Memaparkan catatan dengan label Teks Ucapan pilihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teks Ucapan pilihan. Papar semua catatan

Isnin, 30 Mac 2015

ISU PENDIDIKAN : Kembali kepada tujuan asas pendidikan


ALHAMDULILLAH, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia pada pagi ini. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan termasuk para pegawai kementerian, guru, pensyarah, mahasiswa, murid-murid dan tidak lupa juga kepada para ibu bapa di seluruh negara.

Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.

Pada penghujung 2014, beberapa negeri di negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa. Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk dua orang guru kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd. Yusof dari Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu.

Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama hamba-hamba-Nya yang soleh. Al-Fatihah.

Saya juga berharap agar guru-guru, pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian Ilahi ini. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru-guru dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda banjir. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempurna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa.

Ketika saya sedang berucap di hadapan saudara saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum dibuka kerana terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan supaya kelonggaran diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih lewat daripada biasa supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerja-kerja pembersihan sekolah. Apabila sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan murid-murid boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan selamat.

Saya juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda yang musnah, rumah yang rosak atau kehilangan tempat tinggal dan pada masa sama perlu membuat persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu saya telah membuat keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih awal daripada biasa supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak. Mudah-mudahan bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menghadapi musibah ini.

Saya sendiri telah melawat beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan Sekolah Kebangsaan Lambor Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan sekolah seperti perabot, perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan alat-alat bantuan mengajar yang musnah.

Oleh itu, saya telah pun mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad supaya menyalurkan peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir untuk membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta penggantian peralatan yang musnah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa dari universiti, politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua sukarelawan sama ada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau pertubuhan. Tidak lupa juga kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), para pegawai, anggota keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus untuk menyelaras misi bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang bermurah hati menyumbangkan dana dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan yang telah dilaksanakan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan dermawan yang budiman, saya telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan sijil penghargaan khas kepada mereka.

Saya amat terharu kerana di sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir sama ada menerusi sumbangan tenaga, masa mahu pun wang ringgit. Saya ucapkan syabas dan tahniah.

Untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir.

Dalam musibah banjir baru-baru ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu jumlah yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam juga perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan baik.

MEMPERKUKUHKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Sepanjang tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah mencapai KPI yang ditetapkan.

Selain itu, proses penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan Tinggi) yang akan menjamin kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di sektor pelajaran dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.

SEKTOR SEKOLAH

Transformasi pendidikan yang dimulakan pada 2013 melalui pelancaran PPPM 2013-2025 akan terus diperkukuhkan pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad Skor Menteri 2015 merangkumi 20 inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada Keberhasilan Murid berpandukan 6 Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam melaksanakan apa yang telah dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau melalui Kad Skor Menteri, laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun.

Saya yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada hujung tahun ini. Ini termasuk memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotisme akan terus diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Untuk memastikan kejayaan gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua mulai 2016, saya menyeru agar peranan dan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL

Untuk memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional dapat ditingkatkan.

Bagi politeknik pula, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan menerusi pelaksanaan program akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu, saya berharap agar lebih banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan antarabangsa seperti Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Setakat ini, tiga buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah mendapat anugerah emas APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah mencapai standard antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan global.

Selain politeknik, Kolej Komuniti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara kerjasama pintar bersama industri automotif pada 2014. Pada tahun ini, kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.

PENDIDIKAN TINGGI

Dalam menghadapi cabaran globalisasi, peranan institusi pendidikan tinggi dilihat lebih mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent) agar transformasi negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy) dapat dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.

Bertitik tolak daripada aspirasi yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor pendidikan tinggi disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu diambil ialah:

Pertama, merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin, memikirkan bentuk pekerjaan yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta dan penyelesaian masalah yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi tuntutan pembangunan negara, aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi peradaban masa depan perlu diberikan penekanan.

Kurikulum abad ke-21 juga perlu dibentuk selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran semasa serta menekankan penggunaan Higher Order Thinking and Creative Skills (HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik. Seterusnya, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian; pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.

Kedua, memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Dalam agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan memainkan peranan penting untuk menghasilkan inovasi dan produk yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai contoh, Public-Private Research Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan satu inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini.

Melalui inisiatif ini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersialan kepakaran serta hasil R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan. Peranan IPT dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di samping mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep Quadruple Helix, iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia, kerajaan dan komuniti. Bagi 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT digalakkan untuk memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan

Ketiga, memperkukuhkan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negara-negara luar dan menaikkan ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Jerman, Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan kerjasama pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE.

Kerjasama ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia di arena global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti negara menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersialan serta pemindahan teknologi. Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada masa ini dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan ranking 50 ke atas, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sains Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada kedudukan 51-100, 5 bidang subjek berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang subjek berada pada kedudukan 151-200. Walaupun kedudukan ini agak memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

IPTA perlu mengambil, membangun dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik. Mereka merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta sumbangan kepada industri dan masyarakat. Perkara ini dapat dilakukan menerusi insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan penyediaan persekitaran yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan kecemerlangan bakat.

Kementerian sedar dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, pemberian autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan IPTA lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini kementerian amat menekankan prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan. Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun universiti diberikan autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab ke atas autonomi tersebut.

CABARAN NEGARA PADA 2015 DAN SETERUSNYA

Melangkah ke hadapan, seluruh warga Kementerian Pendidikan mesti sentiasa menyantuni harapan masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu sama, kita juga mesti menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran utama yang memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara kita.

Cabaran pertama ialah perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang, rantau ASEAN akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. Perkembangan ini pastinya akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara-negara ASEAN.

Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN bermula pada tahun ini, Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka antara negara anggota. Dalam konteks ini, sektor pengajian tinggi khususnya perlu merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih terbuka.

Cabaran kedua ialah peningkatan dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang. Menyedari keperluan untuk sektor pendidikan berkembang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai negara peneraju seperti AS, China dan Australia. Kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif baharu seperti penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penanda aras dan mobiliti pelajar.

Kejayaan kita dalam bidang pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita sering kali menjadi sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF dan Bank Dunia terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan di beberapa buah negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan Malaysia dalam 7th Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014 baru-baru ini contohnya, menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara Islam ke arah kecemerlangan pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya.

Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan pengkomersialan khusus, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan dan juga penyelidikan dan inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota OIC. Atas kepercayaan yang diberikan, Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialization and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.

Cabaran yang ketiga ialah mengupayakan peranan kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu daripada peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan dalam RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat” iaitu menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara.

Untuk memenuhi tuntutan ini, kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi. Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi (high impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan bertransformasi.

Cabaran yang keempat ialah kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi juga telah menghasilkan game-changer iaitu perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan Internet secara berleluasa telah mewujudkan komuniti Internet yang secara agresif berusaha untuk mendapatkan maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan siber.

Atas nama kebebasan, komuniti Internet ini telah menyebarkan pelbagai maklumat melalui jaringan-jaringan siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun tidak mudah menjadi “viral” umpama sel kanser dan virus yang merebak menembusi segala bentuk benteng dan halangan. Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun mempunyai banyak kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN NILAI, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN

Keempat-empat cabaran yang saya sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.

Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni.

Justeru, saya berharap agar institusi pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan penekanan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

Selain itu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang berleluasa sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah runtuh dan juga banjir besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini. Sebaliknya, kita mestilah sentiasa mementingkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa hadapan.

Dalam konteks ini, saya ingin memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh Jeffrey D Sachs, seorang pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya Common Wealth: Economics for a Crowded Planet yang saya fikir wajar direnung oleh kita semua. Beliau menyebut:

The world’s ability to combine long-term economic growth with environmental health is heavily debated. Yet one thing is certain: the current trajectory of human activity is not sustainable. If we simply do what we are doing on the planet with unchanged technology, the environmental underpinnings of global well-being will collapse. The limits of the environment itself will defeat our global aspirations for prosperity.

Untuk mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya universiti-universiti di negara kita memberikan fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan.

Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.

Satu lagi bidang utama yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah pengurusan bencana. Bidang ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan satu pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana.

Ini termasuk aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik, saya percaya kita akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan kerugian berbilion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.

Justeru, sukacita saya mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini.

Jelas sekali bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini adalah selaras dengan tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan yang holistik, peka terhadap alam sekitar dan bertanggungjawab.

Selain itu, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional perlu terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita tidak boleh sama-sekali mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur.

Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insan kamil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PESANAN KEPADA GURU, PENSYARAH, PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU BAPA DAN KOMUNITI

Kepada guru-guru dan pensyarah, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang.

Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia. Sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

Addabanī rabbī fa ahsana ta’dībī

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”.

Kepada para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.

Kepada ibu bapa, saya amat mengharapkan sokongan dan penglibatan anda semua dalam menjayakan dasar dan program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang meliputi inisiatif-inisiatif baharu daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita.

Namun, saya percaya kita memerlukan satu usaha kolektif antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk menjayakan hasrat pendidikan Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan daripada para ibu bapa dan masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda semua terhadap segala inisiatif Kementerian Pendidikan untuk melonjakkan kualiti pendidikan.

Kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan sebahagiannya merupakan pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah dasar yang boleh dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin berpesan kepada pegawai-pegawai saya di kementerian, apabila kita menggubal sesuatu dasar kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan di bawah.

Tanya diri kita adakah dasar yang kita gubal itu boleh dilaksanakan dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana dasar mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting lagi, adakah dasar itu boleh diterima dengan baik oleh semua pemegang taruh (stakeholders)?

Kata kunci kepada persoalan ini adalah engagement atau penglibatan semua pemegang taruh dalam proses pembuatan sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh, kemudian kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

Saya percaya bahawa proses engagement ini telah pun dilaksanakan di kementerian kita. Sebagai contoh, penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan engagement dengan ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu perancangan yang komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara. Teruskanlah proses engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang terbaik daripada setiap dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh kementerian.

PENUTUP

Saya yakin transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa mengenal erti putus asa, be-kerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat dengan komitmen yang tinggi lagi berintegriti. Kita perlu berusaha dan berubah daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks ini, marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Al-Ra’du, ayat 11:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.

Sehubungan ini, saya, Menteri Pendidikan II dan Timbalan-Timbalan Menteri sebagai anggota pentadbiran menaruh harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua Setiausaha, Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II, Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh warga kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan aspirasi dan sasaran kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan kita. Insya-Allah.

Ruyung dilelas sagu bersisa

Letih dan lelah tidak diendah

Berpayung menggalas amanat nusa

Kerja yang rumit menjadi mudah

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Perutusan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan di Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 16 Januari 2015.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 7 September 2013

Teks Ucapan Menteri Pendidikan Sempena Pelancaran PPPM 2013-2025



Gelombang transformasi pendidikan

11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah gagah.

Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa, hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.

Kelainan dalam penghasilan PPPM

Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.

Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

Tumpuan kepada keberhasilan murid

PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.

Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.

Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh, Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai, ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.

Dasar bahasa

Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.

Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.

Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain di seluruh sekolah.

Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.

Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.

Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan Kadazan Dusun.

Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.

Pendidikan Islam

Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.

Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan

Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.

Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh. Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.

Mengupaya pemimpin sekolah dan guru

Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.

Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan dilaksanakan.

Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan.

Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM

Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.

Penubuhan PADU

Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.

