkan. Inilah kesan tauhid dan akidah yang benar.
Jawapan kepada terlibatnya golongan terpelajar dalam masalah  akhlak dan sosial ialah ilmu mereka pelajari tidak bertunjangkan akidah  yang benar. Tidak memadai dengan hanya menghafal Rukun Iman yang enam  atau menilik sifat 20 yang diragui kesahihannya sahaja.
Semoga Allah mengurniakan generasi kita ilmu bermanfaat seperti doa yang diajarkan Nabi,
“Ya Allah, berikan kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik  dan amalan yang diterima” (Hisnul Muslim, Dr Said bin Ali Wahf  Al-Qahthani).
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/