Saya bagi pihak rakan-rakan dari kementerian sesungguhnya mengucapkan  setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran saudara  dan saudari pada pagi ini untuk ke sekian kalinya kita melangkahkan kaki  ke Auditorium Perpustakaan Negara ini.  Sebagaimana maklum, di sinilah dahulu kita melancarkan buku demi buku  ataupun program demi program yang berkaitan dengan seni budaya atau apa  jua yang boleh melonjakkan tamadun di tanah air yang dikasihi. Atas  usaha-usaha itu juga, kita berkumpul pada pagi ini bagi meningkatkan  semula azam ke arah mencetuskan minat supaya tulisan jawi amnya dan Utusan  Melayu hidup terus kembang dan maju. 
 Saya masih ingat bagaimana sukarnya kita pada 2006 untuk menghidupkan  semula cetusan perasaan dan sokongan terhadap akhbar ini. Setelah kita  melangkah sekian lama dalam jurusan-jurusan yang pada saat ini tidak  wajar kita sebutkan satu persatu, maka timbul persoalan yang paling  penting untuk dijawab iaitu bagi kita bertanya kepada diri sendiri,  bagaimanakah akhirnya skrip budaya, skrip tamadun tulisan jawi ini di  sisi masyarakat Melayu dan di sisi masyarakat Malaysia sendiri. 
 Saya memang sedar tulisan skrip Mandarin boleh mendokong industri  penerbitan yang menguntungkan dan saya diberitahu bahawa, akhbar seperti  Nan Yang Siang Pao, China Press serta Sin Chew Jit Poh  melonjak dan terus melonjak, bukan sahaja dari segi penerimaan  masyarakat rakan-rakan Tiong Hua kita tetapi dari segi perusahaan  perniagaan itu sendiri.
 Mengenai tulisan Tamil yang didokong oleh akhbar-akhbarnya juga  menjadi tamparan hebat kepada masyarakat Melayu di negara ini tentang  skrip tulisan jawi kita sendiri yang tidak dapat muncul ke tahap seperti  yang dilaksanakan bagi rakan-rakan kita di bawah etnik yang dua itu.
 Bagi saya, tentu sekali hal ini berkaitan dengan pelbagai aspek  persoalan, antara persoalan-persoalannya adalah soal budaya, soal  pendekatan yang kita harus pecahkan dan atasi iaitu pembudayaan itu  sendiri. Soal ini amat berat dan mendalam, tentu sekali tidak wajar dan  tidak mampu bagi kita berpolemik. Ia mesti menjadi sebagai satu ukuran  kepada pemikiran orang Melayu sendiri. 
 Tetapi soalnya adakah masyarakat Melayu itu sendiri berfikir ke arah  itu, atau mereka hanya senang melihat apa yang dianggap sebagai  kesimpulan-kesimpulan bahasanya sendiri. Adakah orang Melayu kita sedar  bahawa bahasanya sendiri sedang berada pada graf yang menurun dari segi  sebenar. Saya tanya rakan-rakan, antara lapan yang menjawab, dua kata  benarlah itu tetapi yang enam lagi hanya melebarkan senyum kepada saya.
 Aspek pesimis ini kita lihat dahulu, kita lihat bagaimana Latin  hilang daripada pengaruhnya, kita lihat bagaimana tulisan Palawi Melayu  hilang setelah ia diinskripsi. Hal-hal ini bukan hanya menimbulkan inti  pemikiran kepada para sarjana atau mereka yang menganggap diri mereka  sebagai sarjana tetapi ini adalah landasan sejarah kita.
 Apakah yang harus kita lihat semasa sempatnya kita bercakap secara  spesifik sedikit tentang budaya dan tulisan serta bahasa kita. Pertama,  saya tidak segan untuk menyatakan semula iaitu selagi orang Melayu tidak  pasif terhadap budayanya, kepada seninya, kepada bahasanya, selama  itulah kita terpaksa tanggal topi minta derma untuk menghidupkan budaya  kita sendiri.
 Ini merupakan satu perkara yang memalukan bagi kita. Sepatutnya Utusan  Melayu diberi sebesar-besar sokongan, sepatutnya tulisan jawi orang  berfikir dengan lenggok skripnya walaupun dengan wajah baru kita tukar  sedikit, namun skrip jawi itu, ayat-ayat dalam al-Quran itu, ayat-ayat  dalam hadis itu perlu kembali menjadi igauan kita atau impian kita.
 Oleh kerana ini tidak berlaku, maka apa yang disebut oleh Ruth  Benedict (buku Pattern of Culture) itu benarlah iaitu kita tidak  dapat keluar dari kepompong yang menyekat kita untuk bertindak proaktif  menerusi budaya kita sendiri.
 Saya telah bandingkan iaitu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang  bahasanya sekarang bukan lagi sekerat ular tetapi hanya seperhitungan,  sekecil-kecil dan sependek-sependek yang dapat kita baca. 
 Di negara Arab, didapati SMS itu masih dalam jawi sebahagiannya  seperti di Mesir, Jordan dan di beberapa tempat. Tetapi di sini, kita  tentu tidak memikirkan hal itu semua, jadi bagi kita untuk mempersoalkan  dalam konteks komunikasi, apakah wajar atau tidak kita cuba menskripkan  jawi menerusi SMS. 
 Ini namanya local content atau kandungan tempatan. Apabila  dilihat dalam telefon bimbit, bahasa Mandarin boleh di SMS dari Hong  Kong ke Singapura dan juga dari setempat ke tempat yang lain.