Penglibatan pihak berkepentingan

Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga Kementerian sahaja.

Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.

Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu meningkatkan PPPM ini.

Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil yang luar biasa.

Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.

Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau yang malas langsung kita akan sediakan video.

Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa tujuan kita.

Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 2 Februari 2013

AMANAT 2013 MENTERI PENGAJIAN TINGGI : Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia


1. Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2013 pagi ini. Amanat tahun baharu ini telah menjadi satu acara tahunan kementerian di mana kita berpeluang bukan sahaja menghimpunkan satu keluarga besar yang mempunyai persamaan menggalas amanah membangunkan sektor pengajian tinggi negara, tetapi membolehkan kita mendapat gambaran hala tuju sektor ini bagi tahun 2013 yang sewajarnya menjadi panduan dan rujukan oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, peluang ini diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat dan semua pemegang taruh, apakah perancangan perkembangan haluan sektor pengajian tinggi negara khususnya dalam menjayakan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

2. Amanat saya pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Hal ini penting kerana pengajian tinggi bertujuan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Saya percaya, daya saing Malaysia dan kelestariannya amat bergantung kepada sejauh manakah negara menjayakan kemampuannya menggerakkan ekonomi berinovasi, memantapkan sistem pengajian tinggi, menjamin Institusi   Pengajian Tinggi yang berkualiti, membangunkan mahasiswa IPT sebagai bakat negara dan mengoptimakan peranan pengajian tinggi di peringkat global. Dan inilah asas dalam peranan sektor pengajian tinggi yang akan menentukan daya saing Malaysia masa kini dan akan datang.

3. Seperti kita sedia maklum, cabaran dan perubahan lanskap pengajian tinggi amatlah dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat timbulnya keprihatinan yang lebih tinggi orang ramai akan kepentingan pengajian tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat, yang pada asasnya bermula dari penguasaan ilmu seseorang individu.

Dalam era perkembangan ilmu yang pesat, penghasilan inovasi serta tahap interaksi pada peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti rakyat negara ini, agar menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara sekaligus memantapkan tahap persaingan global Malaysia.

4. Lebih penting, fungsi baharu institusi pengajian tinggi dalam merakyatkan ilmu memerlukan perubahan paradigma yang akan memberi kesan kepada cara kita berfikir, mengatur strategi dan beroperasi. Justeru itu, fungsi baharu ini juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat serta juga perlu mengambil kira akan transformasi dasar pendidikan pada peringkat pra-sekolah dan sekolah serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

Kesemua cabaran ini mendorong kementerian untuk menilai semula pelan, polisi dan perancangan pengajian tinggi yang sedia ada terutama kerelevanan teras utama dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

5. Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa PSPTN yang dilancarkan pada tahun 2007 akan dikaji semula. Ini bertujuan menambah baik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

Kajian PSPTN ini akan bermula bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014. Insya- Allah.

PERTAMA: MEREKAYASA PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

6. Apabila masyarakat menyatakan 'Universiti sebagai Gedung Ilmu', ia mempunyai pengertian yang mendalam. Universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu atau menara ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan yang baharu diterokai, disampaikan kepada pelajar, dan dipindahkan kepada masyarakat.

Di universitilah, cendekiawan (scholar) daripada pelbagai bidang berkumpul dan sentiasa mengabdikan diri kepada ilmu dan mereka menjadikan ilmu sebagai pegangan untuk membawa masyarakatnya maju ke hadapan.

7. Negara tidak mampu menampung Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak relevan. Sehubungan dengan itu, IPT perlu berganjak daripada paradigma menara gading ke menara ilmu. Universiti tempatan mesti melakukan perubahan atau transformasi sesuai dengan peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku.

Bagi mencapai tujuan ini, IPT perlu keluar daripada tradisi lama yang hanya memberi perhatian kepada pengajaran dan penyelidikan dengan juga memberi penekanan kepada kepentingan Polisi Awam selari dengan peranan ketiganya iaitu perkhidmatan untuk masyarakat. Pendekatan yang memperlihatkan peralihan set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’ ini akan membawa banyak manfaat khususnya menyokong usaha IPT dalam mentransformasikan komuniti.

8. Dalam hal ini, setiap universiti diminta untuk mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Pendekatan yang menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimakan kewujudan IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif. Ini dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan menjadikan program jalinan atau libatsama komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih besar.

9. Kementerian mahu menilai setiap program jalinan atau libatsama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti. Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau libatsama komuniti tersebut.

Dalam hal ini, kementerian telah mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX Special Project-Community Engagement untuk menilai program jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan, proses, keberhasilan dan impak. Kementerian akan menggunakan instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama komuniti mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEDUA: MENJANA EKONOMI BERINOVASI

10. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi bergantung kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah. Kita harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan khususnya dalam aspek pengkomersilan.

11. Sehubungan dengan itu, jentera inovasi semua institusi pengajian tinggi perlulah diperkemaskan lagi. Ini dapat dilakukan antaranya dengan menggalakkan penggabungan harta intelek dari semua IPT bagi menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah. Oleh itu, kementerian sedang menimbang untuk menyediakan platform berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT.

Semua harta intelek yang dihasilkan oleh IPT Malaysia perlu didaftar dalam bank ini. Seterusnya, hos bank ini akan menyediakan medium untuk penyebaran dan perkongsian maklumat tentang harta intelek yang telah didaftarkan. Bank yang dinamakan "Idea Interchange and Connection Bank" (I2C Bank) ini akan dikendalikan secara profesional dalam memperkukuhkan usaha mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

12. Bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan, kementerian menyarankan agar kelima-lima universiti penyelidikan membentuk jaringan kolaborasi yang kukuh iaitu Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research University Network (MRUN) yang akan dipengerusikan secara bergilir antara mereka.

Jaringan ini akan berperanan sebagai sinergi kepada kegiatan penyelidikan dalam mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber, menonjolkan MRUN sebagai satu jaringan yang mantap di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sebagai peneraju dan perintis dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan (RDCE) dan membimbing dan bekerjasama secara kolektif dengan IPT lain dalam dan luar negara, dan dengan industri dalam usaha memupuk dan meningkatkan budaya penyelidikan.

13. Langkah menubuhkan Aeropsace Malaysia Innovation Centre (AMIC) adalah bertepatan sekali dengan aspirasi ini yang memperlihatkan kerjasama dalam bidang aerospace antara IPT diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), industri teknologi tinggi seperti Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bersama syarikat teknologi tinggi antarabangsa seperti European Aeronautic Defence and Space Company (AEDS) dan Rolls Royce.

Saya percaya, jaringan MRUN akan membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang utama penyelidikan negara yang lain juga.

14. IPT mempunyai banyak makmal penyelidikan dalam nic yang sama. Contohnya, nic Nanoteknologi mempunyai 16 buah makmal, Bioteknologi 41 buah makmal dan Automatif 84 buah makmal di seluruh negara. Kerjasama makmal penyelidikan merentasi IPT bersama industri adalah perlu jika kita ingin melihat keberhasilan yang berimpak tinggi. Sehubungan dengan itu, kementerian ingin memperkenalkan program Central Lab Management (CLM) atau Makmal Pengurusan Berpusat dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Program ini bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan nic strategik yang dikenalpasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif sekaligus membantu kemajuan industri negara khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kerjasama ini besar ertinya apabila ia bukan sahaja mempereratkan hubungan antara makmal IPT dan industri, tetapi turut membangunkan teknologi tempatan pada masa yang sama.

15. Beberapa tahun terakhir ini, saya telah meminta supaya semua Universiti Komprehensif mencari nic penyelidikan dan inovasi masing-masing sehingga menjadi Universiti Komperhensif Berfokus yang unik dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya gembira melihat telah muncul beberapa Universiti Komperhensif Berfokus seperti yang berfokuskan pengurusan, pendidikan, keusahawanan, pertahanan dan keselamatan, sains kelautan dan sains Islam.

Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komperhensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan Penyelidikan dan Inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi. Kementerian akan menyalurkan terus dana penyelidikan dan inovasi kepada universiti ini berasaskan perancangan jangka sederhana (lima tahun) dan keperluan dana penyelidikan secara tahunan.

Sehubungan dengan itu mulai tahun ini, dana khas penyelidikan sebanyak sepuluh juta ringgit disediakan bagi membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif Berfokus membangunkan bidang tujahan mereka.

16. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara online akan diperkenal dan dilancarkan hari ini. Sistem yang dilengkapi dengan ciri-ciri laman sosial serta akses kepada bahan-bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs akan dapat membantu penyelidik dalam kerja-kerja penyelidikan dengan lebih mudah.

Lebih penting, dengan adanya sistem MyGRANTs ini, kolaborasi antara penyelidik dari pelbagai IPT juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta produk-produk hasil penyelidikan juga akan dapat diakses oleh pihak industri untuk proses pengkomersialan. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat analisis kepada data-data penyelidikan bagi membantu pengurusan atasan membuat pemantauan dan keputusan dasar.

17. Kejayaan dalam menjana ekonomi berinovasi turut bergantung kepada jumlah graduan pascasiswazah yang dianggap sebagai modal insan berpengetahuan tinggi. Berdasarkan rekod kementerian pada tahun 2012, jumlah enrolmen pascasiswazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 79,633 orang manakala 20,267 orang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini bermakna terdapat jurang yang besar antara IPTA dan IPTS. Justeru itu, saya berharap IPTS khususnya dapat memperkukuhkan lagi program pengajian pascasiswazah mereka dan menambah jumlah pelajar di peringkat tersebut.

18. Dalam hal ini, hala tuju dan pelaksanaan pengajian pascasiswazah perlulah lebih jelas dan tersusun. Sistem sokongan pengurusan pengajian ini mestilah diperkemaskan agar lebih cekap khususnya di universiti baharu. Selain itu, konsep kontinum program pra dan pascasiswazah juga boleh diperkenalkan.

Ini bermakna, pelajar-pelajar prasiswazah yang cemerlang boleh diserap terus ke program pascasiswazah dengan dan melalui kaedah ini, ia boleh meningkatkan kemasukan calon pascasiswazah.

19. Selain itu, kementerian juga akan melaksanakan pelaksanaan audit program pascasiswazah di IPTA. Audit ini mempunyai beberapa tujuan iaitu pertama, memastikan kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA yang telah diluluskan dan dianugerahkan sebelum penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) pada 1 November 2007, diakreditasikan oleh MQA seperti mana program yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Kedua, membolehkan semua kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register [MQR]). Ketiga, menyemak dan menilai amalan, dasar dan pencapaian pengendalian program pascaijazah semasa IPTA, menanda aras (benchmark) standard dan kualiti pengendalian program pascasiswazah IPTA dengan amalan terbaik universiti-universiti terkemuka di luar negara. Dan keempat, melaksanakan analisis jurang (gap analysis) dan analisis masalah. Lawatan Audit Program Pascasiswazah IPTA ini dijangka bermula pada awal tahun 2013.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KETIGA: KUALITI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

20. Kualiti adalah jantung kepada kecemerlangan dan kewibawaan Institusi Pengajian Tinggi. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan akan dipergiatkan. Saya percaya IPT sentiasa memberi perhatian utama kepada soal kualiti dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada aspek kuantiti sahaja.

21. Hasil daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pengajian tinggi, jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia telah berkembang secara dinamik. Sehingga 30 November tahun lalu, terdapat 37 buah Universiti Swasta; 20 buah Kolej Universiti Swasta, tujuh buah Kampus Cawangan Universiti Luar Negara.