 Apa yang ingin saya cetuskan adalah minda terbuka untuk membantu  bibit budaya kita kembali. Soal yang penting dijawab kini apakah agensi  budaya yang menyatukan kita adalah bahasa. Tetapi kalau bahasa tidak  tercetus dalam hati kita untuk menggemblengkan tenaga, kita tidak akan  sampai ke mana. 
 Kita hanya boleh menyanyi dalam lagu kita, bersenandung lagu lama  dalam bahasa kita, tetapi kita tidak menjiwai bahasa kita.
 Soalnya, apakah pembaharuan yang boleh kita bawa ini memerlukan  pendekatan politik. Bukan itu sahaja tetapi kesedaran di kalangan kita  seperti perkara 160 Perlembagaan Malaysia iaitu seseorang yang berbahasa  Melayu secara lazim beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat  Melayu. 
 Adakah ketiga-tiga itu kita isi dengan ketiadaan jawi kita, dengan  salahnya kita bercakap sekarang, dengan rencong dan sukarnya kita  berhubung dalam bahasa Melayu dan sentiasa menggunakan  perkataan-perkataan orang lain. 
 Jawapan itu ada di dalam, cuma bagi kita yang hadir dan bagi mereka  yang membuat dasar, mungkin apa yang disebut sebagai kilatnya beliung  sudah ke kaki dan kilatnya cermin sudah ke muka.
 Dalam konteks inilah, saya mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan  Negara, kepada Utusan Melayu, kepada cerdik pandai dan  rakan-rakan yang masih tersisip di dalam dadanya untuk berjuang.
 Sebab itu apa yang diserukan oleh Datuk Aziz Ishak perlu kita ambil  sebagai natijah baru iaitu disisipkan dalam pemikiran kita dan saya  pohon juga kepada Kementerian Pelajaran supaya soal tulisan jawi ini  diperluaskan sedikit formatnya dan juga anjuran kita menerusi aktiviti. 
 Oleh yang demikian, saya suka memberikan komitmen kepada Utusan iaitu  komitmen yang telah kita berikan selama ini sejak 2006 akan kami  teruskan. 
 Tentu sekali orang-orang yang berskripkan yang lain seperti yang saya  sebutkan tadi akan bertanya, apakah hanya dengan sokongan kerajaan  sahaja maka Utusan dapat menerbitkan akhbar Utusan Melayu? Kita  mahu menerangkan dan menyatakan kepada pengkritik kita, akan sampai  masanya orang Melayu mampu mengeluarkan akhbar Utusan Melayu  dalam konteks tulisan jawinya sendiri tanpa sumbangan orang lain. 
 Kita harus mencipta beberapa permulaan. Pertama adalah bagi kita  menyedarkan korporat-korporat yang berwajib untuk menyumbangkan kepada  penyelidikan dan promosi tulisan jawi ini menerusi pensosialan  memasyarakatkan jawi dalam beberapa aspek. 
 Beberapa program kuiz, program mengarang dan juga penonjolan di  televisyen serta radio perlu kita lakukan. Gurindam, pantun, perumpamaan  mesti kita galakkan semula dan mengenal skrip jawi itu sebagai skrip  budaya dan tamadun kepada orang Melayu. 
 Mari kita lihat bagaimana Tun Sri Lanang menulis bukunya, masa itu  rumi tidak ada maka sejarah Melayu lahir. Bagaimana Hamzah Fansuri  menjadi seorang intelek dan menyumbangkan kepada penulisannya, bagaimana  undang-undang 99 Negeri Perak ditulis.
 Semua ini mesti menaikkan semula perasaan hilang pusaka dan sekiranya  hilang pusaka ini dapat kita rasai, kementerian ini dengan rakan-rakan  di swasta dan juga kawasan-kawasan perjuangan yang lain, kita peruntukan  bagi mereka azam dan program itu.
 Setelah itu, mungkin dapat kita lihat semula bagaimana jawi  dibudayakan dalam penulisan dan untuk itu kementerian ini ingin  mencadangkan bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka kita terbitkan  cerpen dan novel pendek dalam tulisan jawi.
 Selain itu, parti politik yang utama, UMNO seharusnya memainkan  peranan mengedarkan akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan di  bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan. 
 Sekiranya kita mempunyai 138 pejabat penerangan di bawah kementerian  ini, saya kira setiap hari Isnin harus kita letakkan edisi Utusan  jawi di meja jabatan penerangan itu.
 Inilah sebahagian daripada langkah-langkah yang mungkin dapat kita  laksanakan secara sementara sebelum penggemblengan pemikiran dan tenaga  dapat kita juruskan seterusnya.
 Janganlah dirasakan bahawa saudara berseorangan dalam hal ini. Kami  akan meneruskan peranan sebagai sahabat dan juga sebagai orang yang  boleh diharapkan semasa kita memerlukan pertolongan. 
 Yang lebih penting pada saya adalah orang Melayu sendiri harus  dijagakan daripada tidur mereka dan menghargai tulisan jawi ini. Soalan  terakhir, adalah setakat mana mereka boleh berbuat demikian. Ini harus  kita juruskan kepada program-program yang disajikan menerusi beberapa  kementerian termasuk pelajaran, kementerian ini sendiri dan beberapa  kementerian lain.
 Menentukan had-had dan peranan kementerian adalah satu hal, tetapi ia  merupakan satu hal yang lain bagi masyarakat sendiri untuk mengambil  bahagian. 
 Dalam keadaan sebeginilah maka pada tengah hari ini, kita harus  melafazkan kalau tadi kita telah disebutkan dalam selokanya apa yang  harus kita dakapkan di dada kita berhubung dengan tulisan jawi.
 Pulasan berduri di seberang
 Ada jua di kampung Pandan
 Tulisan jawi tetap dikenang
 Selama hayat dikandung badan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/