Pada masa ini juga, negara mempunyai 414 buah Kolej Swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Namun demikian, dalam keghairahan untuk meningkatkan kadar aksesibiliti dan mengurus kepesatan perkembangan sektor pengajian tinggi negara, usaha-usaha pemerkasaan dan peningkatan keupayaan serta kualiti IPTS sedia ada perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

22. Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran. Oleh itu, bilangan IPTS yang ditubuhkan pada ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT.

23. Dengan ini sukalah saya mengumumkan MORATORIUM (pembekuan) ke atas penubuhan IPTS baharu berstatus universiti, kolej universiti, dan kolej yang akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari 2013. Walau bagaimanapun, pengecualian moratorium diberikan kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, IPTS sedia ada yang mohon dinaiktaraf, kampuscawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

24. Selaras dengan perkembangan sektor pengajian tinggi negara yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta pada hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa agar lebih bersifat holistik. Perkara ini adalah bagi menyokong kepada pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan kualitinya setanding dengan negara maju yang lain.

Sehubungan dengan itu, inisiatif semakan semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] akan dilaksanakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Said, Naib Canselor Taylor University. Jawatankuasa ini akan bermula bulan Februari dan dijangka inisiatif semakan semula ini dapat diselesaikan pada tahun ini juga.

25. Selain itu, kementerian juga akan mengambil tindakan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 buah IPTS setiap tahun. Pemilihan IPTS yang disemak kelestariannya akan dibuat berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh orang ramai mengenai perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau pemilihan yang dibuatsecara rambang. Langkah ini bertujuan mengenalpasti IPTS-IPTS yang mempunyai risiko dan memberi peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

26. Pada tahun lalu, lima buah universiti penyelidikan telah dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi, Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Pada tahun ini, selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UGGI), saya ingin mengumumkan dua buah lagi universiti awam telah layak dianugerahkan autonomi.

Universiti-universiti tersebut adalah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Tahniah saya ucapkan. Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT.

27. Sebagai tambahan kepada usaha berterusan meningkatkan kecemerlangan IPT melalui inisiatif SETARA, MyRA dan MyQuest, Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (Discipline-Based Rating System,D-SETARA) ke atas universiti dan kolej universiti di Malaysia telah dilaksanakan. Fokus D-SETARA adalah terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam empat disiplin pengajian iaitu Kejuruteraan, Pelancongan dan Hospitaliti, Perubatan, Pergigian dan Farmasi serta Sains Kesihatan.

28. Pemilihan disiplin pengajian ini secara tidak langsung menyokong inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area, NKEA) dalam kluster Pendidikan yang mensasarkan pembangunan beberapa kelompok disiplin pengajian. Sebanyak 37 buah universiti dan kolej universiti terlibat dalam penilaian pada kali ini. Dan selepas proses penilaian yang teliti dijalankan oleh jawatankuasa khas, sukacita saya memaklumkan keputusan D-SETARA telah bersedia untuk diumumkan pada hari ini.

29. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua IPT yang terlibat kerana saya difahamkan, hampir semua IPT yang layak, telah menyertai eksesais D-SETARA kali ini. Ini adalah satu petanda baik dan menggambarkan kesediaan IPT di negara menobatkan kualiti dan kecemerlangan dalam institusi mereka. Di masa akan datang, saya berharap eksesais ini dapat diperluaskan untuk bidang-bidang pengajian yang lain pula sehingga pada satu masa nanti, semua bidang pengajian akan dapat dinilai. Ini juga membolehkan eksesais D-SETARA dapat menggantikan eksesais SETARA, Insya Allah.

30. Selain universiti, aspek kualiti dan kecemerlangan Institusi Politeknik juga turut diberikan perhatian agar dapat memberikan sumbangan yang berkesan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selepas melancarkan Transformasi Politeknik pada tahun 2010, banyak perkembangan dan kemajuan telah dicapai dalam usaha mengarusperdanakan politeknik sebagai institusi pilihan.

Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan usaha murni ini, Fasa Dua iaitu Fasa Peningkatan (2013-2015), Transformasi Politeknik akan dilancarkan pada tahun ini. Pada masa yang sama, eksesais Polyrate bagi mengukur kecemerlangan Institusi Politeknik negara akan terus dilaksanakan meliputi 23 buah politeknik pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Memberi Roh dalam Pembelajaran dan Pengajaran)

31. Penghasilan modal insan unggul adalah penting ke arah pembentukan masyarakat dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini bermakna kualiti graduan institusi pengajian tinggi mesti diperkukuhkan terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi, penyelesaian masalah dan komunikasi lisan.

Walaubagaimanapun, hasrat ini akan terganggu sekiranya pendekatan pembelajaran dan pengajaran di IPT masih berpusatkan pensyarah, kuliah yang berbentuk sehala, penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) jarang berlaku dan masih banyak kursus yang bergantung kepada peperiksaan akhir sebagai cara untuk menilai penguasaan hasil pembelajaran pelajar yang pelbagai.

32. Justeru itu, kita perlu melipat gandakan usaha dalam bidang pembelajaran dan pengajaran secara strategik dan berkesan termasuk mentransformasikan kurikulum berasaskan hasil, pengajaran berpusatkan pelajar dan penilaian sebagai asas pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi, kita perlu meneliti kembali sejauh mana pelajar belajar dengan bermakna dan sejauh mana pensyarah mengajar dengan berkesan.

Kita perlu memastikan empunya pembelajaran (ownership of learning) adalah pelajar. Pengajaran yang dilakukan oleh pensyarah sepatutnya merangsang, membantu, membimbing dan mendorong setiap pelajar yang berlainan latar belakang dan upaya untuk terus belajar secara mendalam dan bermakna. Ruang dan peluang pembelajaran seharusnya dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan setiap pelajar belajar menguasai hasil pembelajaran program pengajian. Dengan usaha ini, saya yakin ‘roh’ pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi akan terus subur dalam menghasilkan modal insan yang kita harapkan.

33. Inovasi Pembelajaran dan pengajaran juga perlu mengambil manfaat perkembangan teknologi khususnya ICT. Sehubungan dengan itu, pada tahun lalu, kementerian telah mewujudkan dana T-Novation bagi memperhebatkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang pembelajaran dan pengajaran.

Ini mencakupi skop yang luas dan meliputi pelbagai aspek utama pembelajaran dan pengajaran seperti inovasi kurikulum/kandungan, strategi/teknik pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul pengajaran dan pembelajaran, alatan/gajet pengajaran dan pembelajaran serta inovasi penilaian dan pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.

34. Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 90 cadangan penyelidikan telah pun diterima dan selepas semua proses berjalan, produk akhir T-Novation akan dapat dihasilkan menjelang akhir tahun ini. Pelaksanaan penyelidikan T-Novation ini diharap akan dapat menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penciptaan ilmu dan kaedah baharu yang akan memupuk daya kreativiti dan inovatif serta mampu melahirkan graduan-graduan yang mempunyai atribut-atribut kebolehpasaran.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Kolej Siswa sebagai Tempat Pembelajaran Kedua)

35. Kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya antara dua hingga empat tahun. Oleh itu, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan pengajaran tidak formal. Memandangkan pelajar menghabiskan lebih banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di dewan kuliah dan makmal.

Oleh itu, universiti perlu mengambil peluang ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua'. Paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar'.

36. Dengan perspektif baharu ini, kolej dan sekitarannya perlu dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina kemahiran insaniah. Daripada perspektif 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua' ini, universiti perlu menyediakan kemudahan infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini dilakukan dengan berkesan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEEMPAT: MEMPERKUKUHKAN KOBOLEHPASARAN GRADUAN

37. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh, kita perlu terus memberikan perhatian kepada isu dan cabaran kebolehpasaran graduan. Kita sedia maklum bahawa Blueprint Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan pada akhir tahun lalu bertujuan memenuhi keperluan guna tenaga profesional dan mahir bagi pembangunan negara. Intipati pelan tersebut ialah bagi mewujudkan sistem pengajian tinggi yang mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing secara global serta memenuhi keperluan negara. Ia juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya impian bagi mengelakkan pengangguran dan bersifat lebih fleksibel untuk berhadapan dengan perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di masa hadapan.

38. Untuk memastikan blueprint ini diterjemahkan sebaik mungkin, setiap IPT perlu menjadikannya sebagai satu panduan dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT sentiasa selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak termasuk industri. Inilah masa yang tepat untuk semua kepimpinan IPT melihat kembali program akademik sedia ada dan menyesuaikannya bagi membolehkan semua atribut kebolehpasaran graduan digembleng secara bersepadu. Program-program baharu pula perlu dibangunkan dengan mengambil kira kerelevanan ilmu untuk dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat dan sebaik-baiknya, dibangunkan bersama-sama mereka dalam konteks perkongsian strategik.

39. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan. Selain itu, untuk memantapkan lagi perkongsian strategik antara universiti dan industri, program ICoE sedia ada dalam kluster automotif, minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan akan diperluaskan lagi pada tahun ini kepada tiga kluster baharu seperti bioteknologi, pembinaan dan ICT, menjadikan tujuh kluster secara keseluruhannya.

Selain daripada kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi, agensi-agensi kerajaan lain dan industri, transformasi kebolehpasaran graduan melalui ICoE ini juga akan melibatkan pembangunan wilayah ekonomi seperti Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

40. Kita percaya melalui pelaksanaan ini, pembangunan modal insan yang lebih kompeten mengikut keperluan industri dan wilayah akan dapat disediakan dengan lebih berstruktur dan tersusun. Pada masa yang sama, ia akan juga merangsang pelaburan asing, pembangunan ekonomi wilayah membantu peningkatan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan seterusnya negara.

41. Persaingan pada abad ke-21 bukan hanya terletak kepada kejayaan akademik semata-mata tetapi menuntut kejayaan dalam aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif di kalangan pelajar kita. Sehubungan dengan itu, mahasiswa di IPT perlu dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit.

Walau bagaimanpun, kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran di luar bilik kuliah. Justeru itu, ko-kurikulum perlu menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah Pusat Pengajian masing-masing.

42. Apabila kerajaan memperkenalkan IM4U, kementerian menyambut baik langkah ini kerana ia memberi peluang kepada kita menjadikannya sebagai platform atau kaedah pembelajaran menggunakan pendekatan baharu. Lebih penting, IM4U boleh mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah pelajar dan nilai-nilai positif seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan kewarganegaraan di samping kemampuan mengemukakan idea-idea kreatif.

Melalui penggabungan khidmat komuniti dengan kurikulum, IM4U juga menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekaligus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Kewujudan IM4U Outreach di setiap IPT memberi cabaran berterusan kepada pelajar-pelajar IPT untuk bangunkan keupayaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih kreatif, yang mempunyai impak yang lebih mendalam, yang dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersifat lestari. Saya percaya pelajar-pelajar IPT negara dapat menyahut cabaran ini.

43. Kementerian juga akan terus mendokong agenda pendidikan dan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA khususnya. Bagi memastikan matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) tercapai, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT yang komprehensif dan pragmatik bagi tempoh 2013-2015 akan diperkenalkan pada tahun ini. Pelan ini menjadi satu kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu.

Saya percaya bahawa perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited terhadap pelan tindakan ini akan dapat menyokong pencapaian matlamat untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti dan berdaya keusahawanan di samping meningkatkan lagi jumlah usahawan di kalangan graduan IPT.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KELIMA: PEMETAAN BAHARU PENGANTARABANGSAAN

44. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan pendidikan merentasi negara, strategi pengantarabangsaan pengajian tinggi tidak lagi bersifat satu keistimewaan tetapi satu keperluan negara yang ingin mencapai kejayaan dalam perkhidmatan pengajian tinggi. Malaysia yang berhasrat untuk menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020, perlu menjadikan strategi pengantarabangsaan sebagai satu agenda penting lagi kritikal.

Pencapaian dan pengalaman Malaysia dalam sektor pengajian tinggi sekali lagi diiktiraf dunia apabila pada tahun ini diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia Eropah ke-4 atau "Fourth Asia-Europe Meeting of Ministers for Education" (ASEMME4) dari 12 hingga 14 Mei 2013 akan datang di Kuala Lumpur.

Sebanyak 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah, 16 buah negara Asia dan 3 buah anggota baharu iaitu Rusia, Australia dan New Zealand akan dijemput untuk menghadiri ASEMME4. Mulai 15 Februari ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa dalam negara.

45. Malaysia akan terus meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan dengan strategi-strategi inovatif dan kreatif supaya mampu bersaing dalam penyediaan dan pelaksanaan perkhidmatan pengantarabangsaan yang efisien, berkesan dan produktif. Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi.

Perkembangan ini menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi.

46. Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT serantau dan negara OIC. Kementerian mengalu-alukan usaha murni ini kerana ia akan memperkasakan lagi perkhidmatan pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat global.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Malaysia Pemacu Komuniti ASEAN)

47. Sempadan komuniti di ASEAN kini semakin kabur. Negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan “Komuniti ASEAN” menjelang 31 Disember 2015. Pada ketika itu, Malaysia akan diberi mandat mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN. Ini bermakna, kita diberi peluang mempelopori gagasan penubuhan Komuniti ASEAN yang bertunjangkan kepada penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau, masyarakat yang dilengkapi dengan maklumat yang tepat dan struktur institusi yang berdaya saing dan persekitaran yang lestari.

48. Oleh itu, ini adalah kesempatan terbaik IPT di Malaysia mengatur strategi dan mempromosi pengajian tinggi sebagai ejen perubahan bagi mewujudkan Komuniti ASEAN yang dinamik dan lestari. Sehingga 31 Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang pelajar Malaysia di negara ASEAN. Sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai matlamat Komuniti ASEAN 2015.

Sebagai contohnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang dicita-citakan.

49. Pada peringkat pendidikan latihan dan kemahiran pula, Malaysia boleh membantu dalam melatih dan membentuk tenaga mahir dalam kalangan negara ASEAN melalui politeknik dan kolej komuniti. Institusi ini boleh membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam Komuniti ASEAN melalui pertukaran pengetahuan dan personel, melalui proses rakan kongsi, kontrak penyelidikan, program latihan dan pendidikan sepanjang hayat. Ini dapat merapatkan perhubungan antara institusi-institusi dalam Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama membantu mentrasformasikan sistem pendidikan Komuniti ASEAN sekaligus membentuk kesepaduan antara negara.

50. Peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013 hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea. Dalam hal ini, satu cadangan pelan rangka kerja program pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

51. Pelan program pembangunan sumber daya manusia ini boleh diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhanMindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao. Program ini juga boleh diaplikasikan kepada negara lain dengan tujuan yang sama, Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEENAM: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA

52. Transformasi tersusun Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Melalui ilmu pengetahuan dan kemahiranlah, rakyat kita bukan sahaja akan dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, tetapi membantu negara bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif. Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

53. Pembelajaran Sepanjang Hayat yang telah dinobatkan sebagai tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara ini seiring dengan Sistem Persekolahan dan Pendidikan Tertiari, akan terus diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan Direktori Interaktif PSH peringkat nasional, menjayakan Karnival My3L peringkat nasional dan peringkat zon, menjalankan kajian Pemantapan Program PSH dan mengadakan Pelan Tindakan Penggalakan Penyertaan Industri dalam PSH.

54. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun lepas, Malaysia Qualification Agency (MQA) telah menubuhkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Bagi menggalakkan lebih ramai golongan yang telah bekerja menyambung pengajian, sukacita dimaklumkan bahawa permohonan APEL bagi maksud kemasukan pengajian peringkat Sijil dan Diploma akan mula dibuka mulai 1 Februari 2013. Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja untuk belajar semula apabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebelum ini dan boleh diambil kira sebagai syarat untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma.

55. Sebagai sebuah institusi perdana yang menjayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara, Kolej Komuniti memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan kemahiran kepada orang ramai. Oleh itu, kementerian ingin mengumumkan bahawa sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minima satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

56. Pada masa yang sama, beberapa inisiatif baharu telah dikenalpasti akan dilaksanakan dalam usaha menambah penyertaan masyarakat seperti memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan kepada minimum 16 bulan. Jumlah sijil yang ditawarkan juga telah ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun 2013. Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu.

Jika sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil Kemahiran Khas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun 2013, lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri.

57. Selain melebarkan akses, soal ekuiti turut diambil perhatian. Sehubungan dengan itu, bantuan Kewangan Kolej Komuniti ditawarkan kepada mereka yang layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP). Bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan, pelajar boleh menerima bantuan tiga ratus ringgit sebulan iaitu bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan kurang tiga ribu ringgit sebulan manakala dalambentuk pinjaman pada kadar yang sama bagi pelajar yang pendapatan keluarganya melebihi tiga ribu ringgit sebulan. Bagi pelajar Sijil Kolej Komuniti Modular pula, mereka boleh memohon wang saku sebanyak dua ratus lima puluh ringgit sebulan jika layak.

58. Baru-baru ini, sewaktu merasmikan Karnival Jom Masuk U, saya telah mengumumkan pengambilan pelajar mod baharu melalui dasar membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah. Kaedah pengambilan pelajar yang diberikan pengecualian meritokrasi ini selari dengan prinsip kerajaan dan kementerian untuk melihat semua rakyat Malaysia mendapat hak berpendidikan tanpa halangan.

Dalam hal ini, kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program Pra Universiti iaitu Program Destini Anak Bangsa, boleh dijayakan oleh IPT yang lain dalam membantu kemasukan pelajar kaum-kaum lain. Ini kerana dalam usaha kita mencapai negara maju berpendapatan tinggi, semua kaum perlu menjadi modal insan untuk negara.

59. Dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kita tidak boleh lari dari menyentuh soal pembiayaan sektor pengajian tinggi. Keupayaan negara menyediakan akses dalam pembelajaran di peringkat tertiari mahupun pembelajaran sepanjang hayat memerlukan kita memikirkan semula model pembiayaan pendidikan yang lestari dan berkesan. Adalah kesalahfahaman yang nyata bila isu pembiayaan pengajian tinggi hanya dilihat dari sudut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembiayaan pelajar.

Isu yang paling mendasar ialah bagaimana IPT awam menguruskan pelaburan dan pembiayaan kerajaan secara berkesan serta mampu menterjemahkan hasil yang memenuhi keperluan strategik negara.

60. Kebergantungan IPT yang keterlaluan pada dana kerajaan sebenarnya telah mewujudkan fenomena pengurusan kewangan di IPT yang tidak ‘cost efficient’ dan kegagalan untuk menjadi mandiri serta tidak kompetitif. PTPTN pula memerlukan model kelangsungan baharu untuk memastikan ia terus lestari tanpa mengabaikan kepentingan menterjemahkan dasar ekuiti dalam pendidikan. Oleh itu, kementerian telah menganjurkan inisiatif bagi menyemak dan mengkaji semula sistem pembiayaan pendidikan tinggi secara komprehensif dalam usaha mewujudkan model pembiayaan yang lestari dan kompetitif sifatnya bagi menyokong pembangunan strategik negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Budaya Kerja Berinovatif)

61. Kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian telah beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Ini bagi memastikan persekitaran pengajian tinggi yang lebih kondusif dapat diwujudkan untuk perkembangan dan kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan yang seharusnya berasaskan kepada budaya keintelektualan dan keilmuan yang tinggi tanpa sebarang pengaruh politik dan birokrasi pentadbiran.

Dalam memainkan peranan sebagai pemudahcara ini, kementerian seharusnya bijak untuk sentiasa melihat amalan-amalan terbaik yang terdapat di sesebuah institusi untuk dipanjangkan pengamalannya ke institusi-institusi lain. Penekanan tidak seharusnya terhad kepada aspek pembelajaran dan pengajaran atau penyelidikan sahaja, tetapi fokus juga wajar diberikan kepada hal-hal yang melibatkan pentadbiran supaya isu-isu birokrasi yang sedia wujud dapat dikurangkan.

62. Saya juga ingin meletakkan harapan supaya tahun 2013 ini lebih banyak aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun dapat dipertingkatkan. Ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui perolehan berpusat di kementerian bagi sesetengah perkhidmatan seperti yang telah sedia dilaksanakan sekarang antaranya perolehan perisian untuk komputer, pangkalan data komersil untuk perpustakaan dan lain-lain lagi.

Ini bagi memastikan terdapat penjimatan dalam pengurusan wang awam bila mana sesuatu perkhidmatan tersebut dapat dibeli pada kadar harga yang lebih rendah melalui kaedah pukal berbanding secara individu oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saya juga ingin menyarankan supaya perancangan-perancangan projek pembangunan di universiti-universiti awam juga mengambil kira aspek nilai untuk wang dengan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan yang bersifat guna sama seperti dewan kuliah dan bilik tutorial supaya ia dapat dimanfaatkan secara lebih maksimum berbanding pembangunan fizikal yang bersifat faculty-based sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENUTUP

63. Globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pendidikan tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme dan pembangunan modal insan. Ia adalah tentang bagaimana pengajian tinggi akan mampu mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan pasti menjadikan negara dan bangsa kita lebih ‘resilient’ atau kental.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

64. Tidak ada kejayaan melainkan pada tahap kecemerlangan. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berharap semua institusi di bawah kementerian dapat memperteguhkan kedudukan mereka menjadi institusi yang cemerlang dan berwibawa. Dalam hal yang sama, kementerian berasa bangga dengan kejayaan atlit IPT mengungguli Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos tahun lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan. Namun, jika sukan kita boleh cemerlang dan diiktiraf dunia, maka tidak ada sebab pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta khidmat masyarakat kita tidak cemerlang dan diterima global. Kita mesti memahami agenda teras yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyumbang kritikal kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

65. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua warga kementerian yang hadir dan mendengar amanat tahun baharu ini. Amanat yang mempunyai lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untukmenjayakannya. Kini, kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi sebelum fajar tahun 2020 terbit sekaligus melihat Malaysia gah muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Berbekalkan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang teliti, kita boleh merealisasikan semua hasrat dan impian yang kita tentukan ini, Insya Allah.

66. Saya berdoa agar tahun 2013 memberikan kita lebih kebahagiaan dan kemakmuran. Bersama kita terus beriltizam mencarta pembangunan dan kemajuan negara. Ayuh, terus kita melangkah ke hadapan dengan satu tujuan, satu destinasi, Malaysia yang berjaya. Sekian, terima kasih.

Sumber : http : //www.mstar.com.my